"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengawal keselamatan parah terjatuh tren ketika bergelut dengan penumpang mabuk

Bernama
Deutsche Bahn
Pengawal yang cedera parah itu kemudian ditemukan di tepi landasan dalam operasi mencari secara besar-besaran, kira-kira dua kilometer dari lokasi tren berkenaan berhenti. - Gambar/ Deutsche Bahn
STUTTGART: Seorang pengawal keselamatan syarikat pengendali rel Jerman, Deutsche Bahn, cedera parah selepas terjatuh dari tren yang sedang bergerak ketika berlaku pergelutan dengan seorang penumpang, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) yang memetik polis dan pendakwa raya.

Kejadian berlaku pada petang Jumaat ketika pemeriksaan tiket dijalankan dalam sebuah tren yang dalam perjalanan dari Offenburg ke Karlsruhe di barat daya Jerman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan awal Sabtu, pertengkaran mulut dipercayai tercetus ketika pemeriksaan itu, menyebabkan dua pengawal keselamatan Deutsche Bahn dipanggil.

Seorang penumpang yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk didakwa menghina kedua-dua pengawal berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara lelaki berusia 36 tahun itu dengan seorang daripada pengawal terbabit yang berusia 26 tahun.

Kedua-duanya terjatuh ke lantai ketika bergelut. Sebuah pintu tren kemudian terbuka atas sebab yang masih belum diketahui, menyebabkan pengawal berusia 26 tahun itu terjatuh dari tren yang sedang bergerak berhampiran Ettlingen-Bruchhausen, menurut polis dan pendakwa raya.

Kelajuan tren ketika kejadian masih belum dapat dipastikan.

Suspek ditahan ketika masih berada di dalam tren.

Pengawal yang cedera parah itu kemudian ditemukan di tepi landasan dalam operasi mencari secara besar-besaran, kira-kira dua kilometer dari lokasi tren berkenaan berhenti.

Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Tiada maklumat terkini mengenai keadaannya setakat malam itu.

Polis sedang menyiasat punca serta urutan sebenar kejadian.

Tren berkenaan dihentikan sementara daripada perkhidmatan bagi membolehkan siasatan diteruskan.

-- BERNAMA-dpa

Bekas jururawat dipercayai bunuh pesakit guna najis

Agensi

Kashiwa, Jepun: Bekas jururawat yang didakwa membunuh seorang pesakit dengan mencampurkan najis ke dalam saluran intravena (IV) mangsa dipercayai pernah melakukan carian menerusi telefon pintarnya bagi mengetahui sama ada suntikan najis mampu menyebabkan kematian.

Sumber siasatan mendedahkan, wanita terbabit turut dilihat memasuki bilik pesakit di hospital di wilayah Chiba itu beberapa kali dalam tempoh singkat sebelum mangsa meninggal dunia, menurut kenyataan pegawai hospital.

Memetik laporan The Japan Times, bekas jururawat berusia 51 tahun itu, Miyuki Furukawa, ditahan pada Rabu atas dakwaan membunuh seorang pesakit lelaki pada awal pagi 30 Januari lalu.

Bagaimanapun, suspek dilaporkan menafikan semua pertuduhan dan dakwaan yang dikenakan terhadap dirinya.

Polis Wilayah Chiba kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana bahan najis itu boleh dicampurkan ke dalam tiub sambungan titisan intravena berkenaan.

Pengarah Hospital Kashiwa Tanaka, Tomonobu Hasegawa dalam satu sidang media pada Khamis memohon maaf berhubung kes pembunuhan yang berlaku di fasiliti kesihatan berkenaan.

Katanya, pihak hospital akan melaksanakan latihan semula kepada semua kakitangan secara menyeluruh berkaitan etika kerja.

Menurut pihak hospital yang terletak di bandar Kashiwa, wilayah Chiba itu, seorang penolong jururawat yang bertugas syif malam bersama Furukawa mendakwa melihat suspek beberapa kali keluar masuk ke bilik pesakit, Eiji Aita, 75, yang kemudiannya meninggal dunia.

Furukawa dipercayai sering berinteraksi dengan Aita ketika bertugas syif malam iaitu sekitar empat hingga lima kali sebulan.

Kira-kira jam 4 pagi pada 30 Januari lalu, penolong jururawat berkenaan mendapati Aita berada dalam keadaan kesakitan ketika melakukan rondaan pemeriksaan rutin.

Ketua jururawat yang bergegas ke bilik pesakit selepas menerima panggilan kemudian menemui objek asing berwarna coklat di dalam tiub sambungan infusi yang disambungkan kepada pesakit.

Tiub itu ditanggalkan dan disimpan di dalam bekas steril. Bagaimanapun, Furukawa kemudian memindahkannya ke bilik kakitangan hospital ketika Aita masih menerima rawatan.

Apabila diperiksa semula, objek asing itu didapati bertukar warna kemerahan. Susulan kejadian itu, suspek digantung tugas serta-merta sebelum dia meletak jawatan pada 24 Februari lalu selepas mengetahui polis memulakan siasatan.
-hmetro 

Bangunan rumah kedai runtuh, hempap dua kenderaan

Sinar Harian
Sebuah bangunan rumah kedai runtuh dan menghempap dua kenderaan di Kota Laksamana.
Sebuah bangunan rumah kedai runtuh dan menghempap dua kenderaan di Kota Laksamana. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Sebuah bangunan rumah kedai runtuh dan menghempap dua kenderaan di Kota Laksamana, petang tadi.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah tiba di lokasi dan sedang menjalankan operasi pemeriksaan serta pemantauan bagi memastikan keadaan selamat.

Maklumat awal yang diterima setakat ini memaklumkan insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang mangsa.

Perkembangan lanjut mengenai kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - Sinar Harian

Wanita maut selepas dihempap pokok kelapa sawit

Alias Abd Rani
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok kelapa sawit di Paloh, Kluang.- Foto JBPM
KLUANG: Seorang wanita maut selepas dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang dalam kejadian di Ladang Kekayaan, Paloh, petang tadi.

Mangsa, Syafiyah Abd Rasid, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dihempap pokok berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Yusma Yuzaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.01 petang.

Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan jentera jengkaut bersama peralatan khas bagi mengangkat pokok yang menghempap mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Tamim Dahri akhirnya serah diri

FMT Reporters

Aktivis yang didakwa lari ke Thailand selepas dikatakan buat ugutan di FB serah diri kira-kira 12.45 tengah hari tadi.
Tamim Dahri Abdul Razak
Tamim Dahri Abdul Razak akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan perintah tahanan reman, menurut polis Negeri Sembilan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Polis mengesahkan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak, yang terkait dengan kes ugutan menerusi Facebook, akhirnya menyerah diri di IPD Port Dickson hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, Tamim, 33, yang didakwa melarikan diri ke luar negara, telah menyerah diri sekitar 12.45 tengah hari tadi.

Beliau berkata, siasatan bermula selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berketurunan India pada 10 Mac lalu yang mendakwa diugut oleh suspek di Facebook.

Susulan laporan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Usaha mengesan suspek telah dijalankan di sekitar Kajang, Selangor, namun siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai telah melarikan diri ke Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lalu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum kembali ke negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.

Sebaik tiba di Malaysia, suspek tampil menyerah diri di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan.

Alzafny menambah, suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan perintah tahanan reman.

PRN Negeri Sembilan ke-16: Senarai calon


Hmetro

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 membuka tirai dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di lapan pusat penamaan di seluruh negeri, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 103 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas layak bertanding.

Berikut adalah calon bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding:

Senarai calon PRN Negeri Sembilan ke-16
N01 CHENNAH: 14,422 pengundi
1. Siow Kong Choon (BN-MCA)
2. Anthony Loke Siew Fook (PH-DAP)
2023: Anthony Loke Siew Fook (PH-DAP) (Majoriti - 2,200)

N02 PERTANG: 12,873 pengundi
1. Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-UMNO)
2. Mohd Umry Abdul Khois (PH-PKR)
3. Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (Bersatu)
2023: Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-UMNO) (Majoriti - 2,790)

N03 SUNGAI LUI: 19,684 pengundi
1. Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-UMNO)
2. Nazrul Hisham Abdul Mansor (Bersatu)
3. Zainal Fikri Abd Kadir (PH-PKR)
2023: Mohd Razi Mohd Ali (BN-UMNO) (Majoriti - 535)

N04 KLAWANG: 13,355 pengundi
1. Muhammad Adib Musa (Bersatu)
2. Danni Rais (PN-Wawasan)
3. Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah)
2023: Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah) (Majoriti - 577)

N05 SERTING: 30,599 pengundi
1. Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-PAS)
2. Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (Bersatu)
3. Yaacob Mahmood (PH-Amanah)
2023: Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-PAS) (Majoriti - 843)

N06 PALONG: 23,555 pengundi
1. Datuk Mustapha Nagoor (BN-UMNO)
2. Muhammad Zahin Zinal Abidin (PH-PKR)
3. Rebin Birham (Bersatu)
2023: Mustapha Nagoor (BN-UMNO) (Majoriti - 564)

N07 JERAM PADANG: 16,590 pengundi
1. Sri Sanjeevan Ramakrishnan (Bersatu)
2. G. Manivannan (PH-PKR)
3. Dayana Dal (ASLI)
4. Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-UMNO)

2023: Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-UMNO) (Majoriti - 693)

N08 BAHAU: 25,972 pengundi
1. Teo Kok Seong (PH-DAP)
2. Chong Fui Ming (BN-MCA)
2023: Teo Kok Seong (PH-DAP) (Majoriti - 8,408)

N09 LENGGENG: 28,880 pengundi
1. Zarinna Abu Zarin (PH-Amanah)
2. Datuk Mohd Asna Amin (BN-UMNO)
3. Zool Amali Hussin (Bersatu)
2023: Mohd Asna Amin (BN-UMNO) (Majoriti - 685)

N10 NILAI: 45,911 pengundi
1. Zamani Ibrahim (Berjasa)
2. J. Arul Kumar (PH-DAP)
3. Omar Mohd Isa (Bebas)
4. Lai Chien Kong (BN-MCA)
5. Datuk V. Saravana Kumar (Bersatu)
2023: J. Arul Kumar (PH-DAP) (Majoriti - 10,889)

N11 LOBAK: 23,079 pengundi
1. Dr P. Kumar (PN-PAS)
2. Chew Seh Yong (PH-DAP)
2023: Chew Seh Yong (PH-DAP) (Majoriti - 13,504)

N12 TEMIANG: 12,947 pengundi
1. Ho Weng Wah (PH-DAP)
2. Leaw Kok Chan (BN-MCA)
3. Fazly Hamid (Bersatu)
2023: Ng Chin Tsai (PH-DAP) (Majoriti - 3,068)

N13 SIKAMAT: 34,103 pengundi
1. Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu)
2. Datuk Razali Abu Samah (PN-Wawasan)
3. Nor Azman Mohamad (PH-PKR)
2023: Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR) (Majoriti - 2,662)

N14 AMPANGAN: 21,336 pengundi
1. Datuk Muhammad Nazri Kassim (PH-PKR)
2. Noor'azah Harun (Bersatu)
3. Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (PN-PAS)
2023: Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH-PKR) (Majoriti - 329)

N15 JUASSEH: 13,671 pengundi
1. Mohd Zuhaimi Md Yusof (Bersatu)
2. Datuk Ismail Lasim (BN-UMNO)
3. Mohd Aidil Abdullah (PH-PKR)
2023: Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-UMNO) (Majoriti - 78)

N16 SERI MENANTI: 10,105 pengundi
1. Muhammad Sufian Maradzi (BN-UMNO)
2. Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (PH-PKR)
3. Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin (Bersatu)
2023: Muhammad Sufian Maradzi (BN-UMNO) (Majoriti - 370)

N17 SENALING: 9,903 pengundi
1. Mohamad Qayyum Abd Jalil (BN-UMNO)
2. Mohd Izaffi Istear Khan (Bersatu)
3. Mohd Hanis Alimin (PH-Amanah)
2023: Datuk Ismail Lasim (BN) (Majoriti - 662)

N18 PILAH: 18,034 pengundi
1. S Leza Md Yasin (BN-UMNO)
2. Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (PH-PKR)
2023: Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (PH-PKR) (Majoriti - 1,079)

N19 JOHOL: 12,331 pengundi
1. Mohd Zailan Mohd Munawar (PH-Amanah)
2. Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN-UMNO)
2023: Saiful Yazan Sulaiman (BN-UMNO) (Majoriti - 2,117)

N20 LABU: 32,884 pengundi
1. Datuk Ahmad Faez Abdul Razak (PH-PKR)
2. Mohamad Hanifah Abu Baker (Bersatu)
3. Siti Nur Umaira Hasim (BN-UMNO)
2023: Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Bersatu) (Majoriti - 1,640)

N21 BUKIT KEPAYANG: 49,568 pengundi
1. Nicole Tan Lee Koon (PH-DAP)
2. Lee Boon Shian (PN-Gerakan)
2023: Nicole Tan Lee Koon (PH-DAP) (Majoriti - 19,684)

N22 RAHANG: 19,715 pengundi
1. Desmond Siau Meow Kong (PH-DAP)
2. S. Tinagaran (PSM)
3. Yap Siok Moy (BN-MCA)
4. Tang Jay Son (Bersatu)
2023: Desmond Siau Meow Kong (PH-DAP) (Majoriti - 6,432)

N23 MAMBAU: 30,346 pengundi
1. Lee Kai Yet (PH-DAP)
2. N. Sarawanan (Bersatu)
3. Erik Michael (PN-Wawasan)
2023: Yap Yew Weng (PH-DAP) (Majoriti - 14,940)

N24 SEREMBAN JAYA: 33,015 pengundi
1. Datuk R.T. Thinalan (BN-MIC)
2. R. Mahendran (Bersatu)
3. S. Mugunthan (PH-DAP)
2023: P. Gunasekaren (PH-DAP) (Majoriti - 12,703)

N25 PAROI: 64,998 pengundi
1. Ahmad Shahir Mohd Shah (PH-Amanah)
2. Mohd Nazree Mohd Yunos (Bersatu)
3. Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-PAS)
2023: Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-PAS) (Majoriti - 5,539)

N26 CHEMBONG: 26,547 pengundi
1. Danish Nazran Murad (PH-PKR)
2. Datuk Zaifulbahri Idris (BN-UMNO)
2023: Datuk Zaifulbahri Idris (BN-UMNO) (Majoriti - 4,335)

N27 RANTAU: 34,831 pengundi
1. Dr Azizul Hakim Mahdi (PH-PKR)
2. Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-UMNO)
2023: Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-UMNO) (Majoriti - 10,280))

N28 KOTA: 16,744 pengundi
1. Akmal Noradzmi Abd Rahim (Bersatu)
2. Muhammad Allif Ibrahim (PH-Amanah)
3. Suhaimi Aini (BN-UMNO)
2023: Suhaimi Aini (BN-UMNO) (Majoriti - 135)

N29 CHUAH: 15,129 pengundi
1. Pau Jeou Ching (BN-MCA)
2. Datuk Yew Boon Lye (PH-PKR)
2023: Yew Boon Lye (PH-PKR) (Majoriti - 6,298)

N30 LUKUT: 28,219 pengundi
1. Choo Ken Hwa (PH-DAP)
2. Sathes Kumar Nilameham (PN-MIPP)
3. Teo Seng Lee (Bebas/IND)
2023: Choo Ken Hwa (PH-DAP) (Majoriti - 10,135)

N31 BAGAN PINANG: 27,451 pengundi
1. Sheikh Junaidy Jamaludin (Bersatu)
2. Abdul Fatah Zakaria (PN-PAS)
3. Nasir Raman (PH-Amanah)
2023: Abdul Fatah Zakaria (PN-PAS) (Majoriti - 3,426)

N32 LINGGI: 20,677 pengundi
1. Datuk Zamri Md Said (Bersatu)
2. Datuk Mohd Faizal Ramli (BN-UMNO)
3. Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR)
2023: Datuk Mohd Faizal Ramli (BN-UMNO) (Majoriti - 1,461)

N33 SRI TANJUNG: 19,590 pengundi
1. A. Achuthan (BN-MIC)
2. Datuk A. Saravanan (Bebas/IND)
3. M. Leevineshwaraan (Bersatu)
4. Islah Wahyudi Zainudin (Bebas/IND)
5. Datuk Dr G. Rajasekaran (PH-PKR)
2023: Dr G. Rajasekaran (PH-PKR) (Majoriti - 3,996)

N34 GEMAS: 29,600 pengundi
1. Azman Abdullah (Bersatu)
2. Ridzuan Ahmad (PN-Wawasan)
3. Siti Aishah Seman @ Othman (PH-PKR)
2023: Ridzuan Ahmad (PN-Bersatu) (Majoriti - 3,120)

N35 GEMENCHEH: 24,916 pengundi
1. Suhaimizan Bizar (BN-UMNO)
2. Abd Latif A Tambi (PH-Amanah)
2023: Suhaimizan Bizar (BN-UMNO) (Majoriti - 2,434)

N36 REPAH: 27,910 pengundi
1. Koh Kim Swee (BN-MCA)
2. S. Veerapan (PH-DAP)
2023: S. Veerapan (PH-DAP) (Majoriti - 5,950)

Wanita terkejut dirakam dua lelaki China secara sembunyi

KOSMO!
Tangkap layar memaparkan kejadian di sebuah kedai serbaneka di Ijok, Selangor.
PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa dirinya bersama anak perempuan menjadi mangsa rakaman secara sembunyi oleh dua lelaki warga China ketika berada di sebuah kedai serbaneka di Ijok, Selangor.

Menerusi hantaran Threads di akaun @HaniHazwanii, dia bersama suami dan anak pada mulanya menyedari dua lelaki terbabit dipercayai merakam beberapa pelanggan wanita di dalam premis berkenaan sebelum bertindak menghampiri mereka untuk mendapatkan penjelasan.

Dakwanya, kedua-dua lelaki tersebut pada awalnya menafikan merakam sebarang video, namun selepas telefon bimbit mereka diperiksa, rakaman berkenaan didakwa ditemui dalam fail yang dipadam.

“Apabila kami bertanya mengapa mereka merakam orang tanpa kebenaran, mereka hanya menggunakan Google Translate dan mengatakan tidak memahami apa yang kami katakan,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Wanita itu berkata, mereka kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada juruwang sebelum diminta membawa isu berkenaan kepada penyelia atau pengurus yang bertugas.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada tindakan jelas diambil ketika itu menyebabkan mereka hanya menegur kedua-dua lelaki terbabit sebelum meninggalkan premis.

“Kami tidak mahu membuat kecoh. Saya hanya berkongsi perkara ini sebagai peringatan. Jika melihat sesuatu seperti ini, percayalah naluri anda dan jangan takut untuk menegur,” katanya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menggesa orang ramai membuat laporan polis sekiranya berdepan kejadian seumpama itu.

“Nak pergi kedai serbaneka pun dah tak selamat sekarang. Tak ada kerja betul apa motif nak rakam-rakam wanita,” komen Wani.

“Lain kali buat laporan polis terus lagi-lagi melibatkan pelancong asing macam ni. Kita tak tahu gambar-gambar diambil untuk tujuan apa. Kalau tak ambil tindakan lepas ni mereka berdua akan buat lagi,” komen @Anamokhtar.

“Saya pernah alami kejadian yang sama tapi saya terus buat laporan polis dan pelaku ditangkap di lokasi yang sama. Bila polis semak telefon, memang penuh dengan gambar wanita,” komen @Qisya. – KOSMO! ONLINE

Hadi tuduh Bersatu pula yang salah, nafi PN ‘toksik’ bawah PAS

Faiz Zainudin

JEMPOL: Hadi Awang menafikan tuduhan Muhyiddin Yassin Perikatan Nasional (PN) kini sudah menjadi toksik dan terpesong daripada perjuangan bawah pimpinan PAS.

Presiden PAS sebaliknya mendakwa, keretakan hubungan dengan Bersatu disebabkan salah laku parti pimpinan Muhyiddin itu sendiri dalam kerjasama.

“Itu tak benar. Apa yang berlaku (keretakan hubungan) disebabkan salah laku Bersatu dalam kerjasama PN,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol bagi proses penamaan calon DUN Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau.

Semalam, Muhyiddin mendakwa PAS membuat tuduhan tidak benar berserta fitnah terhadap kepimpinan Bersatu sebagai usaha untuk meminggirkan parti itu.

Muhyiddin mengambil contoh kemelut politik di Perlis dan berkata ia berpunca daripada kesilapan pemimpin PAS sendiri. Peristiwa di negeri itu menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Sementara itu, mengulas hasrat Bersatu mahu membentuk gabungan baharu selepas PRN Negeri Sembilan, Hadi berkata ia terpulang kepada bekas sekutunya, sambil menegaskan PN mahu memberi fokus kepada kerjasama bagi tujuan menyelamatkan rakyat.

Mengenai persefahaman antara Barisan Nasional dan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pula, Hadi berkata akar umbi PAS menerima baik perkara itu dan usaha akan dilakukan untuk memperluaskan kerjasama di peringkat lebih besar.

“Kita akan usahakan perluas kerjasama seluruh negara. Yang penting negara kita selamat,” katanya.

PN kini bekerjasama dengan Barisan Nasional di PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos manakala Bersatu memilih haluan berbeza dengan bertanding menggunakan logo sendiri.

Tragedi jatuh jambatan : Wanita maut, 2 masih hilang

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Anggota bomba membawa mangsa yang terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah selepas ditemui terapung di Sungai Perak. – Foto JBPM
BAGAN DATUK: Dua kejadian berasingan jatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah ke Sungai Perak berlaku hari ini, menyebabkan seorang wanita maut, manakala anaknya berusia dua tahun serta seorang lelaki lain hilang.

Lim Li Yin, 38, ditemui terapung oleh anggota bomba dan dihantar ke Hospital Teluk Intan, namun disahkan meninggal dunia, sementara anak lelakinya, Wong Long Hee masih hilang.

Seorang lagi lelaki, Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42, yang dilapor terjatuh dalam kejadian lebih awal dalam masih hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pertama jam 11.36 pagi, manakala kejadian kedua membabitkan dua beranak jam 7.15 malam.

Untuk kejadian pertama, katanya mangsa dipercayai jatuh dari kawasan tengah jambatan, dengan motosikal Modenas Z15 GT miliknya ditemui di bahu jalan bahagian atas jambatan.

“Pencarian di permukaan menggunakan bot dibuat dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh bermula 12.12 tengah hari. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba jam 4.33 petang, namun keadaan arus deras tidak membolehkan selaman dibuat.

“Ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR), maklumat kedua membabitkan dua beranak jatuh dari jambatan sama diterima daripada polis.

“Tindakan pantas bot JBPM menemukan menjumpai wanita itu dalam keadaan terapung, namun anaknya tidak ditemui,” katanya.

Sayani berkata, wanita itu diberi bantuan pernafasan kecamasan (CPR) oleh anggota bomba lalu dihantar ke Hospital Teluk Intan, namun meninggal dunia.

Operasi ditangguhkan jam 8.20 malam tadi dan akan disambung jam 8 pagi esok disebabkan keadaan cuaca dan faktor keselamatan.

Hotel 'bogel' digempur, ramai kelam kabut pakai seluar

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Sebuah hotel tiga bintang sekitar Cheras, Kuala Lumpur dijadikan sarang aktiviti persundalan wanita warga asing diserbu JIM Kuala Lumpur awal pagi hari ini.
Sebuah hotel tiga bintang sekitar Cheras, Kuala Lumpur dijadikan sarang aktiviti persundalan wanita warga asing diserbu JIM Kuala Lumpur. 
Kuala Lumpur: Tawar pelacur menggunakan aplikasi media sosial dilengkapi 'katalog' mengandungi gambar-gambar wanita seksi.

Itu taktik digunakan sindiket persundalan berselindung di sebalik hotel tiga bintang di Jalan Cheras, di sini, yang diserbu pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Dalam operasi jam 1.05 pagi tadi, pihak JIM melakukan serbuan Op Gegar susulan risikan dilakukan sejak beberapa minggu lalu.

Ketika serbuan dijalankan beberapa wanita warga asing berpakaian seksi sedang melayan pelanggan di beberapa bilik hotel yang dijadikan sarang maksiat.

Difahamkan pelanggan dikenakan bayaran bermula RM200 hingga RM230 bagi perkhidmatan seks dan segala transaksi diuruskan seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai 'bapa ayam'.

Wanita Indonesia, Aqis, 21, yang terbabit dalam kegiatan maksiat itu mendakwa memasuki Malaysia sejak April lalu menggunakan pas pelancong sebelum bekerja di premis itu.

"Sehari biasanya saya layan seorang sahaja pelanggan. Komisen saya dapat dalam RM100 sahaja. Saya sudah bercadang mahu pulang (Indonesia)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, seramai lapan individu ditahan membabitkan enam wanita dan dua lelaki disyaki terbabit aktiviti tidak bermoral.

"Semakan mendapati wanita ditahan membabitkan lima warga Indonesia dan satu Thailand," ujarnya.

Polis tahan warga asing dipercayai serang pelajar IPT di Setapak

FMT Reporters

Ketua Polis Wangsa Maju Annas Sulaiman berkata polis turut merampas besi pemutar jek kereta daripada suspek.
lelaki diserang wangsa
Video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam mengacukan senjata tajam sebelum menyerang seorang lagi lelaki yang berpakaian putih.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang warga asing selepas disyaki menyerang seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kejadian berhampiran Aeon Mall Danau Kota, Setapak, semalam.

Ketua Polis Wangsa Maju, Annas Sulaiman, berkata pihaknya menerima laporan mangsa berusia 20 tahun selepas dipercayai diserang menggunakan senjata besi ketika sedang menunggu bas di hentian bas Jalan Danau Saujana, kira-kira 11.30 pagi.

Beliau berkata suspek berusia 39 tahun berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Setapak kira-kira 10.54 pagi adi.

“Polis turut merampas besi pemutar jek kereta daripada suspek.

“Permohonan reman akan dilakukan ke atas suspek esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam mengacukan senjata tajam sebelum menyerang seorang lagi lelaki yang berpakaian putih.

Lelaki itu dilihat berulang kali menerpa ke arah mangsa dengan senjata tersebut.

Kelantan: Remaja maut, kereta terbabas rempuh penghadang jalan

AIMUNI TUAN LAH
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dalam nahas melibatkan sebuah kereta merempuh penghadang jalan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
GUA MUSANG – Seorang penuntut di sebuah universiti maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dekat Tanah Tinggi Lojing di sini hari ini.

Mangsa, Nur Nabila Fatihah Zainal, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi remaja perempuan dan dua lelaki mengalami kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis kira-kira pukul 3.40 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi yang terletak 87 kilometer dari balai bomba.

“Anggota bomba tiba di lokasi kemalangan kira-kira pukul 5.01 petang sebelum mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kelisa terbabas yang sedang dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang ke Gua Musang melanggar penghadang jalan.

“Nur Nabila Fatihah yang berada di tempat duduk penumpang depan disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Che Razak memberitahu, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia daripada kereta tersebut pada pukul 5.05 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Suami isteri disyaki cuba seludup tembakau ke penjara guna dron

Malaysiakini

Sepasang suami isteri ditahan kerana menerbangkan dron tanpa permit dipercayai untuk menyeludup tembakau kepada banduan di Penjara Sungai Udang, Melaka pada Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Halim Abas, berkata lelaki berusia 46 tahun dan isterinya yang berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah inap desa di Taman Keris Satria kira-kira jam 4 petang hari yang sama.

Katanya siasatan awal mendapati suspek lelaki menerbangkan dron jenis Air 2S pada jam 1.20 pagi Rabu dari inap desa di taman berkenaan yang terletak kira-kira 313.5 meter dari lokasi dron diterbangkan.

“Pencerobohan dron di penjara itu disedari seorang petugas yang sedang menjalankan pemantauan menggunakan peralatan perisikan teknikal, iaitu pengesan dron milik Jabatan Penjara Malaysia.

“Dron itu dikesan memasuki kawasan penjara dan berlegar-legar di atas bangunan bengkel kulinari sebelum berpatah balik ke perumahan Taman Keris Satria,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata semasa kejadian, sistem pengesan dron merekodkan tiga penerbangan masuk ke kawasan penjara. Sistem itu juga, tambahnya, turut merekodkan secara tepat lokasi pemandu dron, lokasi berhenti, masa operasi dan jenis dron.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki menerbangkan dron bagi meninjau kawasan yang sesuai untuk menyeludup masuk tembakau yang dijadualkan dihantar pada malam hari yang sama kepada seorang banduan,” katanya.

Halim berkata banduan terbabit memberitahu suspek lokasi untuk menjatuhkan tembakau tersebut menerusi panggilan telefon dan pihak penjara sedang mengesan individu terbabit untuk tindakan lanjut.

Dia kata setakat ini tiada barang larangan ditemukan di lokasi dron berlegar namun polis merampas dua kotak berisi set dron serta peralatan gantian, tembakau (dua bungkusan), alat penimbang (satu) dan empat telefon bimbit milik suspek. Dia kata setakat ini tiada barang larangan ditemukan di lokasi dron berlegar namun polis merampas dua kotak berisi set dron serta peralatan gantian, tembakau (dua bungkusan), alat penimbang (satu) dan empat telefon bimbit milik suspek.

Katanya suspek lelaki ditahan reman selama empat hari manakala isterinya – yang mendakwa tidak mengetahui kegiatan suaminya – pula direman sehari bermula semalam.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1955.

Halim berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut akan dimaklumkan untuk mengambil tindakan atas kesalahan menerbangkan dron tanpa kebenaran mengikut Peraturan 143, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

- Bernama

Penduduk kampung bunuh ular sawa tinggi bangunan 3 tingkat

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan orang ramai memegang ular sawa gergasi yang ditemukan di dalam hutan. - Detik
JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Polewali Mandar, wilayah Sulawesi Barat membunuh seekor ular sawa gergasi sepanjang 8 meter yang ditemukan di dalam hutan, lapor laman berita Detik. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan sejumlah lelaki dewasa cuba mengawal ular dengan memegang kepala dan ekornya.

Seorang penduduk tempatan duduk di atas ular sawa berkenaan untuk mengawal pergerakannya. 

Reptilia tersebut ditemukan oleh dua penduduk tempatan di kawasan semak-samun di Desa Batetangnga kelmarin. 

“Rakan yang menemani saya menyangka ia adalah bakul untuk mengisi durian. Selepas melihat dengan teliti, kami terkejut. 

“Bimbang dengan saiznya yang besar, kami segera pulang dan mendapatkan bantuan daripada warga setempat,” kata Yunus. 

Ular itu dibunuh kerana membahayakan keselamatan orang ramai, terutama apabila lokasi penemuannya tidak jauh dari kebun. – AGENSI

80 warga asing direman 3 hari, dipercayai terbabit sindiket penipuan pelaburan emas, 'love scam' antarabangsa

Siti Aminah Mohd
am@hmetro.com.my

Georgetown: Seramai 80 warga asing dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan emas dan 'love scam' antarabangsa direman bagi membantu siasatan selepas ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang, semalam.

Majistret Selvaranjini Selvaraja yang hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut pagi tadi membenarkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad terhadap kesemua suspek warga Vietnam, China dan Kemboja berusia lingkungan 20-an hingga 40-an terbabit.

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu dan bersubahat melakukan jenayah.

Difahamkan, suspek menjadikan rakyat tempatan serta luar negara termasuk dari Amerika Syarikat sebagai sasaran penipuan emas selain menjalinkan 'hubungan romantik' secara dalam talian dan memperdaya mangsa tertentu dengan kononnya menghantar hadiah yang sebenarnya tidak wujud sebagai alasan meminta wang.

Penahanan kesemua suspek terdiri daripada lelaki dan wanita itu dilakukan di empat lokasi berbeza secara berasingan iaitu 14 daripada mereka diberkas di Taman Pantai Batu, Tanjung Bungah kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, 16 daripada suspek ditahan di Jalan Batu Feringghi kira-kira jam 11 pagi, diikuti 34 suspek di Jalan Siput Kepah, Pulau Tikus pada 1 tengah hari dan 16 suspek lagi ditahan di Taman Bukit Dumbar pada jam 2 petang.

Gadis Rohingya didakwa campak bayi baru lahir hingga mati

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang gadis etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Aishahkila Hussein, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini, lapor Berita Harian.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan mencampakkan bayi tersebut melalui tingkap sehingga terjatuh ke lorong bawah bangunan dan menyebabkan kematiannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di tingkat dua di Jalan Idaman 9/1,Business Presint 8, Taman Nusa Idaman pada 1.28 pagi, 5 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mengarahkannya ditahan di Penjara Simpang Renggam di Kluang sehingga kes disebut semula.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pas dan Politik Pragmatisme: Siapa sebenarnya mangsa, Bersatu atau BN?

Harapandaily

Dr Azrie Azeh

Dalam politik, tidak ada musuh atau kawan yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan politik. Inilah hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam budaya politik di Malaysia. Tiada parti di Malaysia yang menggambarkan realiti ini dengan lebih jelas daripada Pas.

Sejak lebih lima dekad,  Pas telah melalui pelbagai episod kerjasama politik yang silih berganti. Parti itu pernah menyertai Barisan Nasional pada 1973 sebelum disingkirkan pada 1977. 

Pas kemudian membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46, menyertai Barisan Alternatif bersama DAP dan Parti Keadilan Nasional selepas Reformasi 1998, menjadi tonggak Pakatan Rakyat, membentuk Muafakat Nasional dengan Umno dan seterusnya menjadi komponen utama Perikatan Nasional bersama Bersatu.

Sejarah ini bukan sekadar catatan kronologi. Ia menunjukkan bahawa strategi politik  Pas sentiasa berubah mengikut keperluan dan konteks semasa.

Persoalannya, apakah asas prinsip yang membezakan setiap perubahan tersebut? Atau adakah prinsip itu sendiri menjadi fleksibel apabila peluang politik berubah?

Sekiranya  Pas kini memilih untuk memperkukuh hubungan politik dengan Umno, persoalan yang timbul bukan sekadar mengenai masa depan Perikatan Nasional. Yang lebih besar ialah kesannya terhadap identiti Barisan Nasional yang dibina sejak 1974 atas konsep perkongsian kuasa antara pelbagai kaum.

Dilema sebenar bermula

Umno mungkin melihat kerjasama dengan  Pas sebagai strategi untuk menyatukan sokongan Melayu-Islam. Namun, bagaimana pula dengan MCA dan MIC?

Selama puluhan tahun, MCA dan MIC menjadi wajah politik sederhana dalam Barisan Nasional. Kedua-dua parti mempertahankan model perkongsian kuasa yang menerima kepelbagaian agama, budaya dan etnik sebagai asas pembinaan negara.

Sebaliknya,  Pas dikenali dengan perjuangan politik berteraskan Islam sebagai identiti utamanya. Walaupun  Pas menegaskan hak masyarakat bukan Islam akan terus dipelihara, perbezaan falsafah politik antara  Pas dengan MCA dan MIC tetap menjadi persoalan yang memerlukan penjelasan sekiranya kerjasama diperkukuh.

Adakah MCA dan MIC bersedia menerima perubahan identiti Barisan Nasional?

Atau kedua-dua parti hanya akan menjadi pelengkap angka dalam sebuah gabungan yang semakin didominasi oleh naratif politik Melayu-Islam?

Ini bukan persoalan remeh, MCA telah kehilangan sebahagian besar sokongan masyarakat Cina sejak Pilihan Raya Umum 2008. MIC pula berdepan cabaran yang sama dalam kalangan pengundi India. 

Sekiranya berlaku kerjasama yang lebih erat antara Umno dan Pas tanpa penjelasan yang meyakinkan mengenai hala tuju gabungan, kedua-dua parti mungkin berdepan cabaran yang lebih besar untuk mengekalkan keyakinan penyokong tradisi mereka.

Dalam masa yang sama, Bersatu juga tidak boleh memandang ringan perkembangan ini. Jika  Pas dan Umno bergerak lebih rapat, Bersatu berisiko kehilangan kelebihan sebagai parti yang bersaing dalam ruang politik Melayu. Persaingan untuk pengaruh dan sokongan dalam segmen pengundi yang sama akan menjadi semakin sengit.

Apa yang sedang berlaku memperlihatkan satu hakikat penting: Politik gabungan tidak boleh hanya bergantung pada perkiraan angka. Ia juga memerlukan keserasian prinsip, kejelasan dasar dan keyakinan rakyat.

Malaysia ialah sebuah negara majmuk. Mana-mana gabungan yang ingin memerintah perlu meyakinkan seluruh rakyat bahawa kepelbagaian bukan sekadar slogan ketika pilihan raya, tetapi benar-benar menjadi asas kepada pembentukan dasar dan pentadbiran negara.

Pas berhak menentukan strategi politiknya. Umno juga berhak memilih rakan politiknya. Namun, rakyat mempunyai hak yang sama penting untuk bertanya: apakah asas prinsip di sebalik setiap penjajaran baharu, dan apakah kesannya kepada masa depan politik pelbagai kaum di Malaysia?

Soalan tersebut di atas bukan serangan politik. Ia adalah tuntutan terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam sebuah demokrasi yang matang.

Kedah: 3 maut tragedi kepala air, siren kecemasan disyaki rosak

FMT Reporters

Dua kanak-kanak antara lemas dalam kejadian di Sungai Sedim, Kulim.
Seorang wanita dan dua kanak-kanak lemas dalam tragedi kepala air di Sungai Sedim, Kulim. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Tiga lemas dalam tragedi kepala air dengan siren kecemasan dipercayai rosak dalam kejadian di kawasan perkelahan di Sungai Sedim, Kulim, petang ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, lima dipercayai hanyut dengan seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak maut, manakala dua lagi selamat.

Ketua Bomba Kulim Hi-Tech, Mohammad Haiqal Izwan Nasir, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan pada 2.27 petang, memaklumkan berlaku fenomena kepala air di pusat peranginan air terjun Sedim Rainforest Resort.

“Pemanggil memaklumkan terdapat mangsa dihanyutkan arus deras. Susulan itu, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya menerima maklumat terdapat tiga mangsa iaitu perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dipercayai dihanyutkan arus deras di kawasan puncak bukit.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan di kawasan puncak bukit yang dipercayai mangsa hilang serta operasi pencarian di kawasan sekitar,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat daripada orang awam, seorang perempuan dan dua kanak-kanak lelaki ditemukan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Syamsul Sinring berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang secara tiba-tiba dan siren kecemasan di lokasi kejadian mengalami kerosakan.

“Seorang mangsa yang ditemukan selamat adalah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun,” katanya.

Muhyiddin kata Bersatu bakal bentuk gabungan baharu selepas PRN N Sembilan

Chia Wan Rou

NILAI: Bersatu akan membentuk satu gabungan baharu dengan parti-parti lain selepas PRN Negeri Sembilan, kata Presidennya Muhyiddin Yassin.

Memberi bayangan bahawa Bersatu akan keluar daripada Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin berkata antara parti yang akan menyertai gabungan baharu itu ialah parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Putra yang dipimpin Ibrahim Ali dan Urimai yang diketuai P Ramasamy.

Bekas perdana menteri itu berkata gabungan baharu itu akan berdepan PRU akan datang.

“Dalam IPR yang nyata kesediaan duduk bincang tentang apa konsep kerjasama yang kita nak bentuk dalam kurang satu tahun.

“Ini supaya kita dapat hadapi PRU akan datang dengan kekuatan baharu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Bersatu PRN Negeri Sembilan.

Dalam ucapannya, Muhyidddin turut mendakwa PAS membiarkan parti itu ‘terkontang-kanting’ apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, PAS pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun ia tidak diteruskan sehingga menyebabkan Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan.

“Sebaik tamat PRN Johor dan tinggal beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka memanggil mesyuarat kononnya untuk bincang pembahagian kerusi. Tetapi mesyuarat tidak berlangsung kerana tak dapat putuskan.

“Sepatutnya ada mesyuarat lagi tetapi mereka tidak buat. Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kepimpinan PN yang didakwanya membuat rundingan dengan parti lain tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan itu.

Menurutnya, Bersatu sehingga kini masih merupakan parti pengasas dan ahli sah PN, justeru sebarang keputusan sepatutnya diputuskan secara bersama.

“Hari ini pun kalau kita bertanding atas logo PN, kita masih ahli PN. Ini bukan parti PAS semata-mata. Semua parti dalam PN mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Iman Riqz didakwa rogol remaja perempuan bawah umur

Bernama
story-imageSeorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, Jun lepas.

Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja berusia 14 tahun 10 bulan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Tiong, Taman Kangar di Kangar, pada 17 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan diperintah supaya tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

Hamzah Zainudin bayangkan ‘jajaran baharu’ bermula di N Sembilan menuju Putrajaya

Chia Wan Rou

Presiden Wawasan itu mendakwa pengumuman 25 calon BN semalam dan 11 calon PN hari ini memberi gambaran wujud persefahaman baharu.
Hamzah Zainudin dan Tuan Ibrahim Tuan Man tile pic 16726
Hamzah Zainudin berkata jajaran baharu sedia ambil alih Putrajaya manakala Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan kerjasama itu tidak ketepikan kaum lain.
PETALING JAYA: Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin membayangkan pembentukan ‘jajaran baharu’ yang bermula pada PRN Negeri Sembilan sebelum diperluaskan dalam usaha mengambil alih Putrajaya.

Hamzah berkata gambaran itu dapat dilihat selepas Barisan Nasional (BN) semalam mengumumkan bertanding di 25 kerusi manakala 11 oleh Perikatan Nasional (PN)

“Semalam saya dengar ucapan pengerusi BN Negeri Sembilan (Mohamad Hasan). Dia kata hari ini kita umum 25 calon, esok kita mahu dengar rakan baik kita umum yang selebihnya.

“Kerusi Negeri Sembilan ada 36. Dia umum 25, dan tadi presiden Gerakan (Dominic Lau) pun kata kita akan umum 11 (kerusi PN). Apa maknanya?

“Maknanya kita bersetuju mengambil alih negara ini melalui jajaran baharu, Insya-Allah,” katanya dalam majlis pengumuman calon PN bagi Negeri Sembilan.

Semalam, Mohamad mengesahkan BN akan bekerjasama dengan sebuah rakan ‘boleh dipercayai’ namun tidak mengumumkan parti terbabit.

Merujuk kepada ucapan Hamzah, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia adalah satu mukadimah penting yang akan menjadi elemen baharu politik Malaysia.

“Ini ditunggu oleh rakyat,” katanya sambil melaungkan ‘PN-BN’ dan yakin dapat menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Namun beliau menegaskan jajaran baharu itu tidak akan mengetepikan kaum dan agama lain.

Gila kuasa punca Umno peluk semula PAS

Malaysiakini

Pakatan BN-PN ada matlamat jangka pendek dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercita-cita menjadi perdana menteri, kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Sementara PAS pula, katanya mahu kembali ke dalam kerajaan tanpa perlu menebuk atap dan tanpa perlu menunggi pilihan raya umum ke-16 akan datang.

“Kenapa itu berlaku? Umno-PAS ada matlamat jangka pendek.

“Zahid mahu menjadi perdana menteri dan PAS pula mahu kembali ke dalam kerajaan tanpa perlu tebuk atap dan tanpa perlu menunggi PRU ke 16.

“Zahid: PM in waiting?” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Bekas pemimpin Umno itu, berkata demikian ketika mengulas kerjasama BN dan PN, khususnya PAS berhubung strategi pengagihan kerusi serta rundingan kawasan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Siapa rakan boleh dipercayai Umno

Malam semalam, BN mengumumkan senarai calon bagi 25 kerusi DUN untuk PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 Ogos ini, manakala baki 11 lagi kerusi masih dalam proses rundingan akhir.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan yang membuat pengumuman itu berkata, BN tidak akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN kerana gabungan itu ada “kerjasama dengan rakan yang boleh dipercayai”.

Pengumuman itu sekali gus menguatkan desas desus bahawa BN mengadakan kerjasama politik dengan PN, khususnya PAS dan Wawasan di Negeri Sembilan.

Daripada 36 kerusi DUN, Umno akan mempertahankan kesemua 14 kerusi yang dimilikinya.

MCA pula akan bertanding di tujuh kerusi, manakala MIC bertanding dua kerusi.

Mengulas lanjut Puad mempersoalkan siapa “rakan yang boleh dipercayai” yang diperkatakan oleh timbalan presiden Umno itu.

“Sudah pasti PAS. Dulu Tok Mat (Mohamad Hasan) kata, PAS tidak boleh dipercayai kerana PAS suka berselingkuh dengan janda Umno,” sindirnya.

Puad seterusnya mempersoalkan pembahagian kerusi di Negeri Sembilan, dengan menyifatkan adalah amat mustahil untuk Bersatu memenangi walau satu kerusi di negeri tersebut pada PRN akan datang.

Dedahkan perangai PAS

Sehubungan itu, dia menyarankan agar Bersatu meletakkan calon di kawasan yang ditandingi oleh PAS bagi membolehkan kedua-dua parti itu beradu kekuatan sesama sendiri.

"Bersatu boleh mendedahkan perangai PAS yang tidak Islamik dalam berkawan," katanya.

Malam semalam Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengumumkan mereka akan memasuki PRN Negeri Sembilan dengan menggunakan logo sendiri selepas kecewa terhadap PAS – yang kini menguasai PN – apabila menangguhkan mesyuarat jawatankuasa perundingan kerusi.

Kata Muhyiddin, mesyuarat itu dijadual berlangsung pada 12 Julai lalu namun ditangguhkan ke tarikh yang tidak ditetapkan.

Bekas pengerusi PN itu juga mendakwa Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi selepas mesyuarat tersebut ditangguhkan.

Dia turut mendakwa PAS mengadakan perbincangan dengan BN tanpa melibatkan parti komponen PN yang lain atau mendapatkan kelulusan MT parti itu.

PN umum 11 calon lawan PH di N Sembilan

Sah kerjasama dengan BN, PN umum 11 calon lawan PH di N Sembilan
Malaysiakini

PN malam ini mengumumkan senarai 11 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mengesahkan kerjasama gabungan itu bersama BN untuk menghadapi PH di negeri berkenaan.

Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan calon-calon daripada PAS, Wawasan, Gerakan dan MIPP di Kompleks PAS, Ampangan, Seremban.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas BN menamakan calon bagi 25 kerusi, dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan memberi bayangan baki bagi 11 kerusi akan diumumkan oleh “rakan yang boleh dipercayai”.

“Semalam Tok Mat (Mohamad Hasan) sebut dalam pengisytiharan calon BN, BN akan ada persefahaman dengan ‘rakan’.

“Malam ini ‘rakan itu’ akan mengistiharkan calon, memulakan langkah ini.

“Tadi telah disebut oleh (Presiden Gerakan) Dominic (Lau), kita akan lengkapkan 11, campur 25 diisytiharkan (BN) malam tadi.

"Calon-calon bertanding kali ini, kita panggil mereka sebagai calon Perikatan Nasional, calon kita bersama,” katanya.

Berikut senarai 11 calon PN tersebut:

N05 Serting - Mohd Fairus Mohd Isa

N14 Ampangan - Rafie Ab Malek

N11 Lobak - P Kumar

N25 Paroi Kamarol Ridzuan Mohd Zain

N31 Bagan Pinang- Abdul Fatah Zakaria

N04 Klawang - Danni Rais

N31 Sikamat - Razali Abu Samah

N23 Mambau - Erik Michael

N34 Gemas - Ridzuan Ahmad

N21 Bukit Kepayang - Lee Boon Shian

N31 Lukut -Sathes Kumar Nilameham

Kanak-kanak perempuan dipercayai dibunuh, dua lelaki ditahan

Juwan Riduan
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan berhampiran polis kejadian di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, Kota Kinabalu.- Foto ihsan pembaca
KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipercayai dibunuh dengan mayatnya ditemukan di cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, semalam.

Lebih menyedihkan, mayat Nurjilya Abdullah, 10, ditemukan dalam keadaan mereput.

Susulan penemuan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata sepasukan polis bersama Unit Forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 10.38 malam.

“Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan sudah mereput. Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang.

“Hasil bedah siasat dijalankan Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi-saksi serta bukti-bukti berkaitan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, Nurjilya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar pada 13 Julai lalu sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu mengeluarkan hebahan orang hilang bagi mengesannya.

Peluru berpandu, dron hentam pangkalan tentera AS di Kuwait

Malaysiakini

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata awal Khamis, peluru berpandu dan dron pasukan itu menyerang aset tentera Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media negara Iran, IRGC berkata serangan itu menyasarkan sistem radar amaran awal C-RAM dan tempat berkumpul tentera AS semasa apa yang disifatkannya sebagai gelombang kelapan operasi Nasr 2.

Menurut kenyataan itu, serangan berkenaan sebagai tindak balas kepada serangan semalaman AS ke atas bandar-bandar selatan Iran dan kawasan pantai.

IRGC turut menuduh Washington menggunakan wilayah Kuwait untuk melancarkan serangan ke atas Iran dan menyeru warga Kuwait supaya mengusir tentera AS dari negara mereka.

Sebelum ini, tentera Kuwait berkata pertahanan udaranya bertindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai dron "musuh", sambil menambah bahawa letupan yang kedengaran di beberapa bahagian negara itu disebabkan oleh operasi pemintasan.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Iran mengenai Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak bertukar serangan walaupun wujud memorandum persefahaman pengantaraan Pakistan bertujuan menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai.

Kedah: Dua lelaki upahan ah long dipenjara 18 bulan, denda RM20,000

Noorazura Abdul Rahman
Tertuduh Khairul Helmy Abd Karim, 39 (kanan) dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengganggu dan melakukan ugutan. – Foto NSTP
SUNGAI PETANI: Dua lelaki upahan ah long dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM20,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah mengganggu serta melakukan ugutan terhadap peminjam pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, Khairul Helmy Abd Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya mencapai niat bersama dalam mengganggu seorang lelaki dengan menyimbah keretanya cat merah di Taman Sri Putra di sini, pada jam 3.30 pagi, 14 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan niat bersama mengganggu seorang lagi lelaki dengan menyimbah cat kuning kereta Naza Forte dan pintu pagar sebuah rumah di Taman Berjaya di sini, jam 5.30 pagi, 21 April lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(B)2 Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama.

Sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan, mereka boleh dikenakan tambahan hukuman penjara selama tiga bulan.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM10,000 dan dipenjara 10 bulan.

Mereka turut dikenakan tambahan hukuman penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Wanita didakwa bunuh bayi sendiri baru lahir

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, minggu lalu.

Tertuduh Siti Nur Wahida Zainudin, 23, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai jurujual kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Siti Nur Wahida didakwa membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Mulia, Subang Jaya antara 5 pagi hingga 5.30 petang, 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.