Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my

Kanak-kanak lelaki maut, manakala lima ahli keluarga termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan di KM 164.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), arah timur, hari ini.
Maran: Kanak-kanak lelaki maut, manakala lima ahli keluarga termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan di KM 164.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), arah timur, hari ini.
Dalam kemalangan jam 1.56 pagi itu, mangsa Muhammad Al Amin Mohd Adil, 12, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Meranti, Puchong, Selangor maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan membabitkan Toyota Alphard dan lori jenis Volvo.
Katanya, kemalangan berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.
"Kenderaan dipandu bapa mangsa berusia 41 tahun terlanggar bahagian belakang sebuah lori sedang berhenti di lorong kecemasan sebelah kiri kerana mengalami kerosakan pada bahagian tayar belakang sebelah kiri.
"Akibat kemalangan, mangsa yang juga penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Bapa dan ibu mangsa berusia 42 tahun, serta tiga adik mangsa masing-masing berusia 10, 8 tahun dan setahun sembilan bulan cedera parah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Wong berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan