"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu diberitahu supaya lari bayangan Umno, elak lantik bekas pemimpin

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Bersatu perlu ‘lari dari bayangan Umno’ bagi memastikan kelangsungan jangka panjang dengan pemimpin serta ahli kembali kepada prinsip perjuangannya, kata penganalisis.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak lagi melantik bekas pemimpin Umno ke jawatan tinggi dalam Bersatu, merujuk pelantikan terbaru dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) serta negeri diumum Sabtu lalu.

Antaranya, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Noh Omar sebagai MPT selain bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik sebagai ketua Bersatu negeri. Bekas naib presiden Umno itu menang ketua Bersatu Alor Gajah pada pemilihan tahun lalu.

Sebelum ini, Bersatu juga melantik bekas timbalan ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz sebagai ketua penerangannya.

“Bersatu perlu berhenti segera lantik bekas pemimpin Umno. Jika tidak Bersatu akan dikenali sebagai parti pelarian, parti veteran Umno dan parti tempat pembuangan pemimpin yang sudah tidak relevan dalam Umno atau yang kecewa kerana tidak mendapat tempat lagi dalam parti.

“Lama-kelamaan wajah politik Bersatu tidak jauh beza dengan Umno kerana menerima gerombolan bekas pemimpin dan ahli Umno yang kemudian dilantik memegang jawatan utama dalam parti,” katanya kepada FMT.

Beliau juga tidak menolak keadaan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati ahli ‘original’ Bersatu.

“Ketidakpuasan hati ini semakin terserlah apabila terdapat wakil rakyat beralih sokongan dan pemimpin meninggalkan parti.”

Bersatu ditubuhkan pada 2016 dengan matlamat utamanya sebagai pengganti Umno dan menjadi wadah perjuangan baharu kepada orang Melayu.

Penubuhannya menyaksikan ada pemimpin dan ahli Umno berhijrah ke parti diketuai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berkata tindakan Bersatu terus memberi tempat kepada bekas pemimpin Umno menunjukkan ia ketandusan pelapis.

Katanya, jalan pintas diambil Bersatu adalah dengan melantik pemimpin yang sudah ada nama walaupun segelintir mereka sebelum ini terpalit kontroversi kepimpinan ketika bersama parti lama.

“Ini menunjukkan kegagalan Bersatu untuk membentuk kepimpinan baru di luar kepompong Umno…kerana cara yang mudah bagi Bersatu adalah mengambil pemimpin ada nama yang tidak puas hati dengan Umno, keluar Umno.

“Kerana untuk membentuk seorang pemimpin…yang payahnya adalah dari bawah, jadi ini menunjukkan ketandusan kepimpinan Bersatu dalam merangka strategi supaya ada barisan pelapis pemimpin,” katanya.

Tiada ulasan: