"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berang gagal curi wang surau, penjenayah bakar buku agama (Gambar)

SEBUAH buku agama dibakar dipercayai oleh penjenayah yang berang kerana gagal mencuri wang tabung di Surau Al-Hidayah, Jalan Pertanian, Taman Universiti, Skudai, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Beh Eng Lai berkata kejadian disedari seorang penduduk yang melalui kawasan surau itu pada 2.10 pagi tadi apabila melihat pintu pagar dan pintu jeriji surau terbuka.

"Lelaki berkenaan (pengadu) kemudian mengambil rakannya dan kembali ke surau itu bagi membuat pemeriksaan lalu mendapati seunit kipas mudah alih hilang, naskhah al-Quran dan Yassin berselerak manakala beberapa rak dan jam besar juga dialihkan dari kedudukan asal.

"Pemeriksaan turut mendapati barangan di dalam stor seperti lampu, vakum, al-Quran, naskhah Yassin, sejadah dan wayar elektrik turut diselongkar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata lelaki terbabit dan rakannya turut mendapati beberapa helaian al-Quran dibakar berhampiran laluan ke bilik air lalu melaporkannya kepada polis.

Beliau berkata siasatan polis di surau itu mendapati tiada kesan umpil pada mana-mana bahagian masuk surau, namun terdapat kesan umpil pada tabung surau selain kerosakan pada rak dan alatan dalam stor akibat diselongkar.

Pemeriksaan di laluan bilik air di luar surau mendapati ada buku agama terbakar, namun, ia bukan al-Quran kerana terdapat cebisan kertas yang masih tidak terbakar yang mengandungi perkataan rumi disyaki buku agama.

"Pemantauan dijalankan mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian ataupun kawasan sekitar.

"Tiada saksi yang melihat kejadian itu dan usaha mengesan cap jari juga tidak menemukan sebarang kesan cap jari," katanya.

Menurutnya usaha mengesan suspek sedang digiatkan.

Beh berkata siasatan awal percaya suspek membakar buku agama itu kerana berang tidak dapat mencuri wang tabung masjid yang disimpan di dalam peti besi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hidayah Hassan Sabudin yang dihubungi berkata pintu surau berkenaan memang tidak dikunci bagi memudahkan penduduk menunaikan solat kerana ada yang mengunjungi surau berkenaan pada waktu malam.

"Sebelum ini, memang selalu berlaku pecah masuk, biasanya penjenayah hanya masuk untuk 'pancing' duit dari tabung," katanya yang mengesahkan laporan berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Taman Universiti, Skudai. 
-Bernama

Pesan Cikgu Shahnon

Pesan Cikgu Shahnon: Yang benar itu, luahkan
BELASUNGKAWA l Jika 26 Disember setiap tahun sering diingati kerana peristiwa Tsunami, maka pada tarikh serupa ia menambah lagi cerita dan berita luka.

Pemergian abadi guruku, Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, menambah jumlah lorek duka dalam diri selepas seorang demi seorang manusia yang akrab denganku sudah menghuni alam abadi.

Setahun menjadi antara pelajarnya ketika menekuni ilmu di Universiti Sains Malaysia (USM), Minden di Pulau Pinang, pertengahan 1990an lalu, mendekatkan mata hati dengan gemulah.

Biar pun ketika itu gelaran profesor sudah disandangnya namun beliau lebih senang dan amat mengalu-alukan dipanggil 'cikgu'.

Signifikan panggilan itu kerana katanya secara berseloroh dibawa hingga ke liang lahad dan disebut orang hidup selagi mereka tidak mati. Ia juga bersambung-sambung hingga kiamatnya dunia!

Mulianya seorang cikgu di mata hati seorang profesor yang tidak pernah sekali pun sepanjang hayat meninggi diri.

Tiada denda

Menghadiri kuliah gemulah antara keseronokan sebagai seorang remaja bergelar penuntut. Mana tidaknya, selingan realiti kehidupan sering diselitkan dalam pengajaran beliau.

Kalau tidak perbandingan, beliau pasti membuat perlambangan. Itu yang sering dikupasnya dalam beberapa novel seperti Srengenge.

Beliau sering membuka minda penuntutnya berfikir terus ke hadapan sambil menjinjing pengalaman hidup lalu sebagai iktibar.

Aku antara penuntutnya yang sering tidak menepati waktu kelasnya yang bermula jam 8 pagi. Tiada denda mahupun ditahan di luar kelas. Malah beliau mengalu-alukan kedatangan penuntut yang terlewat. Biar dapat separuh daripada tidak mendapat seluruhnya.
Tapi Shahnon Ahmad tetap Shahnon Ahmad. Beliau sabar mengulangi pengajaran yang tertinggal kepada penuntutnya pada masa itu juga.

Memanaskan punggung di dalam kelasnya seolah tiada apa-apa. Tidak jemu, jauh sekali meletihkan. Semua itu kerana penuntut seringkali terpesona dengan kupasan pengajaran yang memaksa aku dan rakan yang lain menerawang gambaran berkenaan di depan mata.

Lihat saja perinciannya dalam setiap penceritaan situasi, watak, persekitaran dan segala hal berkaitan naratif. Ia hidup di depan kami. Itu keistimewaan Cikgu Shahnon.

Bakat, bukan kudrat

Manusia bernama Shahnon ini tidak pernah sekali pun aku lihat kerut di dahi apatah lagi merengus berdepan dengan pelbagai ragam pelajar.

Beliau sentiasa kelihatan muda kerana dalam apa juga keadaan dan situasi, senyum ikhlas itulah awetnya. Sungguh aku gagal meniru peribadinya yang satu itu.

Gemulah juga, bagi aku, satu-satunya pensyarah yang tidak kedekut A-nya. Cuma yang membezakan kami pelajarnya adalah sama ada A (tolak) atau A (campur).

Lebih daripada itu tiada. Kertas peperiksaannya sering mendahului kertas-kertas lain disebabkan pemarkahan cenderung kepada mengenal bakat bukan kudrat.

Pada masa senggang pergi saja ke Pusat Islam USM yang beroperasi di Masjid Besar universiti. Temuinya di situ dan cuba ajak berlabun perihal sastera. Aku pasti, sesiapapun tidak tercatat ilmunya yang sangat luas.

Lebih-lebih lagi jika gemulah mengadaptasi ciri-ciri keagamaan dalam sastera. Yakinlah, jika rajin menelanjangi novel beliau akan ditemui unsur-unsur keagamaan dalam naratifnya. Tidak percaya? Kajilah!

Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Patriach malah Srengenge adalah adaptasi kehidupan sebenar melalui pengalaman dicernakan di dalam novel-novelnya itu.

Malah, kebanyakan cerpen-cerpennya juga daripada pengalaman, pemerhatian dan penelitian terperinci yang sangat jarang dilakukan penulis lain.

Sangat jujur dan cukup ikhlas Cikgu Shahnon menularkan keperitan manusia yang berada di kalangan kurang bernasib baik. Itu yang dikhabarkan kepada penuntutnya sebaik soalan ditanya berkaitan isi penceritaan dalam novel atau cerpennya.

Sastera Islam

‘Apa yang benar mesti kita luah. Jangan pendam nanti menjadi barah. Tampung kegelisahan, ketidakpuasan malah kebencian kita melalui makalah. Guna bahasa indah kerana sebagai penulis kita sebolehnya mahu mengelak gundah’ - itu antara kalimat Cikgu Shahnon dalam memberi semangat kepada penuntutnya yang kuingat-ingat lupa.

Mungkin kerana itu jugalah tercipta novel Shit pada 1999. Benar. Cikgu Shahnon mempraktikkan apa yang diajar. Sungguhpun Shit dihentam kiri dan kanan, depan juga belakang namun ada rasional mengapa novel satira politik sedemikian dilahirkan.

Sebagai bekas penuntut dan sebagai penulis Cikgu Shahnon bukan saja kreatif tetapi juga dalam masa sama sangat kritis.

Aku mengagumi Shahnon bukan hanya kerana kami lahir di daerah sama iaitu Baling dan Sik tetapi kekaguman itu lebih bertumpu bagaimana dia mengeluarkan penderitaan penduduk pedalaman ke mata seluruh negara hanya dengan mencoretkan di dalam novel realiti kreatif.

Mungkin sebab itu juga beliau diangkat menjadi wakil bagi Parlimen Sik - tahun sama beliau dipandang negatif dan hampir-hampir kehilangan gelaran Sasterawan Negara.
Beberapa tahun kebelakangan ini, berita merosotnya tahap kesihatan beliau sesekali kudengar. Cikguku tidak segagah dulu. Cikguku beransur lemah. Cikguku kehilangan kudrat.

Namun di sebalik semua kekurangan itu aku yakin cikguku masih teguh mencintai sastera berunsur Islamik. Aku yakin kerana sejak hari pertama menjejaki kelas kuliahnya itulah yang diidamkannya - mengislamikkan sastera.

Pada pagi 26 Disember 2017, Shahnon Ahmad yang kukenal secara peribadi akhirnya mengikut hukum alam fana - setiap yang bernyawa pasti dijemput Ilahi.

Shahnon sudah pergi ke negeri abadi namun Lahuma dan Jeha tetap hidup di hati kita.

Shahnon dalam perjalanan tenang menemui Ilahi namun Shit yang dikeluarkan dahulu tetap berpaksikan demokrasi membela insan teraniaya.

Shahnon harapnya suci di depan Tuhan dengan meninggalkan khazanah sastera yang tidak mungkin sesiapa pun dapat lupakan.

Belasungkawa guruku. Kukenali hanya sekejap namun dalam sekejap itu aku mengenalimu!

FAUZI RAHIM MUSTAFA anak kelahiran Baling, Kedah dan bekas graduan Universiti Sains Malaysia, juga menjadi penulis bebas.
-malaysiakini 

Musuhi hanya kerana bukan Islam bercanggah ajaran Islam sebenar

ZIKRI ABDULLAH

Umat Islam yang menganggap seseorang itu musuh hanya semata-mata kerana dia bukan Islam adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan Ustaz Hj Hashim Mohd berkata, fahaman seperti itu berlawanan dengan apa yang dilakukan Rasulullah S.A.W sendiri.

“Kita perlu ingat bahawa ketika Nabi diutus menjadi Rasul hanya beliau seorang diri sahaja yang Islam.

“Kalau baginda bertindak memusuhi semua yang belum Islam di kelilingnya, tentu Islam tidak berkembang,” katanya ketika memimpin tanweer bulanan pimpinan AMANAH Kelantan di Jeli malam tadi.

Dalam ajaran Islam katanya, permusuhan dengan orang kafir hanya ketika berlaku peperangan.

“Memanglah semasa perang mereka memusuhi kita dan kita memusuhi mereka. Semua orang Islam tahu bahawa perang ialah jalan terakhir dalam interaksi dengan bukan Islam. Itupun apabila umat Islam diperangi,” katanya.

Dalam konteks orang bukan Islam di Malaysia katanya tidak pernah terjadi orang bukan Islam memerangi kaum Muslimin atas nama agama.

“Oleh itu kita tidak harus mengkategorikan DAP, MCA, MIC dan apa sahaja sebagai golongan yang perlu dimusuhi.

“Malah seharusnya kita sentiasa mencari jalan untuk mengadakan hubungan dan berbuat baik kepada mereka supaya mudah-mudahan mereka menerima Islam,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya lagi kumpulan seperti MCA dan MIC harus ditolak kerana mereka berpakat dengan pemerintah yang menzalimi rakyat.

“Kita tolak mereka kerana hal ini dan bukan kerana mereka tidak beragama Islam,” katanya.