ISMAIL HASHIM YAHAYA
Dua isu iaitu pengakuan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa dia mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli parlimen BN dengan memberikan mandat keapda Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dan kedua kenyataan Peguam Negara Idrus Harun bahawa kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (“Yang di Pertuan Agong”) untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan YDPA bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan telah membawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada dalam situasi “lockdown” kuasa.
Apa yang dimaksudkan dengan “lockdown” kuasa ialah perisytiharan darurat oleh kerajaan PN diperlukan bagi memerangi Covid-19 dan pada masa yang sama parlimen digantung supaya kuasa pemerintahan dapat dimonopoli namun ia telah membawa mereka berada dalam situasi sulit.
Melalui darurat kerajaan PN bebas memerintah dengan menguncikan kuasa politik daripada luar supaya parti pembangkang tidak dapat menganggu, mengkritik mereka atau campur tangan dalam urusan pemerintahan kerana parlimen telah digantung tetapi tanpa menyedari mereka sendiri berada dalam jebakan dan kemelut terkunci diri mereka sendiri.
Kes Covid-19 masih tinggi dan angka berkisar di sekitar 5,000 lebih serta tiada jalan keluar bagi mengatasinya. YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Dua isu besar ini yang menjadi igauan kepada kerajaan PN ke dalam apa yang saya konsepsikan sebagai “lockdown” kuasa. Apabila kes Covid-19 tidak dapat diturunkan dan desakan supaya parlimen dibuka maka PN telah mengunci diri mereka sendiri dan mengalami “lockdown” kuasa.
Apabila kunci telah hilang, PN tidak dapat mencari jalan keluar terperangkap dalam “lockdown” kuasa oleh percaturan yang memakan diri ibarat boomerang.
Tentu dengan SD itu sudah jelas bahawa terdapat dalam kalangan pemimpin politik atau ahli parlimen Umno sendiri sedang menyusun kedudukan mereka dalam kerajaan PN. Ini adalah satu jalan mencari kunci. Tambahan pula dengan isu Anwar menjadi PM ditimbulkan semula segala kekalutan, panik dan fitnah muncul semula di permukaan.
Kalangan pemimpin Umno yang telah mendapat kedudukan yang baik di dalam kabinet tentulah tidak mahu Presiden mereka Datuk Seri Zahid Hamidi membuat sebarang langkah yang menggugat kepentingan mereka.
Mungkin juga rundingan mahukan semolek-moleknya Hishamuddin menjadi Timbalan Perdanan Menteri sebagai mengukuhkan kedudukan beberapa pemimpin Umno lebih stabil di dalam PN. Tidak mungkin parti Bersatu mahukan Hishamuddin menjadi PM kerana Bersatu harus mengemudi PN dan negara. Jika diperlukan PN juga sudah mempunyai calon PM mereka sendiri.
Ini adalah kunci yang PN perlukan dalam mengatasi kemelut sekiranya parlimen dibuka. Ini sekurang-kurangnya dapat mengekal kedudukan kerusi yang sedia ada dan mengharapkan sokongan Warisan dan Pejuang.
Bagi mengatasi kenaikan kes Covid-19 buat sementara waktu PN telah menukar nama PKP atau “lockdown” kepada Fasa pula. Setelah terkunci dengan “lockdown”, mereka menjenamakannya kepada fasa supaya rasa gerun dan trauma kerajaan dan rakyat berkurangan tetapi kunci masih mahu dicari bagi mencari penyelesaian kepada penurunan kes yang mereka sangat harapkan dengan pengambilan vaskin di samping desakan supaya sidang Parlimen dibuka.
Dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan dilanjutkan sehingga kes baru di bawah 4,000 sehari, Kerajaan PN berharap akan menemui kunci yang menyebabkan mereka mengalami situasi “lockdown” kuasa kerana telah menguncinya dari dalam.
Ini bermakna kita mengalami proses perubahan nama daripada “lockdown” kuasa kepada “phase down” kuasa (atau kunci hilang maka akan berlakukah phase out kuasa?) yang bermakna pencarian kunci penyelesaian sedang memasuki era berfasa pula dengan indikator-indikator nilai ambang utama yang perlu dicapai.
————
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan