"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita ditemukan mati di kebun getah

Agensi
BOONHAI (kiri) bersama anak lelakinya, Chaiyaphruek ditahan atas tuduhan membunuh dengan sengaja. FOTO Agensi
BOONHAI (kiri) bersama anak lelakinya, Chaiyaphruek ditahan atas tuduhan membunuh dengan sengaja. FOTO Agensi
Bangkok: Tindakan seorang anak yang curiga selepas dilarang memasuki ladang getah oleh teman lelaki ibunya membawa kepada penemuan mayat ibunya yang dibunuh di lokasi itu.

Mangsa, Prathum, 52, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan dua kesan luka serius di kepala di ladang getah di daerah Saba Yoi, Songkhla, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Portal The Thaiger melaporkan, wanita berkenaan dipercayai dibunuh oleh teman lelaki, Boonhai, 51, dan anak lelaki suspek utama, Chaiyaphruek, 26.

Bedah siasat dilakukan di Hospital Songklanagarind sebelum mayatnya diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Anak mangsa, Pornthep, berkata ibunya masuk ke ladang itu bersama Boonhai dan Chaiyaphruek.

"Pada awalnya saya mahu membantu ibu, selepas mengasah pisau toreh saya ke ladang getah dengan menunggang motosikal.

"Namun, sebaik tiba, saya terserempak dengan dua lelaki itu yang dalam keadaan mencurigakan dan marah, malah mereka menghalang saya masuk ke kawasan itu.

"Saya ikut kata mereka dan beredar, tetapi saya rasa tak sedap hati.

"Apabila saya patah balik, dua lelaki itu sudah tiada. Saya cari ibu dan akhirnya jumpa dia sudah terbaring tidak bernyawa berhampiran pokok getah," katanya.

Pornthep berkata, sebelum ini ibunya pernah menyuarakan masalah mengenai hubungan dengan teman lelakinya itu dan dia percaya pertelingkahan berpanjangan mungkin punca pembunuhan itu.

Difahamkan, Prathum menjalinkan hubungan dengan Boonhai sejak tiga tahun lalu.

Walaupun lelaki itu bukan berasal dari Songkhla, dia sudah menetap di situ lebih 15 tahun, manakala anak lelakinya pula muncul sekitar antara tiga hingga empat bulan sebelum kejadian.

Berdasarkan bukti kukuh di lokasi, polis Balai Saba Yoi mengeluarkan waran tangkap ke atas dua beranak itu atas tuduhan membunuh dengan sengaja.

Pisau dan beberapa peralatan pertanian turut ditemui di lokasi kejadian.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan suspek bersama melarikan diri menaiki motosikal Kawasaki hijau meninggalkan kawasan pembunuhan.

Kedua-duanya masih disoal siasat polis dan setakat ini butiran lanjut mengenai tangkapan dan perincian kes masih belum didedahkan kepada umum.
-hmetro 

Tiada ulasan: