"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat mati disebabkan PN bukan Covid-19

AZHA SALAHUDIN

Semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Ogos tahun lalu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengatakan bahawa lebih ramai rakyat yang akan mati disebabkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan bukan disebabkan Covid-19.

Akhirnya, kata-kata yang dilontarkannya itu telah termakan diri sendiri di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Setelah setahun lebih kita berperang dengan wabak Covid-19 ini, kerajaan PN masih gagal mencari jalan penyelesaian sehingga menyebabkan krisis kesihatan negara kian parah.

Sebanyak 5,001 kes kematian yang telah dicatatkan dengan jumlah kes aktif sebanyak 61,812 orang setakat semalam. Angka kematian dan jumlah kes aktif yang tinggi ini telah menimbulkan kebimbangan rakyat untuk menjalani kehidupan setelah pemberian vaksin kepada rakyat kelihatan agak lembab dan tidak teratur.

Kelemahan pentadbiran kerajaan PN bukan sahaja menyebabkan krisis kesihatan terancam, bahkan krisis ekonomi, politik dan pendidikan juga turut terkesan.

Kegagalan kerajaan PN bagi menstabilkan ekonomi telah memberi impak yang buruk kepada rakyat terutama sekali golongan isi rumah berpendapatan rendah atau B40 yang ramai hilang sumber pendapatan setelah diberhentikan kerja.

Peniaga-peniaga kecil yang majoritinya rakyat miskin pula terpaksa gulung tikar akibat menampung kerugian yang tinggi.

Bukan itu sahaja, akibat daripada hilang sumber pendapatan telah membawa kepada tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat sehingga ada yang terpaksa mencari jalan mudah untuk menyelesaikan masalah mereka dengan membunuh diri.

Hari demi hari, kita telah disajikan dengan berita-berita kes bunuh diri yang cukup menyentuh hati. Semakin ramai rakyat hidup dalam keadaan tertekan, sehingga terpaksa memilih jalan yang salah untuk menyelesaikan masalah.

Di bawah pemerintahan kerajaan PN, rakyat bukan sahaja mati disebabkan wabak Covid-19 tetapi disebabkan oleh kelemahan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Kes bunuh diri bukanlah perkara yang hanya perlu dipandang sebelah mata. Sekiranya kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan, maka lebih ramai rakyat akan memilih jalan yang sama untuk menyelesaikan masalah dan kemelutan yang dihadapi oleh mereka dengan membunuh diri.

Kegagalan kerajaan PN akan menyebabkan lebih ramai rakyat mati membunuh diri daripada terkena jangkitan Covid-19.

Tiada ulasan: