FMT Reporters
PETALING JAYA: Bapa yang menghempas bayi dua bulan sehingga menyebabkan kematian empat tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Danial Iman Mohd Sharif dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada Julai 2022.
Dalam alasan penghakiman dikeluarkan 15 Jan, Hakim Aslam berkata dalam mana-mana kes jenayah melibatkan hukuman, kepentingan awam merupakan faktor yang dan harus diutamakan mahkamah semasa menjatuhkan hukuman.
“Tertuduh telah mengaku bersalah tanpa syarat dan dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun bermula dari tarikh penahanannya. Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan, kini telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya menurut Bernama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di rumahnya di Bandar Tasik Puteri Rawang, pada 30 hingga 31 Julai 2022, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 29 Julai 2022, tertuduh bergaduh dengan isteri sehingga bertumbuk dan membuang telefon bimbit isterinya sebelum wanita itu masuk tidur pada kira-kira 2 pagi dan meninggalkan mangsa bersama tertuduh di ruang tamu.
Semasa bersama bayi itu di ruang tamu, tertuduh bertindak mengambil mangsa dari atas kusyen (yang berada di atas lantai) dan menghempas mangsa ke bawah sehingga bahagian pinggang ke atas badan bayi itu terhentak ke lantai, menyebabkan mangsa menangis.
Isteri tertuduh yang terjaga kemudian melihat bayinya menangis sebelum bertindak memberinya susu dan pada 4.30 petang, isteri tertuduh masih mendengar tangisan bayi yang berterusan dan merasa tidak sedap hati kerana keadaan itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pada 31 Julai 2022, 5.45 petang, tertuduh sekali lagi bertindak merentap tangan, menekan perut, dan menghempas mangsa ke atas kusyen yang berada di lantai kerana tertekan dan semasa mangsa dihempas, kepalanya telah terkena pada bucu meja dan mengalami kecederaan.
Isteri tertuduh melihat bibir bayinya berdarah dan pernafasannya tersekat-sekat sebelum tertuduh memaklumkan mangsa terhempas dan bibirnya terkena meja palet kayu. Wanita itu kemudian meminta tertuduh membawa anak mereka ke klinik.
Hasil siasatan mendapati punca kematian mangsa adalah akibat pendarahan dalam kepala disebabkan hentakan objek tumpul ketika tertuduh menghempas bayi berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilah Abd Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Santhakumari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan