"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Senangnya apek ni minta maaf setelah menghina angkatan tentera

Taikun minta maaf kata tentera hanya 'makan dan tidur'

Selepas mengundang kecaman pelbagai pihak, pengasas Gamuda Bhd Koon Yew Yin meminta maaf atas kenyataannya yang antara lain menyifatkan anggota tentera negara ini hanya "makan dan tidur".

Koon berkata kecaman yang diterimanya mungkin disebabkan caranya mengeluarkan kenyataan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak.

"Saya meminta maaf jika saya menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

"Sepatutnya saya berkata pasukan tentera diperlukan ketika perang untuk mempertahankan negara. Ketika keadaan negara aman, mereka sepatutnya melakukan kerja lain untuk meningkatkan ekonomi negara kita

"Namun ada pihak yang tidak suka dengan cara saya memperkatakan tentang anggota tentera," katanya lagi.

Semalam, Koon dalam blognya antara lain berkata ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak, dan mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang Felda.

Kenyataan itu disampaikan menerusi satu tulisan bertajuk "Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita".

Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang menyifatkan kenyataan itu menghina menghina pasukan angkatan tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong menyifatkan kenyataan Koon sebagai satu salah faham terhadap angkatan tentera dan perlu diperbetulkan.

Pada masa aman, kata Liew, tentera berperanan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi antarabangsa.

"Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara. Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’; jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan. Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir," katanya semalam.

'Gempur hingga mereka pulih atau tinggalkan negara ini'

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu masyarakat di negara ini digemblengkan untuk menggempur kumpulan pelampau yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

“Kumpulan pelampau seperti ini sepatutnya disenaraikan di bawah anasir subversif dalam negara. Mereka hendaklah dianggap sebagai satu ancaman kepada negara setaraf dengan ancaman terrorisme.

“Masyarakat Malaysia hendaklah digemblengkan untuk menggempur kumpulan pelampau ini sehingga mereka pulih atau keluar meninggalkan negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, tetapi Dr Mohd Asri turut melampirkan keratan berita Malaysiakini yang bertajuk “Dong Zong rasis, tak pernah setuju apa-apa pun, kata Mahathir.”

Bercakap kepada media selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang Matsirat, di Langkawi, hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai “rasis” kerana menuduh langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata Mahathir.

Pada Khamis, 8 Ogos lalu, ketika menyampaikan kuliah di Masjid Alwi, Kangar, mufti Perlis itu berkata, polemik tentang tulisan jawi yang timbul adalah disebabkan oleh rasa fobia masyarakat bukan Islam terhadap “apa-apa yang dianggap mempunyai hubungan dengan Islam”.

Katanya, hal itu disebabkan wujud salah faham di kalangan golongan itu bahawa tulisan Jawi dianggap seperti mahu mengislamkan mereka, sedangkan tulisan itu bukanlah berkaitan agama.

“Kita menyatakan dia tak ada hubungan (dengan agama). Macam songkok, di India pakai, nabi (Muhammad SAW) tak pakai songkok. Baju Melayu, samping, bukan mewakili agama. Ia pakaian melayu.

“Tulisan Jawi itu ialah tulisan bangsa Melayu, tapi sebahagian mereka (bukan Islam) anggap seolah-olah cuba mengislamkan mereka. Ini yang salah.

“Dan saya rasa ada macam satu kebencian terhadap perkara yang berhubung dengan agama, sehingga (perkara) yang bukan agama pun diasangkakan agama, dan dibenci,” katanya.

Isu tulisan Jawi menjadi kontroversi bulan lalu apabila cadangan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu di sekolah mendapat tentangan akar umbi DAP dan NGO Cina.

Ini kemudian menyaksikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan secara pilihan dan guru diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Jumlah muka surat yang melibatkan tulisan Jawi juga dikurangkan berbanding cadangan asal, menjadi hanya tiga muka surat daripada enam.

Saya diberi amaran serangan Raja Petra jika enggan jumpa Najib - Husni

Reduan Abdul Rashid & Hariz Mohd
KES NAJIB l Bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah mendakwa beliau telah diberi amaran tentang kemungkinan serangan daripada penulis blog Raja Petra Kamaruddin jika beliau enggan berjumpa dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 2016.

Husni berkata ini disampaikan kepadanya oleh ketua setiausaha sulit kepada Najib, Shukry Mohd Salleh selepas menyampaikan ucapan pedasnya mengenai 1MDB di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2016, empat bulan selepas meletak jawatan sebagai seorang menteri.

Memberi keterangan sebagai saksi ke-56 dalam perbicaraan rasuah Najib, Husni berkata Shukry melawatnya di rumahnya setelah beliau menyampaikan ucapannya.

"Selepas memberi ucapan, saya pulang. Saya di rumah bersama isteri dan kemudian Tan Sri Shukry tiba pada pukul 10 malam.

"Dia kata, ‘Najib minta saya melawatnya, Najib mahu berjumpa kamu malam ini’ tapi saya kata saya letih’.

"Dia kata 'Najib telah berbincang dengan seseorang dan mereka telah menghubungi Raja Petra, esok mereka akan serang kamu, mari kita lawat Najib’,” katanya.

Bagaimanapun, Husni tidak berjumpa Najib pada hari itu dan beliau berkata serangan itu bermula, dengan anaknya, Khalid Ahmad Husni menjadi sasaran pertama.

Serangan Raja Petra

Pada 25 Okt 2016, sehari selepas ucapan Husni, Raja Petra menerbitkan satu artikel bertajuk: "Dua bilion alasan mengapa Husni serang Najib semalam".

Artikel itu menerbitkan agenda mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, yang memaparkan kehadiran Khalid, mewakili New Pantai Expressway (NPE). Mesyuarat itu akhirnya menolak cadangan melanjutkan NPE, yang bernilai RM2 bilion.

"Bayangkan minit mesyuarat itu sampai ke Raja Petra, dia menerbitkannya di Facebook dengan mengatakan bahawa saya marah kerana anak saya tidak mendapat projek RM2 bilion dari Najib," katanya.

Beliau berkata ini akhirnya menyaksikan anaknya dipecat daripada NPE.

Pada hari berikutnya, pada 26 Okt 2016, Raja Petra menerbitkan pula artikel bertajuk: "Mungkin Husni terlupa tentang skandal seksnya".

Selain itu, Husni berkata hakikat bahawa akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno menyiarkan beberapa artikel yang menyerangnya, walaupun hanya merujuk kepadanya sebagai "bekas menteri". Beliau kemudian merumuskan bahawa Najib di belakang serangan itu.

"Pada Oktober atau November (2016) saya menghantar mesej kepada Najib, bertanya kepadanya 'Apa ini?'

"Najib kemudian jawab 'Bincang dengan Nazri Aziz'.

"Saya hantar mesej kepada Najib, Najib suruh saya bercakap dengan Nazri, saya jawab saya tidak tak dapat bercakap dengan Nazri kerana dia di luar negara. Kemudian keesokan harinya, tidak ada lagi serangan," kata Husni ketika disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.