"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li: Jangan kita tunggu Parlimen bersidang bulan Oktober

FAZLI RADZI

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan sidang Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin tanpa perlu menunggu tamat tempoh darurat.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sidang Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin seboleh-bolehnya dalam bulan akan datang tanpa perlu menanti sehingga Oktober.

“Kita mahu Parlimen bersidang sebelum tamatnya darurat pada 1 Ogos.

“Jangan kita tunggu sehingga bulan Oktober, itu bukan dia, ini bukan lagi soal nak kawal Covid-19 tetapi nak kawal benda lain yang tiada sangkut paut dengan kedudukan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata demikian semasa pelancaran petisyen rakyat mendesak sidang Parlimen disegerakan pada siaran langsung di Facebook hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dalam perutusan khas pada 15 Jun lalu berkata, sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober nanti dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata sidang Parlimen boleh diadakan sekitar bulan tersebut dalam Fasa Ketiga Strategi Pelan Pemulihan Negara jika purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes.

Dalam masa sama, Ku Li yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menyelar segelintir wakil rakyat yang berkhidmat dalam kerajaan mempertikaikan desakan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Ada wakil rakyat yang juga berkhidmat dalam kerajaan mempertikai Parlimen bersidang.

“Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) berjiwa rakyat, orang mewakili rakyat tidak berjiwa rakyat, orang seperti ini boleh pencen,” bidasnya.

Wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini sejak1986 itu berpendapat undang-undang darurat dilihat hanya sekadar untuk kepentingan politik dan seolah-olah tiada kaitan dengan isu pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat.

Beliau berkata, darurat tinggal darurat oleh kerana kuasa yang ada bawah undang-undang yang terpakai sebelum ini masih boleh dipakai.

“Tidak perlu kepada undang-undang darurat ini, hanya semata-mata kerana tindakan politik tiada kena mengena dengan Covid-19 dan kesusahan rakyat yang sepatutnya dibela sepenuhnya,” tambah Ku Li lagi.

Tiada ulasan: