"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hakikatnya Parlimen sudah terbubar secara automatik – Zaid

Manzaidi Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Parlimen pada dasarnya telah terbubar secara automatik setelah tidak bersidang selama enam bulan, suatu tempoh dan pernyataan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan

Pengamal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ini bermakna Malaysia perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa 60 hari.

Beliau yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) turut menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Orang yang sepatutnya beri nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, kepada Perdana Menteri ialah Peguam Negara, bukan Menteri Undang-Undang (Datuk Seri Takiyuddin Hassan).

“Peguam Negara tahu perkara diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan mengenai tempoh sidang Parlimen dan Dewan Rakyat terbubar secara automatik kalau tidak diadakan persidangan dalam masa tertentu.

“Saya nak tanya Peguam Negara, kalau kerajaan tidak panggil Parlimen sebelum 1 Ogos ini, bukankah Parlimen itu akan bubar secara automatik? Adakah rakyat dan negara bersedia untuk adakan PRU?, katanya menerusi rakaman video, semalam.

Tegas Zaid, kenyataan Takiyuddin bahawa Parlimen hanya akan kembali bersidang selepas darurat berakhir 1 Ogos ini adalah tidak betul.

Katanya, pandangan menteri itu sangat mengelirukan kerana Parlimen boleh bersidang dari dahulu lagi, walaupun kerajaan isytiharkan darurat.

Sebab itu, kata beliau, Perlembagaan meminta kerajaan yang isytihar darurat bawa perkara itu ke Parlimen untuk dibahas dan ditetapkan, tidak betul kalau Takiyuddin kata dalam masa darurat Dewan Rakyat tidak boleh bersidang

“Yang membimbangkan saya, kalau dia kata akan panggil mesyuarat Parlimen selepas 1 Ogos, selepas darurat berakhir, ia seolah-olah memberitahu kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saranan Majlis Raja-Raja Melayu itu tidak mustahak, tidak penting,” katanya.

Beliau menjelaskan, Menteri Hal Ehwal Undang-Undang bukan penasihat rasmi kerajaan daripada segi undang-undang, sebaliknya tugasan itu bawah tanggungjawab Peguam Negara.

“Mungkin sekarang ini ada percanggahan kepentingan, tetapi apapun masalah dalaman, Menteri Undang-Undang tidak boleh beri nasihat undang-undang kepada kerajaan kerana mengelirukan.

“Nak elak masalah ini berlaku, ikutlah sahaja cadangan Yang di-Pertuan Agong. Panggillah Palimen bersidang minggu depan. Elakkan daripada automatik Parlimen dibubarkan,” katanya. 

– MalaysiaGazette

Tiada ulasan: