Harapandaily
Selepas diserang Geng Ustaz, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan desas-desus Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur daripada jawatan Presiden Pas sebagai tidak berasas.
Sanusi menganggap dunia masih memerlukan Abdul Hadi untuk membantu menyelesaikan konflik kemanusiaan dan politik serta menjadi jambatan antara mazhab-mazhab Islam yang berbeza.
Memetik BH, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, Hadi sama sekali tidak pernah menyatakan hasrat untuk berundur.
“Beliau (Hadi) masih aktif dalam menangani krisis kemanusiaan, menjadi orang tengah dalam konflik politik, dan merapatkan perpaduan antara mazhab-mazhab yang berbeza.
“Beliau memainkan peranan penting di pentas global. Dunia masih perlukan Tok Guru (Hadi). Pas masih perlukan beliau. Malaysia juga masih perlukan beliau,” katanya.
Berkelahi besar
Terdahulu, heboh dikatakan Pas bakal berpecah selepas pemilihan parti itu pada September depan apabila wujudnya pertembungan Geng Ustaz dengan bukan Ustaz selepas perpecahan pada muktamar 2015 lalu.
Menariknya, pemilihan kali ini menyaksikan kumpulan yang 10 tahun lalu bersama-sama Geng Ustaz, sekarang berkelahi besar dengan kem yang mahu mempertahankan ‘kepimpinan ulama’ dalam Pas.
Selain Sanusi, dua lagi pemimpin Pas iaitu Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut dikatakan mahu ‘melanggar’ kepimpinan ulama.
Pelbagai label dilontarkan seperti HooSAM 2.0, Geng Publika, Jebon 2.0, Taksubiyyun Dr Sam dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, Hadi masih menjadi figura yang digeruni dalam dunia politik walaupun mempunyai isu kesihatan tertentu.
“Dalam keadaan beliau sekarang pun, masih ada pihak yang takut kepadanya.
“Sebab itulah cerita kononnya beliau mahu berundur daripada jawatan Presiden Pas sengaja direka,” kata Sanusi.
Pada 7 Jun lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan laporan itu sebagai “tidak berasas dan bersifat spekulatif.”
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyatakan ia adalah salah tafsir terhadap perbincangan dalaman parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan