"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kurung, pukul kekasih, tukang kasut didenda RM6,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang tukang kasut didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana mengurung kekasihnya selama enam hari di dalam bilik, malah mencederakannya dengan memukul dan merantai kedua-dua kakinya.

Yee Lee Shong, 48, mengaku salah mengurung dan mencederakan wanita berusia 40 tahun itu di depan Majistret Nik Fadli Nik Azlan

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Daya Kepong, dekat sini antara 7 Jun hingga 12 Jun lepas.

Bagi kesalahan mengurung mangsa, Yee didenda RM5,000 atau penjara enam bulan. Dia turut didenda RM1,000 atau penjara dua bulan bagi kesalahan mencederakan wanita itu, menurut laporan Bernama.

Ketika rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Mariappan yang mewakili Yee, memohon denda minimum atas alasan pendapatan anak guamnya tidak menentu sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sebelum ini.

“Tertuduh hanya bekerja sebagai tukang kasut terpakai dan bergaduh dengan mangsa kerana teman wanitanya itu tidak pulang ke rumah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni bagaimanapun berkata, mangsa telah dikurung selama enam hari selain mengalami kecederaan dan digari menggunakan rantai basikal.

Susulan itu, beliau meminta Yee dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mengikut fakta kes, perselisihan faham tercetus antara mangsa dan Yee ketika wanita itu berada di rumah tertuduh pada 7 Jun lepas.

Yee kemudian bertindak memukul dan mengurung wanita itu di dalam bilik selain merantai kedua-dua kakinya.

Mangsa akhirnya berjaya melepaskan diri dengan bantuan jiran pada 12 Jun sebelum terus membuat laporan polis.

Tiada ulasan: