"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan lebih ketat bagi KL, Selangor diumum petang ini, kata Ismail

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengumumkan tindakan lebih menyeluruh di Kuala Lumpur dan Selangor petang ini dalam usaha menurunkan kes positif Covid-19, yang kekal tinggi di dua negeri berkenaan.

Bercakap kepada media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah pun berbincang mengenai perkara itu, namun memerlukan penelitian lanjut melaksanakannya.

“Kita mudah untuk membuat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor kerana boleh gunakan daerah, mukim tapi di Kuala Lumpur, tiada daerah di ibu negara dari segi pentadbiran daerah tiada, sempadan daerah tiada, itu yang kita sedang kaji.

“Petang ini akan saya umumkan tindakan kita di Selangor dan Kuala Lumpur yang kita nampak menyebabkan kes tak turun kerana separuh daripada kes di Malaysia direkodkan di negeri-negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata nilai ambang bagi setiap negeri juga dikaji bagi membolehkan negeri merekodkan kes rendah beralih ke fasa berikutnya. 

Katanya, tidak adil negeri mempunyai kes rendah terus berada pada nilai ambang sama, seperti negeri mempunyai kes tinggi.

“Perlis misalnya, dia dua digit, malah kadang-kadang satu digit pun satu hari tapi kerana Selangor menyumbang kes besar dan masih diletakkan dalam Fasa 1, sepatutnya mungkin boleh pindah ke Fasa 2 atau Fasa 3, katanya.

Beliau turut menafikan khabar angin bahawa Perlis, Terengganu dan Kelantan akan beralih ke Fasa 2, dan menegaskan keputusan itu perlu diumumkan oleh MKN atau Kementerian Kesihatan.

“Saya tak tahu ia dapat dari mana kerana MKN pun tidak bagi sebarang kenyataan, pada masa ini kita sedang lihat nilai ambang berdasarkan negeri-negeri bukan nasional. Kita anggap ia sebagai khabar angina,” katanya.

Tiada ulasan: