"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki jumpa emas lebih RM3 juta tertanam di laman rumah

KOSMO!

PARIS – Seorang lelaki Perancis bergelar jutawan segera selepas menemukan harta karun berupa emas bernilai kira-kira AS$800,000 (RM3.35 juta) ketika sedang menggali kolam renang di laman rumahnya awal tahun ini, demikian menurut pegawai tempatan.

Dia memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan selepas penemuan tersebut pada bulan Mei.

Pihak berkuasa kemudian membenarkan lelaki tersebut menyimpan emas itu kerana ia bukan berasal dari tapak arkeologi, kata Majlis Perbandaran Neuville-sur-Saone, timur Perancis semalam.

Menurut laporan akhbar Le Progrès, lelaki itu menemukan lima jongkong emas dan banyak syiling yang tertanam di dalam beg plastik.

Majlis perbandaran berkata, pemilik terdahulu rumah itu telah meninggal dunia, namun bagaimana emas itu boleh tertanam di situ kekal menjadi misteri. – AFP

62 ditahan disyaki terbabit rangkaian penipuan tilik nasib

Bernama-Dpa

Istanbul: Polis Turkiye menahan seramai 62 individu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian penipuan dalam talian melibatkan penilik nasib dan medium palsu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu memetik agensi berita Anadolu Ajansi.

Kumpulan itu didakwa menipu dan memeras ugut pelanggan melalui platform dalam talian, menurut laporan Anadolu.

Polis turut merampas telefon, kad SIM, komputer riba serta sejumlah besar bahan digital dalam serbuan di 29 bandar dan wilayah seluruh negara.

Akhbar tempatan Sabah pula melaporkan bahawa kumpulan berkenaan menyasarkan ratusan mangsa.

Amalan tilik nasib tersebar dengan meluas di Turkiye, namun pihak berkuasa kerap mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap penipuan berkaitan kegiatan itu.

Pada Julai lepas, dua laman sesawang tilik nasib popular turut disiasat atas dakwaan penipuan, dan pengasasnya telah ditahan, menurut media tempatan.

Hamzah Zainudin: Muhyiddin mahu serah jawatan presiden kepada saya

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhasrat menyerahkan jawatan tertinggi parti itu kepadanya apabila beliau berundur nanti.

“Umum diketahui bahawa presiden (Muhyiddin) mahu serahkan ‘baton’ kepada saya apabila beliau bersedia,” kata timbalan presiden Bersatu itu dalam wawancara bersama BFM baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, persoalan mengenai bila peralihan kepimpinan itu akan berlaku terserah sepenuhnya kepada Muhyiddin, menyamakannya dengan acara lari berganti-ganti.

“Persoalannya adalah peralihan, dan itu bergantung kepada presiden, bila beliau mahu serahkan ‘baton’ itu,” katanya.

“Bagi saya, terpulang kepadanya (Muhyiddin). Seperti lari berganti-ganti 4×100, mungkin saya pelari kedua dan beliau yang pertama. Saya hanya menunggu (selagi beliau presiden). Sebaik sahaja beliau serahkan ‘baton’, saya akan ambil dan lari.”

Beliau mengulas soalan sama ada terdapat perbincangan dengan Muhyiddin untuk beliau mengambil alih pucuk pimpinan Bersatu.

Hamzah sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahaginya kepada Muhyiddin sebagai presiden Bersatu, sepertimana yang dizahirkan dalam ucapannya pada perhimpunan agung tahunan parti baru-baru ini.

“Tidak sepatutnya timbul lagi sebarang persoalan kerana saya telah beri sokongan penuh kepada presiden saya,” katanya.

Mengulas dakwaan wujudnya ‘pembersihan politik’ dalam Bersatu susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Hamzah menyifatkannya sekadar pertelingkahan dalaman yang biasa berlaku dalam mana-mana parti politik.

“Saya harap perbalahan politik dalaman mengenai kepimpinan (parti) akan segera berakhir, tidak berlarutan,” ujarnya.

Berhubung spekulasi wujudnya tiga kem berbeza berpihak kepada Muhyiddin, Setiausaha Agung Azmin Ali dan dirinya sendiri, Hamzah berkata, ini hanya membuktikan Bersatu mempunyai barisan pemimpin yang berkaliber.

“Saya gembira kerana ia membuktikan adanya pemimpin dalam Bersatu yang diiktiraf rakyat,” katanya.

Ketegangan dalam Bersatu semakin memuncak susulan tindakan disiplin terhadap Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, di tengah-tengah perebutan kuasa yang jelas antara Muhyiddin dan Hamzah.

Lembaga disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian, iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya); Faizal Asmar (Pengerang); Fadhli Ismail (Ipoh Timur); dan Isa Saidi (Ampang).

Wan Saiful sebelum ini menuduh beberapa individu yang rapat dengan Muhyiddin menjadi punca keretakan hubungan dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti, menamakan Azmin dan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Muhyiddin berdepan gesaan agar meletak jawatan presiden, termasuk daripada Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.