Anne Muhammad
PETALING JAYA: Kenyataan Presiden PAS Hadi Awang bahawa keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ‘tergugur dengan sendiri’ dilihat sebagai usaha menyelesaikan kemelut antara dua parti itu, tanpa melalui proses yang ditetapkan perlembagaan PN.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Bersatu mempunyai kepentingan untuk terus berada dalam PN kerana gabungan itu masih mempunyai nilai politik yang besar.
“Kita tahu mereka sukar untuk melepaskan PN kerana PN merupakan gabungan Melayu yang paling kuat dalam politik Malaysia ketika ini,” katanya kepada FMT.
“Jadi, bagi Bersatu, mereka masih menganggap diri mereka sebahagian daripada PN selagi proses untuk menamatkan keanggotaan itu tidak dilakukan mengikut perlembagaan.”
Pada 17 Julai, sehari sebelum hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan rancangan untuk membentuk gabungan baharu dengan parti lain, yang akan berdepan PRU akan datang.
Pengumuman itu berlatarkan kemelut dengan PAS, yang menghentikan kerjasama politik selepas mengkaji satu persatu tindakan Bersatu, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.
PAS tidak menggunakan jenteranya untuk membantu kempen Bersatu pada PRN Johor, dan Bersatu menyertai PRN Negeri Sembilan atas lambang sendiri — kekalahan total membawa kepada Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mengumumkan Bersatu akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif.
Semalam, Hadi mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN tanpa memerlukan surat rasmi mahupun keputusan jawatankuasa memandangkan parti itu mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Katanya, tindakan menyertai atau menubuhkan blok politik lain secara sendirinya menghentikan keahlian sesebuah parti mengikut prinsip perlembagaan PN.
Azmin bagaimanapun menyifatkan kenyataan Hadi itu bercanggah dengan perlembagaan, menegaskan kedudukan Bersatu hanya boleh dimuktamadkan oleh majlis presiden.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata kenyataan Hadi itu suatu ‘isyarat politik’ bagi memberitahu bahawa kuasa dalam PN sedang berubah, dan PAS tidak mahu lagi hubungan lama diteruskan seolah-olah tiada apa berlaku.
“Kita jangan terlalu naif. Kenyataan Hadi bukan sekadar tafsiran perlembagaan,” katanya kepada FMT.
Zaharuddin menegaskan pertikaian itu “perang menentukan siapa yang memegang stereng PN menuju PRU16”, di sebalik persoalan mengenai proses kolektif dalam PN dan fungsi majlis presiden.
Katanya, di sebalik kekuatan akar umbi PAS dan sejarah Bersatu dalam PN ialah mampukah mereka mengikut peraturan apabila ia menyakitkan kepentingan sendiri.
“Kalau belum mampu berkongsi rumah, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu berkongsi Putrajaya?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan