Alyaa Alhadjri
Ratusan turun ke jalan raya di Kuala Lumpur hari ini bagi menggesa peletakan jawatan dan penahanan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ia susulan skandal pemilikian sahamnya serta dakwaan yang disiarkan laporan Bloomberg, yang pegawai SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk mengambil alih syarikat lain secara paksa.
Selain Azam, peserta himpunan Tangkap Azam Baki 2.0 hari ini turut menyasarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menurut mereka mempertahankan Azam daripada desakan letak jawatan sementara siasatan bebas dijalankan terhadapnya.
Dengan peserta mula berkumpul sekitar pusat beli-belah Sogo pada jam empat petang tadi, penganjur himpunan daripada NGO Mandiri didekati oleh seorang anggota polis berpakaian biasa dan mengarahkan mereka agar memindahkan himpunan beberapa ratus meter dari situ, bagi menghalang orang awam yang ingin membeli-belah sempena Tahun Baru Cina dan bulan puasa beberapa hari lagi.
Wakil-wakil masyarakat sivil serta beberapa anggota Parlimen menyampaikan ucapan sambil berdiri di belakang sebuah trak pikap.
Antara yang berucap adalah Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang mengingatkan kerajaan bahawa lebih banyak protes akan dibuat jika tiada tindakan diambil terhadap Azam.
Menurutnya, himpunan hari ini hanyalah untuk melihat tindak balas kerajaan atas dakwaan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM itu.
“Jika kerajaan masih tak mahu gantung Azam dan tak mahu adakan siasatan yang bebas dan telus, maka kita tiada pilihan lain kecuali turun berkali-kali sehingga Azam turun,” kata bekas menteri ekonomi itu.
Rafizi turut mengingatkan Anwar bahawa dia, sebagai ketua pembangkang pada 2022, pernah menyokong gesaan agar Azam berundur.
Justeru, kata bekas timbalan presiden PKR itu lagi, rakyat hari ini memang menjangkakan pendirian dan tindakan yang sama daripada Anwar.
Dia turut berkata Anwar, sebagai presiden PKR, pernah menyindir ahli parti itu yang dianggap “merengek” tanpa memberi sumbangan produktif.
“Kepada Anwar, kami (ahli PKR) merengek dan merungut sebab kami cintakan negara…jadi bila rakyat marah anda, anda juga tak jatuh bersama-sama dengannya (Azam),” katanya lagi.
Dengan sentimen yang sama, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz memberi amaran himpunan lebih besar akan diadakan, dengan membayangkan kemungkinan penganjuran Bersih 6.
“Ini peringatan daripada rakyat. Kita tidak mahu ada lagi rasuah, terutama bila libatkan Azam,” katanya, yang turut mengimbas kembali protes terhadap Azam - juga berhubung isu pemilikan saham - pada 2022.
Dakwaan berkaitan lain
Sementara itu, Anggota Parlimen Subang Wong Chen berkata jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat pemilikan saham Azam seharusnya turut meneliti dakwaan lain yang berkaitan.
“Azam kata dia sudah jual sahamnya, tapi dia rugi RM400,000 dan kelihatan langsung tak kisah.
“Jadi beritahu rakyat - apakah aset semasa anda? Saya cabar anda. Apa kereta yang anda ada? Rumah? Ada berapa isteri?” soal Wong.
Terdahulu hari ini, Azam berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa yang menyiasatnya.
Dia juga memberikan komitmen untuk bekerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Turut berucap Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengingatkan Anwar berkenaan himpunan-himpunan besar yang pernah diadakan sejak dua dekad lalu, termasuk gerakan Reformasi yang dicetuskannya sendiri.
“20 tahun lalu, kita berkumpul untuk melawan kezaliman. 10 tahun lalu, (kita lawan) 1MDB.
“Hari ini juga sama. Kita tak mahu orang ambil wang negara,” katanya.
Keadilan dalam penguatkuasaan
Selepas ucapan, orang ramai mula berarak menuju Dataran Merdeka, diiringi paluan gendang, lagu protes dan laungan “Tangkap Azam Baki”. Anggota polis beruniform berkawal di sepanjang jalan.
Para peserta turut mengangkat sepanduk besar, antaranya memaparkan karikatur Azam dan Anwar, masing-masing dengan tanda X.
Peserta yang berada di hadapan pula mengangkat kain rentang dengan tulisan “Lawan Dua Darjat” - tuntutan agar keadilan ditegakkan dalam penguatkuasaan terhadap dakwaan rasuah.
Turut serta wakil pelbagai kumpulan termasuk Parti Sosialis Malaysia, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Mandiri.
Bagaimanapun para anggota Parlimen yang hadir di himpunan itu tidak menyertai perarakan.
Para peserta kemudian berkumpul di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad yang baru dinaik taraf.
Himpunan ditamatkan sekitar jam enam petang, dengan wakil sejumlah kumpulan pelajar menyuarakan sejumlah tuntutan, dan menegaskan masa depan mereka terencam jika tiada tindakan serius diambil untuk menangani akar punca rasuah di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan