"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang maut, tiga cedera lori sampah terbalik

Amirul Aiman Hamsuddin
Keadaan di lokasi kejadian nahas di Kilometer 419.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala Utara, dekat selekoh susur keluar sebelum plaza tol Bukit Tagar, hari ini. Foto ihsan JBPM SELANGOR
HULU SELANGOR: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah lori sampah di Kilometer 419.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala Utara, dekat selekoh susur keluar sebelum plaza tol Bukit Tagar, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 petang.

Menurutnya, sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.

“Menurut laporan awal, nahas membabitkan sebuah lori sampah jenis Isuzu yang terbabas lalu terbalik.

“Terdapat empat mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan tiga warga asing. Tiga daripadanya cedera,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ashrul Riezal berkata, seorang lagi mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Terengganu: Kanak-kanak autistik maut terjatuh dari tingkat 13 pangsapuri

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Keadaan mayat kanak-kanak autistik yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Percutian sebuah keluarga dari Pasir Puteh, Kelantan bertukar tragedi apabila anak perempuan mereka yang merupakan kanak-kanak autistik selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam, di sini hari ini

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kenderaan di tingkat enam pangsapuri berkenaan.

Difahamkan, mangsa bersama ibu bapa serta ahli keluarganya baru tiba untuk bercuti di bandar raya ini, semalam dan dikatakan menginap di sebuah inap desa di tingkat 13 pangsapuri tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi. – KOSMO! ONLINE

Pemilik akaun disyaki hina Islam direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemilik akaun ‘Parthiban Ragu’ yang disyaki memuat naik hantaran menghina Islam direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri, sekitar 1 pagi tadi.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Turut dirampas daripada suspek dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan laporan suspek memuat naik kandungan menghina Islam dan menggunakan ungkapan bersifat jelik dan lucah terhadap Allah dan Nabi Muhammad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian

Suspek berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebut perkataan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang.

Ab Rahaman memberi peringatan tegas kepada semua pihak tidak sesekali menyentuh atau membangkitkan isu 3R dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Mayat bayi ditemui dekat asrama IPT, penuntut ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat bayi yang dibalut kain ditemukan di rumah sampah asrama sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Langat tengah malam tadi.

Penemuan mayat itu dilaporkan kepada polis kira-kira 12.20 tengah malam oleh seorang lelaki tempatan.

Menurut Ketua Polis Kuala Langat, Akmalrizal Mohd Radzi, berkata suspek yang dikenal pasti itu sudah pun ditahan untuk siasatan.

“Suspek adalah seorang penuntut wanita berusia belasan tahun yang dipercayai ibu bayi berkenaan dan dia sudah ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.

6 maut dalam nahas 2 kenderaan

FMT Reporters

Kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios dan lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, awal pagi tadi.
Keadaan kawasan kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios dan lori satu tan mengakibatkan enam mangsa maut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Enam maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, awal pagi tadi.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia akibat tersepit dalam kejadian kira-kira 4.25 pagi itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.24 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak ke lokasi.

Katanya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.32 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios serta sebuah lori satu tan.

“Enam mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita memberikan rawatan awal serta mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan iaitu Rescue Tool dan Combi Tool,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Menurutnya, pemandu lori terbabit, Muhamad Hanafi Ahmad Raju, 31, hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dua pelajar perempuan ditemukan mati di Flat Sungai Pari

Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nst.com.my

Ipoh: Dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas Flat Sungai Pari yang terbiar berhampiran Buntong di sini, semalam.

Mangsa, yang juga rakan karib, adalah pelajar di sekolah yang sama di Ipoh dan menghadiri persekolahan sesi petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata. siasatan awal mendedahkan bahawa gadis-gadis itu didakwa meninggalkan perkarangan sekolah secara sukarela sebelum mereka ditemui tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.

"Pada peringkat ini, siasatan masih belum menemui sebarang bukti yang menunjukkan pembabitan mana-mana pihak lain.

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan, dan punca sebenar kematian hanya boleh disahkan selepas pemeriksaan bedah siasat dan analisis forensik selesai," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Alwi menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa dan menggesa orang ramai untuk menghormati privasi keluarga mangsa.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya.

Gambar-gambar pelajar perempuan itu juga tular di media sosial.

Kedua-dua mereka dilihat masih memakai pakaian sukan sekolah mereka semasa kejadian 5 petang itu. Sekolah itu terletak kira-kira dua kilometer dari flat berkenaan.

Flat itu pernah menjadi flat kediaman tertinggi di Malaysia, setinggi 15 tingkat dan antara mercu tanda Ipoh yang paling dikenali, terkenal dengan bumbung berbentuk mangkuk yang tersendiri.

Dibina pada 1963 sebagai projek perumahan awam, ia dikosongkan secara beransur-ansur dari tahun 2012 dan seterusnya, berikutan kebimbangan mengenai integriti struktur bangunan berkenaan.

Remaja maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Komtar, mayat ditemui bersama tiket taman tema

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Keluarga remaja berusia 18 tahun yang maut terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak, di sini hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLIKeluarga remaja berusia 18 tahun yang maut terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak, di sini hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Georgetown: Remaja berusia 18 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, hari ini.

Difahamkan, mayatnya ditemukan oleh pekerja di tingkat enam bangunan itu.

Tinjauan mendapati, pasukan dari Unit Forensik polis berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dipanggil bagi tugas khas bantuan mengeluarkan mayat.

Keluarga mangsa turut hadir dan dibawa ke lokasi oleh pengawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi.

"Siasatan masih dijalankan, kita akan keluarkan kenyataan media nanti," katanya ketika ditemui di lokasi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.17 petang.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai melakukan tugas khas mengeluarkan mangsa dari lokasi menerusi tali dan pengusung.

"Difahamkan mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran adalah seorang pelajar dan dipercayai terjatuh dari tingkat 68.

"Ketika mayatnya ditemukan, kita turut menjumpai tiket masuk ke taman tema dalaman (indoor theme park) manakala pergelangan tangannya juga memakai memakai pas masuk ke taman tema itu.

"Kita hadapi kesukaran apabila permukaan lokasi licin berikutan selepas hujan.

"Kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya.

2 remaja curi pintu pagar sekolah

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan pintu pagar sekolah itu dicuri oleh dua remaja lelaki di Bekasi baru-baru ini. - Instagram
JAKARTA – Dua remaja lelaki menerima kecaman orang ramai apabila dirakam mencuri pintu pagar sebuah sekolah di Bekasi, wilayah Jawa Barat, lapor portal berita Lambe Turah.

Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 2 Babelan, baru-baru ini.

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @bekasibangetcom menunjukkan salah seorang remaja turun dari motosikal yang ditunggang oleh rakannya. 

Dia kemudian mengangkat pagar besi dan meletakkannya di tempat duduk belakang sebelum beredar. 

Kedua-dua pelaku kelihatan santai membawa pagar besi yang dicuri dengan menaiki motosikal. 

Penduduk menggesa polis tempatan untuk segera menyiasat kes kecurian secara menyeluruh, memandangkan kemudahan tersebut milik sebuah pusat pendidikan. – AGENSI

Penjawat awam antara 8 diberkas sindiket seludup senjata api

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam antara lapan individu diberkas susulan disyaki terlibat sindiket penyeludupan senjata api dalam operasi di Perlis, Perak, dan Kedah, bulan ini.
Pihak berkuasa juga merampas pelbagai senjata api dianggar RM360,000 dalam operasi dilaksanakan antara 1 hingga 20 Julai.

Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak 2019 dengan suspek ditahan berusia lingkungan 30-an hingga 60-an, terdiri tujuh lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata, operasi bermula susulan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak di Sitiawan pada 1 Julai, sebelum beberapa serbuan dijalankan di Beseri dekat Padang Besar; Kangar, Kuala Perlis serta Lunas di Kulim.

“Hasil operasi, polis merampas tiga pistol berkaliber 9mm, dua laras senapang patah, tiga laras raifal berkaliber .22, 11 laras raifal airsoft, 10 pistol airsoft serta selaras senapang angin buatan sendiri.

“Selain itu, ratusan butir peluru pelbagai kaliber, 9,000 kelongsong peluru serta pelbagai komponen dan aksesori senjata api,” katanya menurut Bernama.

Muhammad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dengan tiga daripada individu berkenaan telah dituduh di mahkamah manakala lima lagi masih disiasat.

Beliau berkata, senjata api itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedar kepada rangkaian tertentu di utara Semenanjung, selain dipercayai menggunakan beberapa lokasi berbeza sebagai tempat penyimpanan senjata dan peluru.

“Hasil kerjasama risikan antara JSJ Kontinjen Perlis, Perak, dan Kedah berjaya mengenal pasti rangkaian tersebut dan melumpuhkan keseluruhan operasi mereka,” katanya.

Pelajar, bapa dipukul depan sekolah, beberapa suspek ditahan

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
Tangkap layar video tular pergaduhan melibatkan pelajar sekolah menengah di Serdang.
SERDANG – Seorang pelajar lelaki dan bapanya cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan pelajar dalam kejadian di luar sebuah sekolah menengah di Taman Desaminium di sini awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang kini tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu apabila mangsa yang merupakan pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desaminium dipanggil beberapa pelajar lelaki dari sekolah yang sama.

“Ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya yang di parkir di luar kawasan sekolah, dia telah dikepung sebelum dipukul oleh kesemua suspek.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka pada bahagian bibir dan lutut selain lebam serta sakit di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan.

“Akibatnya, lelaki itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan,” ujarnya.

Muhamad Farid berkata, polis telah menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyebaran kandungan di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian itu ditangani secara profesional mengikut peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Hamzah Zainudin kata dulu dia keluar Umno untuk bantu Umno

Akhirnya Hamzah mengaku dia keluar Umno untuk bantu Umno
Harapandaily

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin akhirnya mengakui tindakannya meninggalkan Umno pada 2018 bukan bertujuan mengkhianati parti itu, sebaliknya didakwa dibuat untuk membantu Umno.

Hamzah mengaku berbuat demikian dalam satu ceramah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang kemudian tular di media sosial.
Hamzah ketika bersama Bersatu dengan Presiden, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Saya dulu orang Umno. Saya bukan khianat kepada Umno.

“Saya keluar Umno adalah kerana nak membantu Umno ketika itu,” katanya menerusi klip rakaman video dalam program ceramah berlatar belakangkan bendera Barisan Nasional (BN) itu.

Malah, Hamzah mendakwa keputusan meninggalkan Umno yang disertainya sejak puluhan tahun itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bertemu Najib

Beliau yang dipecat Bersatu berkuat kuasa 13 Februari lalu itu turut mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan tersebut.

“Saya keluar Umno selepas bertemu dengan Presiden (Umno), Datuk Zahid.

“Saya keluar Umno selepas bertemu dengan Datuk Zahid bersama dengan Datuk Najib,” katanya sekaligus memberi gambaran bahawa keputusannya keluar parti adalah dengan pengetahuan pemimpin tertinggi Umno ketika itu.

Hamzah, 69, mengumumkan keluar dari Umno pada 14 Disember 2018 kemudian secara rasmi menyertai Bersatu pada 12 Februari 2019 bersama beberapa bekas Ahli Parlimen Umno yang lain.

Mereka menerima kad keahlian daripada pengerusi Bersatu ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Larut sejak 2008 itu kemudiannya pernah menjadi Setiausaha Agung Bersatu, Menteri Dalam Negeri dan akhirnya Timbalan Presiden Bersatu.

Bagaimanapun, perjalanan itu berakhir apabila dia dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa 13 Februari lalu kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Selepas dipecat, Hamzah menolak pelawaan untuk kembali menyertai Umno dan memilih untuk meneruskan perjuangan melalui sebuah entiti politik baharu.

Dia kemudiannya mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara pada 13 Jun sebelum dilantik sebagai presidennya.

Laluan menuju 19 kerusi di Negeri Sembilan

Minderjeet Kaur

Pengundi akan menentukan sama ada kerjasama BN-PAS dibentuk demi kepentingan rakyat atau sekadar percaturan politik.

Perebutan untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan mungkin ditentukan oleh penerimaan pengundi terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Bagi BN, kerjasama itu dilihat sebagai langkah munasabah kerana dapat menyatukan undi Melayu dan membuka laluan lebih jelas untuk gabungan itu memenangi 19 kerusi, jumlah diperlukan bagi memperoleh majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.

Namun, cabaran pertama BN bukanlah berdepan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya datang dari dalam gabungan itu sendiri.

Benarkah sedang berlaku ‘gelombang biru’ di seluruh negara? BN tentunya akan mendakwa demikian selepas mencatat kemenangan besar di Johor, termasuk berjaya menarik sokongan pengundi Cina dan India.

Namun, jika BN benar-benar yakin sokongannya sudah kembali kukuh, mengapa 11 kerusi di Negeri Sembilan diserahkan kepada PAS?

Mengapa BN tidak bertanding di semua kerusi seperti yang dilakukannya di Johor?

Jika gabungan itu yakin sudah kembali mendapat tempat di hati pengundi, mengapa perlu bergantung pada PAS?

Jawapan kepada persoalan ini penting kerana kekuatan utama Umno sejak dahulu ialah jentera akar umbinya. Mereka mengenali setiap kampung, taman perumahan dan daerah mengundi.

Namun, adakah jentera itu akan bekerja dengan semangat yang sama apabila harapan gabungan bergantung pada parti lain?

Pilihan raya turut melibatkan sentimen dan emosi. Pekerja akar umbi biasanya berjuang paling kuat apabila mereka merasakan pertarungan itu milik mereka.

Mengharapkan mereka memberikan semangat yang sama kepada parti lain dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi parti yang berbeza ideologi, mungkin menjadi cabaran terbesar BN.

Cabaran kedua membabitkan pengundi Melayu sederhana.

BN berharap pengundi akan melihat kerjasama itu sebagai tanda kematangan politik dan langkah pragmatik untuk mengelakkan undi Melayu berpecah.

Namun, pengundi juga mahu tahu apakah manfaat ekonomi sebenar yang boleh dibawa oleh PAS.

Cabaran ketiga pula datang dari luar Negeri Sembilan.

Ribuan pengundi yang bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Setiap hari mereka terdedah kepada perbincangan politik yang berbeza, persekitaran kerja lebih pelbagai dan kehidupan lebih pantas.

Persoalannya, adakah mereka akan menolak PAS kerana tidak mahu imej politik sederhana Negeri Sembilan terjejas?

Tiga kemungkinan

Hari pengundian berkemungkinan menghasilkan satu daripada tiga keputusan.

Kemungkinan pertama ialah keputusan yang diharapkan BN. Jentera Umno terus berfungsi dengan berkesan walaupun parti itu bertanding di lebih sedikit kerusi, manakala pengundi sederhana memilih kestabilan walaupun mempunyai perbezaan politik dengan PAS.

Kemungkinan kedua memihak kepada PH. Pengundi Cina dan India yang sejak sekian lama berasa curiga terhadap PAS mengetepikan rasa tidak puas hati mereka dan kekal bersama PH. Pada masa sama, pengundi Melayu, termasuk mereka yang pulang dari luar negeri, meluahkan bantahan terhadap kerjasama saat akhir BN dan PAS menerusi undi mereka.

Kemungkinan ketiga bergantung pada kadar keluar mengundi. BN secara tradisinya mencatat prestasi baik apabila suasana positif mendorong penyokongnya keluar mengundi dalam jumlah besar. Kali ini, jumlah kehadiran pengundi mungkin menjadi faktor penentu.

Akhirnya, pilihan raya ini menyaksikan pertembungan antara dua strategi politik.

BN mempertaruhkan kerjasama politiknya dengan PAS untuk meraih sokongan pengundi Melayu, manakala PH bergantung pada rekod pentadbirannya serta pendekatan berbilang kaum untuk menarik pengundi.

Kerjasama politik mungkin dirancang oleh pemimpin di peringkat tertinggi, tetapi pilihan raya tetap dimenangi melalui sokongan di akar umbi.

Pada 1 Ogos, pengundi Negeri Sembilan akan menentukan sama ada kerjasama ini dibentuk demi kepentingan ahli politik atau rakyat.

Ada satu kuasa besar yang boleh gagalkan angan-angan tebuk atap BN-PN

Harapandaily

Sebarang percaturan untuk membentuk kerajaan baharu menerusi kesepakatan gelap antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat sukar berlaku tanpa sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pemerhati politik, Liyana Marzuki berkata, GPS kini memegang kedudukan penting sebagai ‘kingmaker’ dalam Kerajaan Perpaduan kerana sokongan gabungan dari Sarawak itu diperlukan bagi memastikan kestabilan angka di Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Menerusi hantaran di Facebook beliau, Liyana berkata, BN dan PN tidak mempunyai angka mencukupi untuk melakukan gerakan ‘tebuk atap’ atau menjatuhkan kerajaan sedia ada tanpa penyertaan GPS.

“Dalam Kerajaan Perpaduan, GPS Sarawak adalah kingmaker. BN-PN tidak boleh tebuk atap tanpa mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat GPS tidak mempunyai sebab untuk terburu-buru mengaitkan diri dengan PN dan Pas ketika ini, khususnya apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diadakan sebelum Februari 2027.

Katanya, sebarang kerjasama dengan PN-Pas sebelum PRN Sarawak hanya akan membawa beban politik yang tidak diperlukan, selain berisiko menjejaskan sokongan terhadap GPS sendiri.

“Bagi GPS, dikaitkan dengan PN-Pas sekarang hanya akan membawa political baggage yang tidak perlu dan berpotensi backfire kepada GPS sendiri.

“Lebih baik tunggu PRU16,” kata bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC) itu.

Tidak pernah berniat

Terdahulu, Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak pernah berniat untuk terlibat dalam sebarang gerakan bagi menjatuhkan kerajaan termasuk dakwaan mengenai ‘Langkah Dubai’ atau mana-mana percaturan politik lain.

Timbalan Perdana Menteri itu dilapor berkata, komitmen BN untuk bersama Kerajaan Perpaduan dibuat selepas menerima titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan kerajaan dan pendirian itu kekal sehingga penghujung penggal Parlimen ke-15.

Dalam masa sama, Zahid menafikan wujud pertemuan antara pimpinan BN, PN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang tersebar.

Mengulas lanjut, Liyana berkata, meskipun politik di Semenanjung boleh terus bergolak dengan pelbagai spekulasi dan percaturan kuasa, kedudukan Kerajaan Perpaduan masih banyak bergantung kepada sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pemimpin politik di kedua-dua wilayah itu lazimnya lebih pragmatik dan berhati-hati dalam membuat keputusan yang boleh memberi kesan terhadap kestabilan negara.

“Politik Semenanjung boleh bergolak sesuka hati. Tetapi selagi angka di Parlimen masih bergantung kepada Borneo, kita masih boleh berharap kepada rakan-rakan di sana yang biasanya lebih pragmatik dan mempunyai pertimbangan politik yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut berharap pemimpin dari Sabah dan Sarawak tidak terikut-ikut dengan permainan politik serta perebutan kuasa yang berlaku di Semenanjung.

Ayob Khan umum bersara mulai Ahad ini

Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat.

Ayob Khan berkata, Ahad ini merupakan hari terakhir beliau menyarung uniform PDRM selepas hampir tiga setengah dekad berbakti kepada pasukan keselamatan itu.

“Insya-ALLAH, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama PDRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran buku biografinya di sini pada Khamis.

Ayob Khan pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.

Mengulas perancangannya selepas bersara, Ayob Khan berkata, beliau mungkin membuka restoran sehingga orang ramai berpeluang melihatnya dalam suasana yang berbeza.

“Nanti mungkin orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya berseloroh.

Beliau berkata, buat masa ini, keutamaannya adalah berehat terlebih dahulu selepas menamatkan perkhidmatan dalam PDRM.

“Mungkin selepas ini akan ada sebuah lagi buku yang ditulis dengan lebih terperinci mengenai operasi yang pernah saya sertai dan boleh dikongsikan kepada masyarakat,” katanya. - Sinar Harian

Rafizi: ‘RCI Tabung Haji akan tunjukkan bagaimana Insitusi itu rosak di bawah Umno’

SITI NUR ZAWANI

Datuk Seri Rafizi Ramli mengalu-alukan keputusan Kerajaan Malaysia untuk mendedahkan kepada umum laporan akhir Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.

Beliau berkata, laporan itu akhirnya akan mendedahkan penyelewengan yang berlaku di dalam Tabung Haji sepanjang lebih sedekad akibat kelemahan tadbir urus di bawah Barisan Nasional, dan disucikan oleh Pas atas nama perpaduan ummah.

Menurut beliau, walaupun Tabung Haji telah diselamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2019, namun harga yang dibayar oleh rakyat adalah sangat tinggi.

“Ia melibatkan puluhan bilion duit cukai rakyat untuk menanggung kerugian dari pelaburan-pelaburan Tabung Haji selama lebih sedekad. 

“Tabung Haji juga akan mengambil masa berdekad lagi untuk kukuh semula, sementara hutang berpuluh bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat sekurang-kurangnya sedekad lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji yang terperinci akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.

Dakwa Rafizi, laporan itu sepatutnya didedahkan lebih awal pada 2023, namun ketika itu Datuk Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno.

“Laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji adalah terperinci dan saya yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.

“Ia juga membantu rakyat menghadam bagaimana sepak terajang politik, melalui tindakan suci mensuci terutamanya oleh Pas, membawa kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai apa yang telah terjadi di Tabung Haji. 

“Sepatutnya, laporan RCI Tabung Haji itu didedahkan seawal 2023 lagi apabila laporan itu mula-mula siap. Tetapi pada ketika itu, Datuk  Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno, maka keputusan dibuat untuk menanam laporan itu,” katanya.

Rafizi berkata, beliau adalah orang yang paling gembira apabila laporan RCI Tabung Haji didedahkan kerana ia membuktikan semua pendedahan yang telah dibuat beliau antara 2015 hingga 2018 mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah benar.

Warga Bangladesh mengaku tak salah amang seksual 7 pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Buruh warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas tujuh pertuduhan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki, bulan lalu.

Islam Mohammad Shoriful, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap tujuh mangsa berusia 13 dan 15 tahun di bilik mandi serta bilik basuh asrama lelaki sebuah sekolah, dekat Alor Gajah, pada 6 petang hingga 6.30 petang 12 Jun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu.

Lelaki itu tidak diwakili peguam pada prosiding.

Hakim Kamarul Aris Kamalluddin tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 28 Ogos sebutan semula kes.

3 belia wanita melakukan aksi ‘Superman’ didakwa

NS Ramli
story-image
Tiga belia wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Khas Trafik Kuantan hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya ketika melakukan aksi ‘Superman’ di Jalan Pintasan Kuantan pada 16 Julai lalu.

Seorang daripada mereka, Nur Liana Atirah Roslan, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahida Zainal Abidin.

Dua lagi tertuduh yang masing-masing berusia 18 dan 19 tahun pula mengaku bersalah atas pertuduhan sama yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai dan pekerja hotel didakwa menunggang motosikal Yamaha LC135 secara berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain dengan melakukan dua aksi ‘Superman’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam di Jalan Pintasan Kuantan, dari arah Terminal Sentral Kuantan menghala ke Bukit Rangin.

Mereka didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Mereka juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan. Lesen memandu percubaan pula hendaklah dibatalkan sekiranya pemegangnya disabitkan mengikut seksyen itu.

Susulan pengakuan bersalah dua tertuduh berusia 18 dan 19 tahun itu, mahkamah menetapkan 26 Ogos depan bagi sebutan laporan sosial dan akhlak yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pihak pendakwaan pada awalnya menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM4,000 dan RM5,000 terhadap kedua-duanya.

Selepas rayuan dibuat, mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,000 dan RM3,000.

Sementara itu, Nur Liana Atirah yang mengaku tidak bersalah ditawarkan jaminan RM5,000 sebelum memohon jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkannya diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 26 Ogos bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen serta pelantikan peguam.

Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Noraini Mohd Nor.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata tiga wanita berusia antara 18 hingga 21 tahun ditahan pada 18 Julai selepas disyaki terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya atau ‘Superman’ yang videonya tular di media sosial.

Tangkapan dibuat hasil siasatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan.

Polis turut merampas tiga motosikal Yamaha LC135 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedah: Datuk ditahan bantu siasatan kes langgar cucu

KOSMO!
KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun maut selepas dilanggar lori yang dipandu datuknya di Kampung Bukit Kuang, Gurun hari ini.
GURUN – Seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian cucunya akibat dilanggar lori di Kampung Bukit Kuang, di sini pagi tadi.

Lelaki yang juga datuk kepada mangsa berusia dua tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, permohonan reman terhadap warga emas itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi esok.

Menurutnya, reman diperlukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas lelaki berkenaan didapati negatif dadah,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dilanggar lori yang dipandu datuknya ketika kenderaan itu sedang mengundur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi di pekarangan rumah mereka, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan. – KOSMO! ONLINE

PRN NS: Bersatu mungkin lebih banyak bantu PH

Lynelle Tham

PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat keputusan Bersatu bertanding di 24 daripada 36 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan berpotensi memecahkan undi Melayu di beberapa kawasan marginal dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Awang Azman Awang Pawi dan Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, Bersatu yang berusaha membuktikan ia masih relevan, selepas PAS menamatkan kerjasama dengannya, mungkin memainkan peranan sebagai pengacau undi.

Awang Azman berkata, Bersatu mahu menguji kekuatan jenamanya sambil berusaha mengekalkan sokongan akar umbi dan menunjukkan ia masih mempunyai pengaruh politik tanpa PAS.

“Namun, secara praktikal, Bersatu berpotensi menjadi ‘spoiler’ di lebih banyak kerusi daripada yang mampu dimenanginya,” katanya kepada FMT.

Bersatu kekal sebagai komponen PN walaupun hubungannya dengan PAS retak, dan bertanding di Negeri Sembilan atas lambang sendiri. Langkah itu menyebabkan pertandingan berbilang penjuru di beberapa kerusi.

Daripada 24 kerusi yang ditandingi Bersatu, 10 disandang Barisan Nasional, sembilan (PH) dan lima (PN). Kebanyakan kerusi ini dimenangi dengan majoriti tipis pada PRN 2023.

Kedua-dua penganalisis berkata, asas sokongan Bersatu bertindih dengan PAS, PN dan sebahagian pengundi Melayu yang cenderung kepada BN, bermakna meraih beberapa ribu undi memadai untuk mengubah keputusan di kerusi marginal.

Mereka berkata, perpecahan itu paling menjejaskan PN kerana Bersatu dan PAS yang dahulunya bertanding sebagai sekutu kini bersaing.

“Kini undi penyokong PN berpotensi terbahagi, terutama di Serting, Paroi dan Bagan Pinang yang disandang PAS serta Gemas yang dimenangi atas tiket PN-Bersatu pada 2023.

“Pertembungan di kerusi-kerusi ini boleh menyebabkan kedua-dua calon PN dan Bersatu tewas kepada PH,” kata Tawfik.

Serting, sebagai contoh, dimenangi PN-PAS pada 2023 dengan majoriti 843 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

BN juga berdepan risiko kerana lapan daripada 10 kerusi yang ditandingi Bersatu dimenangi dengan majoriti bawah 700 undi pada 2023 – Juasseh (78 undi), Kota (135), Seri Menanti (370), Sungai Lui (535), Palong (564), Senaling (662), Lenggeng (685), dan Jeram Padang (693).

Awang Azman berkata, Bersatu berpotensi menarik pengundi Melayu yang tidak mahu memilih PH tetapi kurang selesa dengan kerjasama antara BN dan PAS.

“Akibatnya, usaha BN-PN untuk menyatukan undi anti-PH boleh gagal,” katanya.

Jelasnya, perpecahan undi Melayu boleh membantu PH mempertahankan kerusi marginal seperti Ampangan dan Klawang, kedua-duanya dimenangi dengan majoriti kurang 600 undi pada 2023.

“PH tidak semestinya perlu meningkatkan sokongan secara besar-besaran; dalam sesetengah kerusi, PH hanya perlu mengekalkan undi terasnya sementara undi Melayu anti-PH berpecah antara BN, PN dan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Azman dan Tawfik mengingatkan sebarang kelebihan bergantung kepada tingkah laku pengundi.

Awang Azman berkata, PH masih perlu memastikan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar keluar mengundi.

Tawfik pula berkata, kesan Bersatu menjadi pengacau undi bergantung sama ada BN-PN dapat meyakinkan penyokong untuk tidak memilih Bersatu.

Wanita maut dihempap lelaki jatuh tingkat 12

Agensi

Tokyo: Malang tidak berbau apabila seorang wanita maut akibat parah selepas dihempap seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah bangunan pangsapuri di Nagoya, Jepun, lapor NDTV.

Kejadian malang itu berlaku pada Ahad lalu ketika mangsa, Houra Inaba, 23, berjalan di kaki lima berhampiran bangunan berkenaan.

Menurut polis, insiden berlaku kira-kira 1 pagi waktu tempatan apabila Shinsei Taguchi, 29, terjatuh atau dipercayai terjun dari bangunan terbabit.

Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan kira-kira 1 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan seseorang jatuh dari bangunan dan mencederakan rakannya yang sedang berjalan bersamanya.

Menurut polis, kedua-dua Inaba dan Taguchi dikejarkan ke hospital berhampiran sejurus selepas insiden tragis berkenaan.

Bagaimanapun, Inaba disahkan meninggal dunia di hospital, kira-kira 5.30 pagi akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Sementara itu, Taguchi dilaporkan masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri di hospital.

Pihak berkuasa memaklumkan mereka masih belum dapat memastikan sama ada Taguchi terjatuh secara tidak sengaja atau melompat dari tingkat 12 bangunan berkenaan.

Lokasi kejadian adalah kawasan yang dipenuhi bangunan pejabat dan pangsapuri di sepanjang laluan Lingkaran Pusat Kota Lebuhraya Nagoya, kira-kira 500 meter di timur laut Stesen Yabacho.

Kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di Jepun apabila insiden sama pernah dilaporkan di Yokohama pada Ogos 2024 dan Osaka pada Oktober 2020, yang turut mengakibatkan pejalan kaki maut.
-hmetro

Kedah: Wheelie sambil bawa anak dan isteri, seorang lelaki ditahan

Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Satu video tular di media sosial memaparkan aksi merbahaya seorang lelaki menunggang motosikal sambil mengangkat tayar hadapan dengan membonceng seorang wanita dan kanak-kanak di Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Medan Bandar, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada jam 12.41 tengah hari, hari ini di Balai Polis Trafik Kota Setar.

Menurutnya, ia membabitkan video berdurasi 17 saat tular di Facebook menunjukkan sebuah mosikal jenis Honda EX5 warna biru nombor pendaftaran tidak pasti.

“Hasil siasatan mendapati motosikal lelaki datang dari arah lampu isyarat Aman Central sedang menghala ke arah lampu isyarat Pekan Melayu.

“Kejadian berlaku ketika lelaki itu dari rumah di Kampung Hutan Kandis, Mukim Lepai dalam perjalanan menuju ke Jalan Pegawai untuk makan malam bersama keluarga iaitu isterinya berusia 25 tahun serta anak perempuan mereka berusia empat tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu kira-kira jam 12.30 pagi dan apabila sampai di Dataran Bandar, dekat sini penunggang motosikal bertindak menunggang motosikal dengan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan ‘Wheelie’ yang mana aksi itu boleh membahayakan nyawa penunggang dan kedua-dua pembonceng hadapan dan belakang motosikal terbabit serta boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Basri berkata berikutan itu, pada jam 3.40 petang bersangkut laporan trafik Kota Setar, polia berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama jenis Honda EX5 warna biru di perkarangan Balai Trafik IPD Kota Setar.

Beliau berkata, motosikal itu disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Imigresen selamatkan wanita Sri Lanka dipaksa kerja tanpa gaji

FMT Reporters

Mangsa didakwa diperdaya rakan senegara yang menawarkan pekerjaan dan permit kerja sebelum dikawal, dipukul serta tidak diberi makanan mencukupi.
Mangsa diselamatkan Imigresen dalam serbuan di tiga lokasi sekitar Jenjarom, Selangor, semalam. (Gambar Imigresen)
PETALING JAYA: Seorang wanita warga Sri Lanka dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan serta janji mendapatkan permit kerja sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah premis makanan milik seorang lelaki senegaranya.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata mangsa dipercayai dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan mencukupi, dikawal pergerakannya serta mengalami kekerasan fizikal sebagai ugutan.

Beliau berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan dalam operasi di tiga lokasi sekitar Jenjarom, Selangor, semalam.

“Operasi dijalankan hasil aduan awam dan risikan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA.

“Operasi itu turut membawa kepada penyelamatan seorang wanita warga Sri Lanka yang dikenal pasti sebagai mangsa eksploitasi buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Katanya, mangsa dikenal pasti berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 (NGHTI 2.0).

Permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) turut dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Menurutnya, suspek memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang melalui perkahwinan dengan seorang warga Malaysia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM serta Akta Imigresen 1959/63.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi pekerja dan pemerdagangan orang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Culik lelaki: Bekas anggota polis antara ditahan

HARRITH HISHAM

SUBANG JAYA – Polis menahan dua lagi lelaki tempatan termasuk seorang bekas anggota polis bagi membantu siasatan kes culik seorang lelaki, semalam. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan di sekitar kawasan Selangor dan direman selama 10 hari sehingga 31 Julai ini. 

“Salah seorang daripada suspek merupakan bekas anggota polis yang telah dikenakan tindakan pecat berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini hari ini.

Kumar berkata, pasukan polis turut menahan mangsa dalam kes berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun. 

“Hasil siasatan lanjut oleh JSJ dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kita mengenal pasti elemen atau sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah. 

“Susulan itu, JSJN Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas mangsa di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK),” ujarnya. 

Beliau berkata, siasatan kes masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan sebenar semua pihak yang terlibat.

Mengulas latar belakang mangsa, Kumar berkata, polis setakat ini tidak dapat mengesan pekerjaan tetap mangsa berdasarkan semakan rekod perkhidmatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Dalam pada itu, katanya, semakan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah komersial. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebahagian daripada suspek yang ditahan sebelum ini mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah kekerasan.

“Malah, semasa tangkapan awal dibuat, beberapa individu termasuk mangsa didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan enam individu ditahan selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.

Kumar berkata, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa pukul 1.30 pagi pada 17 Julai lalu. 

Katanya, pasukan serbuan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 1 pagi keesokan harinya.

Enam individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun.

Kumar berkata, pasukan serbuan turut menemukan dan merampas pelbagai jenis dadah, sejumlah telefon bimbit dan beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kesemua tangkapan direman selama 10 hari di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 bermula semalam. – KOSMO! ONLINE

Mangsa nahas lori dipandu remaja 15 tahun meninggal dunia

Asrol Awang
Keadaan motosikal dan lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin. FOTO Ihsan Polis Rompin
KUANTAN: Selepas bertarung nyawa lebih empat hari, seorang buruh ladang warga Indonesia meninggal dunia hari ini akibat kecederaan parah selepas dirempuh dan dihempap lori yang dipandu remaja berusia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata mangsa, Hendrawan, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang menunggang motosikal dilanggar lori berkenaan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin.

“Berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal dan lori pada jam 5.45 petang, Sabtu lalu.

“Siasatan awal mendapati, lori dipandu remaja lelaki itu datang dari arah Perumahan Ladang Kilang Kosma menghala ke kawasan pembinaan Ladang Kosma.

“Setibanya di tempat kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan menghempap mangsa yang menunggang motosikal. Manakala pembonceng motosikal berusia 24 tahun yang juga warga Indonesia sempat menyelamatkan diri.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke HTAA.

“Pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki kanan, manakala penumpang lori berusia 17 tahun mengalami kecederaan di mata kiri,” katanya tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan juga mendapati pemandu lori mempunyai lima saman atas pelbagai kesalahan manakala lori dan motosikal tidak mempunyai cukai jalan.

“Pemandu lori dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataan direkodkan,” katanya.

Kedah: Bolos sempadan darat: Orang tempatan 'cari makan' jadi penyeludup

Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my
KAWASAN hutan yang luas serta tidak dipagari sepenuhnya membuka ruang kepada sindiket mewujudkan laluan baharu.
KAWASAN hutan yang luas serta tidak dipagari sepenuhnya membuka ruang kepada sindiket mewujudkan laluan baharu.
Alor Setar: Aktiviti penyeludupan yang dijadikan 'periuk nasi' oleh segelintir penduduk di kawasan sempadan dikenal pasti antara cabaran terbesar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, tanggapan bahawa kegiatan itu mempunyai sumber pendapatan menyebabkan ada dalam kalangan penduduk enggan bekerjasama dengan polis walaupun mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan.

"Segelintir penduduk tempatan menganggap aktiviti penyeludupan ini sebagai 'punca pendapatan tradisi'.
SEMPADAN darat luas jadi cabaran kekang penyeludupan.
"Ia menyebabkan mereka tidak mahu untuk bekerjasama di dalam memberikan maklumat kepada pihak polis," katanya kepada Harian Metro.

Adzli berkata, keadaan itu memberi kelebihan kepada sindiket untuk terus menjalankan kegiatan mereka kerana sokongan atau keengganan masyarakat menyalurkan maklumat menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Selain itu, katanya, faktor geografi turut menjadi cabaran apabila sempadan darat dan kawasan hutan yang luas serta tidak dipagari sepenuhnya membuka ruang kepada sindiket mewujudkan laluan baharu setiap kali laluan lama dikesan atau ditutup.

"Sempadan darat dan hutan yang luas serta sukar yang mana tidak mempunyai pagar sepenuhnya, mewujudkan potensi laluan haram baharu setiap kali laluan lama dikesan atau ditutup.

"Selain itu, permasalahan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui kawasan laut juga menjadi cabaran kepada PDRM," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) bekerjasama dalam membuat pemantauan terhadap permasalahan itu dengan menempatkan kawalan yang secara terus menghadap laut dengan kelengkapan peralatan yang sesuai untuk penugasan ini.

Menurut Adzli, penggunaan teknologi dalam aspek keselamatan juga masih belum mencapai tahap optimum sehingga memberi peluang kepada kumpulan penjenayah memanipulasi kelemahan sistem sedia ada.

"Bagi memperkukuh penguatkuasaan, polis Kedah melaksanakan pendekatan bersepadu menerusi penyelarasan aset, perkongsian risikan dan operasi bersama membabitkan PGA, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.

Katanya, kerjasama itu turut diperluas menerusi perbincangan berkala dan perkongsian risikan dua hala dengan polis Thailand bagi memperkukuh kawalan serta mengekang jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Koperal mengaku tak salah 2 tuduhan amang seksual anak kandung

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan berusia 11 tahun, Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu ketika kejadian berumur 11 tahun 10 bulan, bagi tujuan seksual.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 hingga 10 malam, 21 Mei serta 2 petang 22 Mei lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi hukuman Seksyen 16(1) akta sama membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan kesihatan berikutan anak guamnya sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Norshila berkata mahkamah akan mempertimbangkan permohonan pembelaan berhubung ikat jamin pada tarikh sebutan seterusnya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos depan untuk serahan dokumen bagi status penjamin jika ada.

Kelantan: Dua lelaki Rohingya dicekup, tak sempat edar 6,000 biji pil kuda

AIMUNI TUAN LAH
Sebanyak 6,000 biji pil kuda yang dirampas selepas dua lelaki Rohingya ditahan di Kampung Kuala Lah, Gua Musang semalam. FOTO IHSAN POLIS
GUA MUSANG – Hajat dua lelaki etnik Rohingya untuk meraih keuntungan hasil pengedaran sebanyak 6,000 biji pil kuda tidak kesampaian selepas mereka dicekup di Kampung Kuala Lah di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 36 dan 32 tahun itu ditahan apabila kereta jenis Proton Preve yang mereka naiki terbabas merempuh sebuah lori selepas dikejar kereta peronda polis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis yang menjalankan tugas snap check di Kilometer 9, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis mengesan sebuah kereta membuat pusingan U sebaik menghampiri lokasi pemeriksaan.

Katanya, anggota polis bertindak mengejar kereta itu sebelum kenderaan tersebut terbabas dan merempuh sebuah lori di kawasan Kampung Kuala Lah berhampiran simpang tiga Jerek-Meranto.

“Kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam sebuah beg silang di dalam kereta itu menjumpai bungkusan plastik berisi 6,000 biji pil kuda.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran termasuk individu lain yang terbabit dalam kegiatan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Choon Foo memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, selain pil kuda, polis turut merampas sebuah kereta Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan satu kunci kereta dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tertekan ditinggal isteri, lelaki bakar bapa sendiri

KOSMO!
JIRAN membantu memadamkan api yang membakar tubuh mangsa.- 20detik
JAKARTA – Seorang lelaki tergamak membakar bapa kandungnya setelah mengalami tekanan jiwa selepas ditinggalkan oleh isteri yang dikatakan telah berkahwin dengan lelaki lain, lapor laman berita Tribun News.

Kejadian berlaku di Jalan Pinang Baris Kota Medan, Jumaat lalu kira-kira pukul 10.00 malam (waktu tempatan).

Suspek dikenali sebagai EP, 39, nekad membakar hidup-hidup bapanya sendiri yang dikenali sebagai YL, 66, selepas mereka bertengkar.

Kejadian bermula apabila suspek membuat kecoh tidak jauh dari rumahnya.

Dia mengamuk sehingga merosakkan dua kenderaan pengangkut barang, dipercayai akibat tidak diberikan wang perlindungan.

Selepas mencetuskan kekecohan, dia pulang ke rumah orang tuanya.

Di rumah, EP sebaliknya sekali lagi terlibat dalam pertengkaran dengan bapanya yang sudah tua.

Pertengkaran berlarutan dan suspek meluru ke belakang rumah dan mengambil botol berisi petrol.

Dia kemudian kembali dan mengejar bapanya lalu menyiram petrol pada mangsa.

Tanpa rasa belas kasihan, suspek menyalakan api dan membakar tubuh bapanya.

Mangsa  berjaya diselamatkan, namun mengalami luka melecur di bahagian tangan dan kaki.

Ketua Unit Siasatan Jenayah, Balai Polis Medan Sunggal, Iptu Herman Sentosa berkata, suspek kini ditahan di Balai Polis Sunggal untuk tindakan lanjut.

Motif tindakan  diduga kerana mengalami tekanan jiwa selepas ditinggalkan oleh isterinya yang dikatakan telah berkahwin dengan lelaki lain.

“Maklumat yang diterima menyatakan dia tertekan kerana isterinya berkahwin lain. Disebabkan itu, dia mudah naik angin dan akhirnya bapanya menjadi mangsa keadaan,” kata Herman. – AGENSI

Peguam tempelak KP PAS: ‘Yang nak turunkan Yamtuan pun orang kita juga…’

SITI NUR ZAWANI
Peguam dan aktivis, Liyana Marzuki menempelak kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang disiarkan di Harakah Daily, yang menyalahkan DAP dalam isu institusi Adat di Negeri Sembilan.

Liyana mengingatkan Afnan supaya tidak memainkan naratif perkauman dalam isu itu kerana yang mahu menurunkan Yang di-Pertuan Besar bukanlah bangsa lain, sebaliknya orang Melayu sendiri.

“Yang nak turunkan dan “pecat” Yamtuan tu orang kita, bukan bangsa lain pun. 

“Main naratif bangsa ni tak ke mana. Pengundi nanti akan nilai apa yang anda boleh buat pada negara,” katanya dalam satu respon di Facebook malam tadi.

Beliau merujuk kepada kenyataan disiarkan lidah rasmi Pas, yang mendakwa sejak DAP berada dalam kerajaan negeri, kedudukan Institusi Adat di Negeri Sembilan sering berdepan pelbagai konflik sehingga mencetuskan pertembungan melibatkan Undang Yang Empat.

“Bacalah komen dalam hantaran ni oleh Harakah. Tunjukkan sentimen bangsa orang dah bosan dah. 

“Ini bahana anda terlampau gunakan hantu dalam politik. Akhirnya, orang dah tak takut sudah. Jangan sampai orang sedar anda yang hantu sebenarnya,” ujarnya lagi.

AS lancar serangan terhadap Iran untuk malam ke-11 berturut-turut

Bernama

Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Selasa memaklumkan bahawa tentera AS memulakan gelombang baharu serangan terhadap sasaran ketenteraan di Iran, menandakan operasi untuk malam ke-11 berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Pasukan CENTCOM mula menyerang sasaran ketenteraan di Iran pada 7 malam waktu Timur Selasa, bagi malam ke-11 berturut-turut.

“Serangan itu bertujuan terus melemahkan keupayaan Iran untuk mengancam kapal dagang di Selat Hormuz,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Pemandu lori maut dibunuh adik sendiri

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

HULU SELANGOR – Seorang pemandu lori maut dipercayai dibunuh adik kandungnya dalam satu pergaduhan di Kuala Kubu Bharu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

“Suspek yang juga adik mangsa berusia lingkungan 26 tahun berjaya ditahan sejurus selepas kejadian bagi membantu siasatan.

“Suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek pula didapati negatif dadah.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya kes pembunuhan ini berjaya diselesaikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah bagi mengelakkan tindakan diambil mengikut undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Rogol anak kandung: Lelaki dipenjara 105 tahun dan 70 sebatan

Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/article/788775/berita/semasa/bapa-rogol-anak-sulung-dipenjara-105-tahun-disebat
Tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen Tawau dan dijatuhkan hukuman penjara selama 105 tahun dan sebatan kerana merogol anak sulungnya. -Foto Sinar Harian
TAWAU: Seorang lelaki akhirnya dijatuhkan lagi hukuman penjara selama 105 tahun dan 70 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh berusia 53 tahun mengaku salah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadanya di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah ini antara Disember 2025 hingga Mac 2026.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, mangsa gagal menolak kehendak tertuduh kerana sering diugut secara emosi dengan mengungkit pengorbanannya yang menanggung perbelanjaan keluarga serta kos pendidikan mangsa.

Siasatan turut mendapati tertuduh akan mendapatkan jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Semasa rayuan, tertuduh menyatakan dia berasa malu dan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan, selain memohon hukuman diringankan supaya berpeluang memohon maaf kepada ahli keluarganya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri serta sifat jenayah yang dirancang.

Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh bertindak secara terancang dengan mendapatkan jadual kerja mangsa dan mengarahkannya menempah bilik hotel sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu turut menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.

Dalam kes berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara tahun 2016 hingga 2026. -Sinar Harian