"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melucukan jika parti politik tidak berkiblatkan kuasa, kata Hanipa Maidin

MALAYSIA DATELINE
Ahli Jawatankuasa AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berkata, adalah sesuatu yang bohong dan melucukan jika sesebuah parti politik tidak berkiblatkan kuasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin Pas yang beliau gelar sebagai “parti ehem”, dalam muktamar parti berkenaan yang dilaporkan berkata, “keterbukaan Pas dalam politik ini bukan berkiblatkan kuasa, tapi berpaksikan tauhid”.

Juga dilaporkan Pas mendakwa bahawa keterbukaan parti berkenaan adalah bukti kematangan dalam politik demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan Islam.

“…kepatuhan yang hampir mutlak dalam parti ehem (termasuk dalam kalangan para “soldadu upahan” yang tak berwajah yang bersarang dan mengeram di sana sini seperti dalam facebook ini) akan menerima kenyataan tersebut sebagai “fait accompli” (tanpa soal).

“Bila parti politik kata mereka tak berkiblatkan kuasa, bagi saya, ia sama ada ia berbohong atau sedang berlawak. Jika parti politik tak berkiblat kuasa “the best way is to join” (cara terbaik ialah dengan menyertai) jemaah Tabligh lah, at least (sekurang-kurangnya) nampak jujur,” tulis Anggota Parlimen Sepang itu dalam facebooknya.


Mengenai dakwaan berpaksikan tauhid pula Hanipa berkata, tauhid merupakan elemen utama dalam Islam, dalam semua bidang mesti berpaksi pada tauhid, namun adakah pimpinan parti berkenaan sedar bahawa kadangkala politik itu dikatakan sebagai “kesenian bertolak ansur”.

Sehubungan itu beliau menyarankan parti berkenaan, supaya tidak menyibukkan diri dengan politik

“Bukankah lebih mudah, secara nisbi, menjaga tauhid jika parti macam “parti ehem” tak sibuk dengan politik,” kata beliau.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Dr Mahfodz Mohamed berkata, sikap terbuka Pas untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam politik bukan bermatlamatkan kuasa.

Dalam ucapannya di muktamar pergerakan itu di Kuantan beliau berkata, langkah diambil Pas atas nama seperti tahaluf, taawun atau seumpamanya dengan penuh bermaruah dan berprinsip.

Tiada ulasan: