"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tahu tak apa yang didakwa dipinda dalam laporan audit 1MDB?'

Malaysiakini

Ketika tubuh Najib Razak terkurung kerana menjalani hukuman penjara 12 tahun, akaun media sosialnya terus dikemas kini dari semasa ke semasa.

Hari ini bekas perdana menteri itu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasannya terhadap pertuduhan salah guna kuasa kerana meminda laporan audit akhir 1MDB.

Menurut catatan berkenaan, Najib mendakwa Tommy Thomas - bertugas sebagai peguam negara ketika itu - tidak sepatutnya membuat pertuduhan ke atasnya sejak awal.

"Sekiranya ada sesiapa penyokong sebelah sana yang masih tidak puas hati sebab Najib dilepas dan dibebaskan dalam kes laporan audit 1MDB ini, sila tanya mereka: Kamu tahu tak apa sebenarnya yang didakwa telah dipinda dalam laporan audit itu? Kenapa tak tahu?" tulis hantaran tersebut.

Catatan tersebut juga menyatakan semasa perbicaraan berlangsung, keterangan saksi pendakwaan menunjukkan bahawa pindaan tersebut bersifat "tidak penting, remeh kecil."

Malah, kata hantaran itu, bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang memberitahu mahkamah, dia melaksanakan tugasnya tanpa tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.

Pada 3 Mac lalu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan membebaskan Najib selepas mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas presiden Umno berkenaan.

Mohamed Zaini juga bersetuju dengan peguam bela Najib bahawa "tiada kaitan kausal" atau tiada kaitan antara pindaan yang dibuat dengan suapan yang didakwa.

Perubahan yang menjadi subjek kes mahkamah Najib termasuklah dakwaan menghapuskan sebutan wujud dua penyata kewangan berbeza bagi tahun kewangan 2014 1MDB, dan syor ketua juruaudit untuk siasatan lanjut diambil serta menghapuskan sebutan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga syarikat itu pada 2009.

Menurut hantaran berkenaan, keputusan  ini bukanlah yang pertama seumpamanya diambil Mahkamah Rayuan apabila mereka menolak permintaan pihak pendakwaan untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.

Pada 8 Sept, kata hantaran tersebut, mahkamah mengekalkan keputusan membebaskan seseorang yang dituduh menyebabkan kematian anggota polis dan mencederakan seorang yang lain kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Keputusan itu, katanya, dikekalkan apabila pihak pendakwaan lewat memfailkan rayuan.

Pagi tadi Mahkamah Rayuan menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan rayuan terhadap pembebasan Najib dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, selepas gagal memfailkan petisyen mereka dalam tempoh masa yang diberikan.

Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim berkata, pihak pendakwaan sebelum ini mempunyai masa sehingga 6 Julai untuk memfailkan petisyen rayuan mereka.

"Tetapi itu tidak dilakukan. Jadi hari ini kami membuat perintah supaya dua notis rayuan itu dibatalkan. Kami mengikut undang-undang," tambahnya.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 untuk menghalang sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda turut didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan.

Tiada ulasan: