"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah tangguh keputusan rayuan wanita mahu diisytihar bukan Islam

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Tinggi Shah Alam terkhilaf ketika menolak tindakan undang-undang seorang wanita berbapakan seorang Islam tetapi dibesarkan sebagai Buddha oleh ibunya, kata peguam Gopal Sri Ram.

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan Rosliza Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan dia diisytihar sebagai bukan Islam.

Gopal berkata anak guamnya tidak pernah menjadi Islam atau mengamalkan ajaran Islam.

Katanya, Mahkamah Tinggi terkhilaf dengan bergantung kepada kes Lina Joy, melibatkan seorang individu ingin keluar Islam.

Pada 30 Mei 2007, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Joy dan memutuskan status Islam pada kad pengenalannya dikekalkan dan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar isu orang Islam ingin meninggalkan agamanya.

Susulan penghujahan ringkas dua responden yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi, panel sembilan hakim Mahkamah Persetuan memutuskan untuk menangguhkan keputusan hari ini.

Kerajaan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjadi responden dalam kes itu.

“Kami tangguhkan perkara ini pada suatu tarikh yang akan ditetapkan,” kata Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu.

Panel itu dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Ketua Hakim Malaya Azahar Mohamed, serta hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.

Pada 25 April 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosliza, 38, yang mahukan pengisytiharan bahawa dia dilahirkan sebagai anak luar nikah kepada bapa yang beragama Islam dan ibu yang beragama Buddha.

Tiada ulasan: