"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mazlan: 'Duit raya' hanya gimik Felda

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 14 Ogos:
Pengumuman Perdana Menteri untuk memberi RM350 duit raya kepada setiap peneroka adalah cubaan Felda menunjukkan imej baik mereka, kata Mazlan Aliman.

Sebaliknya, Mazlan (gambar) yang juga Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka (Anak) berkata, 'duit raya' tersebut adalah sememangnya duit peneroka yang diambil Felda.

"Mereka cuba memberi gambaran bahawa Felda melayan peneroka dengan baik. Padahal itu adalah duit hasil usaha peneroka yang mereka ambik dan dikembalikan atas nama 'duit raya'," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam berhubung pemberian duit raya RM350 kepada setiap peneroka Felda dan RM150 kepada yang tidak bersama Felda.

Menurut Najib, Pemberian itu melibatkan jumlah RM37.14 juta kesemuanya.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pengumuman Najib itu juga hanya gimik bagi menutup isu Felda yang akan bankrap.

"Tak padan PM yang umum, sepatutnya cukup setakat Pengarah Besar Felda sahaja yang umum," katanya lagi.

Selain itu, jumlah pemberian itu juga katanya tidak berbaloi dengan usaha peneroka selama ini dan sangat kecil jika dibandingkan dengan peningkatan harga komoditi sawit semasa.

"Kalau nak kira, jumlah yang diberi terlalu kecil, tak berbaloi dengan usaha peneroka," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mazlan akan memfailkan saman terhadap Felda ekoran menahannya di Felda Lembah Klau pada 9 Mac lalu.

Saman tersebut akan difailkan peguam mewakilinya, Wan Rohaimi Wan Daud di Mahkamah Tinggi Temerloh jam 11 pagi Isnin, 16 Ogos ini.

Beliau mendakwa, penahanannya oleh Felda adalah tidak sah, berniat jahat dan menjejaskan reputasinya.

57 peratus orang Melayu tak percaya media arus perdana

KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Enam daripada 10 rakyat Malaysia tidak percaya media arus perdana manakala hanya satu dalam lima mempunyai akses kepada berita “online”, demikian menurut satu kajian yang dikeluarkan baru-baru ini.

Kajian Merdeka Center dijalankan antara 27 Jun dan 25 Julai lalu menunjukkan 57 peratus orang Melayu tidak percaya pada laporan media arus perdana berbanding 33 peratus yakin manakala 10 peratus lagi mengatakan mereka tiada maklumat.

Di kalangan masyarakat Cina pula, 58 peratus responden berpandangan bahawa mereka tidak percaya pada media arus perdana, 30 peratus percaya dan 12 peratus lagi pula tidak tahu.

Hasil kajian itu dilihat mempunyai kaitan dengan arah aliran jualan suram bagi kebanyakan organisasi media arus perdana.

Perangkaan edaran menunjukkan akhbar bahasa Inggeris dan Malaysia seperti New Straits Times, The Star, Berita Harian dan Utusan Malaysia berhadapan dengan kemerosotan jualan pada tahun ini berbanding 2009 iaitu dalam lingkungan 20 peratus.

Beberapa eksekutif akhbar mengakui liputan politik yang berpihak telah memberi kesan ke atas paras jualan.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa akses kepada alterntif media kekal rendah dengan sekitar 80 peratus responden mengatakan bahwa surat akhbar bercetak masih masih menjadi sumber maklumat utama.

Hanya 21 peratus yang ditemui mengatakan mereka ada membaca berita internet sepanjang sebulan lalu tetapi kebanyakan membaca media arus perdana versi online.

Majoriti responden berkata mereka tiada kepercayaan tinggi ke atas media alternatif meskipun ramai bersetuju bahawa ia sebenarnya lebih boleh dipercayai.

Ulasan-ulasan daripada perbincangan kumpulan fokus juga menunjukkan ramai merasakan kebebasan media masih terhad di negara ini disebabkan amalan tapisan yang kuat.

Beberapa peserta kumpulan fokus juga menekankan bahawa akhbar bahasa Malaysia sangat bias.

Dua penganalisis politik berkata kajian itu bukan sesuatu yang di luar dugaan sama sekali.

“Ini mungkin kerana kumpulan ini belum mendaftar sebagai pengundi ataupun tidak kisah apa yang berlaku di negara ini,” kata Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia ketika ditanya mengenai hasil kajian itu.

“Ataupun mungkin kerana harapan yang tinggi selepas 2008, mereka mungkin jadi kumpulan atas pagar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Dan, ia juga kemungkinan kerana terlalu banyak ‘politiking’, di mana rakyat sudah penat dengan keadaan itu,” katanya.

Sivamurugan menjelaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menjelaskan agenda politik mereka juga kemungkinan telah menyumbangkan penemuan itu.

Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju bahawa pemilikan media sahaja belum tentu menjamin kejayaan sesebuah parti politik.

“Dalam menguruskan maklumat, menguruskan media, mesej, kedua-dua pihak kena bekerja kuat mulai sekarang,” kata Agus ketika dihubungi.

“Jika mereka terus memintal, mensensasikan isu, mereka akan tenggelam,” kata penganalisis politik itu.

“Kini maklumat di hujung jari, sama ada media arus perdana atau internet, mereka tidak percaya setiap perkara yang mereka baca. Merek tahu bagaimana hendak menilai,” katanya lagi
-malaysianinsider-

Siapa sebenarnya ego dan dendam?

Yangretibase
Tokoh agamakah pengasas pondok Geting, Abdullah Saamah dan Mudir Pondok Pak Krau, Mohamad Zainal Abidin? Kalau sampai dilabel tokoh oleh wartawan cap ayam sekalipun, kenalah jaga 'sikap agama', 'faham agama', 'pandangan agama' dan 'reti agama' anda.

Kalau anda berdua benar-benar tokoh agama, anda tentu tidak tergamak menuduh TG Nik Aziz Nik Mat bersifat ego, kerana sebenarnya hanya si egois yang tergamak menuduh orang lain ego. Demikian juga, hanya si pendendam yang terdesak dengan sewenang-wenang dan tanpa segan silu menuduh orang lain memiliki sifat dendam.

Saya tidak berminat untuk menjawab tohmahan dan kritikan bodoh dua orang 'tokoh agama' ini yang disiarkan oleh Utusan Melayu. Saya cuma ingin memberitahu mereka berdua bahawa seseorang yang ada padanya sifat ego ialah seorang yang sombong, takbur, berasa dirinya lebih hebat, lebih berilmu dan lebih segala-galanya daripada orang lain.

Maka saya berpendapat, kamu berdualah yang sebenarnya 'ego', bukan TG Nik Aziz. Saya cukup yakin, TG Nik Aziz seorang ulama warathatul-anbia yang jauh daripada bersifat sombong, takbur dan besar diri. Dan kamu jugalah yang pendendam. Saya rasa hairan mengapa kamu, terutamanya Abdullah Saamah tidak habis-habis mendendami TG Nik Aziz. Benci sangat kamu kepadanya, mengapa? Di mana iman kamu?

Saya juga ingin memberitahu mereka berdua betapa sesatnya mereka apabila Abdullah berkata bahawa pada hari ini, tiada lagi terdapat perbezaan dasar antara PAS dengan UMNO. Pernyataan Abdullah itu merupakan satu pernyataan yang sesat lagi menyesatkan.

Betapa biadabnya Abdullah Saamah menyamatarafkan dasar PAS yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah dengan dasar UMNO yang bersifat sekular.

Sukalah saya menasihati anda berdua supaya anda kembali kepada al-Quran dengan menghayati sungguh-sungguh setiap Ayat daripada 6,236 Ayat al-Quranulkarim.

Tolong maafkan saya. Saya ikhlas lillahitaala.