Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Tujuh penjawat awam di Selangor yang ditahan bagi membantu membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah adalah kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr Yusri Zakariah, berkata semua tujuh kakitangan itu sudah dipindahkan ke jabatan lain.
"Mereka diletakkan di jabatan yang tidak membabitkan kerja tanah sementara menunggu siasatan penuh dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika diminta mengulas mengenai kakitangan PTGS yang didakwa terbabit dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Terdahulu, Yusri merasmikan Jentera Low Loader bersama kawad bulanan Penguatkuasaan dan Pentadbiran Tanah Negeri Selangor di Dataran SUK hari ini.
Yusri berkata, pihaknya juga membuat siasatan dalaman berhubung kejadian itu dan ia dipercayai berlaku ketika proses penukaran sistem lama ke sistem baharu (sistem e-tanah).
Katanya, PTGS juga bekerjasama kepada polis dengan memberi keterangan, bukti dan sebagainya kepada pihak berkuasa terbabit.
Ditanya apakah inisiatif PTGS bagi memastikan insiden itu tidak berulang, Yusri berkata, ia berlaku kerana sikap atau integriti individu berkenaan sendiri yang mana mereka mengambil peluang melakukan penukaran ketika pelaksanaan sistem lama ke sistem baharu.
Dalam pada itu, Yusri turut menasihatkan pemilik tanah untuk sentiasa menyemak hak milik serta cukai tanah untuk memastikan ia dibayar serta nama pada geran adalah pemilik sebenar.
"Buat semakan sekurang-kurangnya setahun sekali dengan membuat carian persendirian. Pastikan nama di geran itu nama kita," katanya.
Sebelum ini, BH melaporkan, bertindak atas laporan polis oleh seorang penolong pegawai daerah awal November, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan 'orang dalam' di sebuah PTD di Selangor.
Berikutan itu, Bukit Aman menahan 17 individu, termasuk tujuh kakitangan pejabat tanah sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita, masing-masing berusia di antara 26 hingga 59 tahun.
"Secara keseluruhan, 17 individu ditahan untuk membantu siasatan. Mereka terdiri daripada tujuh kakitangan pejabat tanah, termasuk seorang penolong pegawai hartanah (Gred NT32) dan 10 orang awam daripada pelbagai latar belakang berbeza.
"Setakat ini, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7,101,000," katanya kepada BH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan