"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjayakan agenda Pakatan Raya pembangkang

ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan (PH) kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan segala kekusutan yang melanda. Gesaan yang berulang kali disuarakan ini sepatutnya sudah disusuli dengan tindakan segera, jujur serta hati terbuka daripada semua pemimpin pembangkang.

Kegagalan sekali lagi pembangkang untuk menumpaskan Perikatan Nasional (PN) melalui undian belah bahagi bagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Pada waktu begini, sudah tiada manfaat untuk mana-mana pihak terus mengakui memiliki sokongan berdasarkan Akuan Bersumpah (SD) daripada mana-mana ahli Parlimen. Tutuplah buku dan mulakan agenda baharu menuju Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Sedarlah dengan sesungguhnya bahawa ahli-ahli Parlimen daripada Umno sebenarnya langsung tidak berminat untuk melihat mana-mana pemimpin PH muncul sebagai Perdana Menteri yang baharu. Naiflah kalau masih ada yang mempercayai segala janji dan sokongan daripada golongan tersebut.

Sebaliknya, apa yang ingin dibuat oleh Barisan Nasional (BN) pada waktu ini hanyalah merencatkan kestabilan dan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Itu sahaja. Tidak pernah pun mereka merancang menjatuhkan Muhyiddin atas faktor kepentingan nasional, bangsa dan agama.

Walaupun pelbagai ugutan atau lebih tepat rengek-rengek pemimpin Umno dihalakan kepada Muhyiddin, semua itu langsung tidak meninggalkan kesan langsung yang besar kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun yang mengugut dan mengancam PN itu adalah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, hingga kini Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

Walaupun kritikan dibuat dalam Dewan Rakyat dan media sosial masing-masing tetapi individu yang sama menyokong Belanjawan 2021 kononnya atas nama kepentingan rakyat.

Walaupun Muhyiddin diingatkan betapa besarnya kepentingan sokongan Umno terhadap kelangsungan PN tetapi pada akhirnya, pemimpin Umno hanya tertunduk sahaja kepada Muhyiddin; bekas pemimpin Umno.

Jika semua serangan dan kritikan yang dilancarkan oleh Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini pun tidak mampu langsung menggugat Muhyiddin dan PN, apalah yang boleh pembangkang harapkan lagi.

Begitulah Umno. Umno tetap Umno. Mereka tidak akan selesa melihat pihak selain daripada pihak mereka menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Justeru, pengajaran mudah ini perlu difahami sedalam-dalamnya oleh para pimpinan PH dan segera mengorak langkah politik baharu yang lebih meyakinkan.

Memang menjemukan untuk mengulangi ingatan yang sama. Tetapi PH juga tidak perlu mengulangi bahawa Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang lemah dan tiada sokongan kukuh.

Hakikatnya ketika Muhyiddin begitu lemah pun sehingga kini pembangkang juga masih belum berjaya menumbangkan pentadbirannya.

Maka wajarlah jika kali ini, strategi baharu diteroka untuk memastikan kelemahan Muhyiddin benar-benar dapat ditumpaskan. Gagasan Pakatan Raya (Grand Coalition) yang mula dicanang oleh segelintir pemimpin pembangkang harus segera diberi perhatian yang mendalam.

Cuma soalnya bagaimana pakatan pembangkang baharu perlu dibentuk dan lebih utama untuk didebatkan adalah siapa yang akan memimpin gerakan ini?

Semua maklum betapa sukarnya untuk menangani perbezaan pendapat dan konflik dalaman antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Benar kedua-duanya memiliki wibawa yang sukar diperkecilkan.

Tetapi wibawa besar inilah yang menyukarkan untuk kedua-duanya mengendurkan ego. Benarlah pepatah Cina yang menyebut ‘dua ekor harimau tidak boleh berada atas puncak bukit yang sama’.

Harimau sentiasa bersaing untuk menjadi pemimpin utama di rimba dan ego ini sukar dikendurkan demi memberi peluang kepada haiwan yang lain. Demikian juga manusia, pengaruh kuasa dan faktor jawatan memang sulit untuk sesiapa sahaja mengambil sikap beralah dan memberi jalan kepada orang lain.

Maka inilah cabaran besar dan berpanjangan dalam kalangan pembangkang untuk dileraikan. Kedua-dua kem pemimpin besar ini sentiasa bersaing untuk memastikan kemenangan boleh diperoleh walaupun hakikatnya musuh utama yang perlu ditumpaskan masih selesa menjadi pemerintah.

Jika kalangan pembangkang masih menginginkan agar dua pemimpin ini kembali berpadu dalam sebuah pakatan pembangkang yang lebih padu, jitu dan mantap, maka mungkin tugas penting sekarang adalah mencari tokoh luar yang dihormati oleh kedua-dua mereka untuk menjadi pendamai dan broker yang boleh merintis kepada jalan perpaduan sekaligus memastikan PN dan BN mampu ditumpaskan dalam pilihan raya umum akan datang.


Arif Juhani, bekas wartawan Harakah dan Suara Keadilan

Tiada ulasan: