"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tumpang tidur rumah penduduk sebelum buang al-Quran ke parit

MyMetro

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Lelaki yang ditahan polis kerana membuang peralatan Surau Al-Rahman, Parit Haji Samsuri, Simpang 3, Kuala Kurau ke dalam parit dikatakan sempat menumpang tidur di rumah seorang penduduk pada malam Ahad, sebelum kejadian.

Difahamkan selain peralatan surau dan al-Quran, lelaki berusia 43 tahun yang turut dikenali penduduk sekitar turut bertindak membuang kerangka gambar kalimah Allah dan Nabi Muhammad yang diambil dari rumah itu tanpa disedari pemiliknya.

Penduduk yang enggan nama disiarkan berkata, sebelum itu lelaki terbabit dikatakan mahu menebang pokok kelapa di hadapan rumah berikutan melihat satu 'benda besar' di atas pokok itu namun dihalang pemilik.

"Kemungkinan lelaki itu bertindak demikian akibat dihalang berbuat demikian selain tidak mempercayai apa yang diceritakannya.

"Habis tikar dan beduk surau dibuang ke dalam parit dan al-Quran serta Muqaddam dipercayai miliknya, turut dibuang ke lokasi sama.

"Tidak cukup dengan itu difahamkan dia mengambil racun kegunaan sawah milik penduduk berhampiran dan dibuangnya ke dalam parit sehingga menyebabkan banyak ikan mati," katanya. Menurutnya, susulan kejadian itu penduduk bergotong-royong membersihkan tikar surau dan beduk yang dibuang manakala cebisan al-Quran dan Muqaddam dikutip dan diserahkan pada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut atau dihapuskan.

Terdahulu pada 7 pagi pada Isnin lalu, seorang penduduk melihat lelaki itu berada di tepi parit dalam keadaan pelik dan sempat menegurnya namun sebaik lelaki terbabit menghempaskan tangan ke kereta penduduk sambil menjerit dan melaungkan ayat al-Quran menyebabkan penduduk segera beredar.

Terdahulu media melaporkan lelaki berusia 43 tahun ditahan polis kelmarin dan direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Tiada ulasan: