SITI NUR ZAWANI
Seorang kakitangan jabatan kerajaan negeri Perlis didakwa menyeleweng wang bantuan untuk mualaf yang berjumlah RM132,000.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai sudah melakukan kegiatan tersebut selama dua tahun sejak 2022 sehingga tahun lalu.
Dia didakwa melakukan tuntutan palsu untuk membolehkan wang bantuan mualaf dikeluarkan, namun dia tidak berbuat demikian apabila duit diperoleh.
Sehubungan itu perintah reman dikeluarkan terhadap lelaki berkenaan bermula hari ini sehingga 26 Januari depan yang dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
“Tuntutan palsu berkenaan dikemukakan menerusi 49 dokumen membabitkan 49 mualaf yang membolehkan sumbangan terhadap mualaf itu dikeluarkan.
“Suspek dipercayai menjadi ‘penghubung’ atau ‘orang tengah’ dalam menyalurkan wang sumbangan berkenaan kepada mualaf yang berdaftar,” katanya.
Katanya, wang bantuan yang dituntut suspek itu bagaimanapun tidak disalurkan kepada mualaf.
“Suspek ditahan 4.30 petang semalam selepas dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis,” katanya.
Suspek diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek.
Kes disiasat mengikut Sekyen 18 Akta SPRM 2009 kerana tuntutan palsu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan