"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mahu angkat Mahathir jadi ketua de facto PN - Salleh Said Keruak

Malaysiakini

Seorang ahli politik kanan dari Sabah mendakwa PAS kini dalam usaha menjadikan Dr Mahathir Mohamad menjadi ketua sebenar PN ekoran langkah terbaru empat menteri besar dari parti berkenaan.

Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, malah melihat PAS mengambil tindakan tersebut tanpa melibatkan Bersatu walaupun kedua-dua parti berkenaan menganggotai PN.

"Saya mellihat langkah terbaru melantik Mahathir sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri sebenarnya suatu langkah menjadikan Mahathir pemimpin de facto PN.

"Memang jelas empat negeri terbabit - Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu - semuanya dikawal PAS.

"Ini (langkah pelantikan tersebut) menjelaskan mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijemput apabila pemimpin PAS menemui Mahathir awal bulan ini," dakwanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Semalam media melaporkan empat negeri yang dikuasai PN melantik Mahathir sebagai penasihat kerajaan.

Memetik kenyataan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, BH Online melaporkan bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu akan dijadikan penasihat tidak rasmi buat negeri yang diketuai PAS.

Samsuri yang juga naib presiden PAS berkata menteri besar dari Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan tersebut.

Secara prinsip, katanya, empat menteri besar terbabit sudah bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan dia sendiri sudah mengarahkan exco berkaitan untuk berbincang.

Mahathir, 98, merupakan bekas presiden Umno namun meninggalkan parti itu ekoran pertembungannya dengan Najib Razak. Dia kemudian menubuhkan Bersatu dan dilantik sebagai pengerusi.

Anggap langkah bijak

Krisis dalam kerajaan pada 2020 menyaksikan dia meninggalkan Bersatu dan membentuk kumpulan baru, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam PRU ke-15 lalu Pejuang menyertai persaingan sengit dan menyaksikan semua calonnya kalah serta hilang deposit, termasuk Mahathir yang cuba mempertahankan kerusinya di Langkawi.

Awal Sept lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama empat menteri besar negeri terbabit menemui Mahathir namun tidak banyak butiran yang didedahkan.

Salleh yang pernah menjadi pengerusi Umno Sabah berkata dia melihat perkembangan berkenaan sebagai "langkah bijak" diambil Mahathir dan pada masa sama mengehadkan kuasa Muhyiddin.

"Saya perlu akui ia adalah langkah bijak oleh Mahathir jika tujuan sebenarnya ialah mahu menjadi pemain utama politik sekali lagi walaupun mengalami kekalahan teruk di Langkawi semasa PRU ke-15.

"Saya percaya Muhyiddin berdepan dengan pilihan terhad kecuali mengikut apa saja keputusan dibuat PN pimpinan PAS mengenai pelantikan Mahathir," katanya yang kini menjadi Adun Usukan.

Tiada ulasan: