"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Jika Azam tak turun, kami terus buat himpunan

Nur Alif Hazmi, Zaza Atira dan Alysha Edward

Ahli Parlimen Pandan itu berkata himpunan hari ini sekadar uji reaksi kerajaan terhadap desakan supaya Azam Baki berundur dari SPRM.
Bekas menteri Rafizi Ramli ketika berucap di perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki meletak jawatan di pekarangan kompleks beli-belah Sogo.
KUALA LUMPUR: Bekas menteri Rafizi Ramli memberi amaran untuk terus mengadakan beberapa himpunan lagi sekiranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak melepaskan jawatan susulan kontroversi pemilikan saham.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata kata himpunan hari ini sekadar uji reaksi kerajaan dan sekiranya kerajaan masih enggan gantung Azam dan adakan siasatan bebas, protes akan diteruskan.

“Kalau kerajaan masih lagi tak mahu menggantung Azam dan tidak mahu adakan satu siasatan yang bebas dan telus, maka kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk turun berkali-kali sehingga Azam turun,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan pekarangan kompleks beli-belah Sogo.

Rafizi juga menolak cabaran Azam untuk membuat laporan polis terhadap pendedahan Bloomberg mengenai pemilikan saham itu dan kerana akhirnya SPRM akan menjalankan siasatan sendiri.

“Kalau kita buat laporan akhirnya siapa yang akan siasat? Azam akan siasat Azam sahaja,” katanya.

Terdahulu lebih 200 berkumpulan di pekarangan kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka bagi mendesak Azam meletak jawatan.

Penganjur himpunan, Sekretariat #TangkapAzamBaki mendakwa, pemilikan saham oleh ketua SPRM itu telah menjejaskan keyakinan awam terhadap badan pencegah rasuah tersebut.

Bloomberg sebelum ini melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7%, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu.

Laporan itu turut menyebut nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat yang diselenggara oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah.

Azam bagaimanapun menegaskan transaksi itu telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan pada tahun lalu. Beliau juga memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan itu.

Tiada ulasan: