"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Panik diserbu, 2 warga asing terjun laut dan hanyut 4 km

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
MOHD Yusri menyoal siasat dua warga Bangladesh yang berjaya diselamat selepas  terjun ke laut bagi mengelak ditahan. FOTO Zaid Salim.
MOHD Yusri menyoal siasat dua warga Bangladesh yang berjaya diselamat selepas terjun ke laut bagi mengelak ditahan. FOTO Zaid Salim.
Setiu: Dua lelaki warga Bangladesh bertindak melarikan diri sebelum terjun ke laut selepas tapak pembinaan tempat mereka bekerja diserbu Jabatan Imigresen (JIM) kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Dalam kejadian itu, kedua-dua lelaki yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Lembah Bidong, di sini, dipercayai berjalan hampir satu kilometer menyusuri kawasan pantai selepas meloloskan diri daripada operasi yang bermula jam 10 pagi.

Bagaimanapun, mereka ditemui sekumpulan tiga anggota Pasukan Tindakan Khas (PASTAK) JIM Putrajaya yang turut menjalankan rondaan di kawasan pantai.

Bimbang ditahan selepas terserempak dengan anggota penguat kuasa, mereka yang berusia lingkungan 30-an itu nekad terjun dan berenang ke tengah laut.

Ketika berada di dalam laut, mereka sempat berpaut pada kotak polistirena yang hanyut dibawa ombak dan menggunakannya sebagai pelampung sementara menunggu bantuan.

Operasi menyelamat kemudian dilaksanakan dengan bantuan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bot nelayan.

Kedudukan mereka berjaya dikesan menerusi pemantauan dron Jabatan Imigresen sebelum kedua-duanya diselamatkan selepas lebih dua jam berada di laut.

Sementara itu, Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata sebaik diselamatkan lelaki terbabit diberikan minuman sebelum soal siasat dilakukan.

"Kedua-dua mereka dihanyutkan sejauh lebih empat kilometer daripada lokasi serbuan dan tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma keletihan selepas lebih dua jam berada di laut.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen dan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Mohd Yusri berkata, dalam operasi itu, seramai 316 warga asing diperiksa dan 226 daripadanya ditahan atas kesalahan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, salah guna pas atau permit dan tidak memiliki sebarang dokumen.

Mereka terdiri daripada 222 warga Bangladesh, tiga Indonesia dan seorang warga India.

Semuanya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: