"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Desak Anwar Ibrahim turun: Siapa calon PM dari PN

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu lebih jelas berkait calon perdana menteri yang mahu disokongnya sebelum menganjurkan sebarang usaha mendesak Anwar Ibrahim turun dari kedudukannya, menurut Bersih.

Badan pemantau pilihan raya itu juga menggesa pembangkang menggunakan saluran Parlimen dengan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, selain menganjurkan himpunan khas, bulan depan.

“Pembangkang perlu jelas siapa akan jadi perdana menteri dan dapat sokongan jika Anwar turun atau letak jawatan,” kata Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman Pemuda PAS yang menganjurkan ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini menggantikan bantahan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dirancang sebelum ini.

Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden dipetik berkata keputusan itu susulan tindakan Anwar memohon imuniti daripada saman sivil difailkan Yusoff Rawther.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Woo Kah Leong ketika membidas himpunan itu turut mempersoalkan kegagalan PN bersepakat berkait calon perdana menteri gabungan tersebut.

Sementara itu, Faisal berkata walaupun mencadangkan proses Dewan Rakyat digunakan untuk mengukur sokongan terhadap Anwar, namun Bersih berharap kerajaan dapat melancarkan penganjuran perhimpunan terbabit.

Katanya, ini kerana berhimpun secara aman adalah hak asasi demokrasi perlu dipelihara dan dihormati walaupun tuntutan itu tidak disenangi kerajaan.

“Polis perlu bantu memudahkan himpunan selari dengan kenyataan perdana menteri yang benarkan untuk berhimpun dan penguatkuasaan moratorium siasatan jika berhimpun secara aman,” katanya.

Pemimpin Bersatu didakwa terima rasuah RM235,000, 3 kereta mewah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas timbalan speaker Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 tuduhan rasuah berjumlah RM235,000 berkait projek tambak laut di Melaka antara April 2024 hingga Januari lalu.

Timbalan ketua penerangan Bersatu itu mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, lapor Utusan Malaysia.

Mengikut tuduhan, Ali ketika menjadi pengarah urusan Puncak Jasasia Sdn Bhd didakwa menerima suapan secara berperingkat sebanyak RM5,000 hingga RM20,000 dari 18 April 2024 hingga 20 Jan lalu.

Suapan itu sebagai upah bagi melantik syarikat Benalec Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi menjalankan kerja di bawah projek tambakan laut seluas 40.47 hektar di perairan Kota Laksamana, Melaka.

Ali, 61, didakwa menerima suapan tersebut dekat sebuah premis di Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam.

Beliau juga didakwa menerima tiga buah kereta mewah BMW 730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur pada Januari 2017 serta April dan Mei 2024 di premis sama dan sebuah premis lain di Sungai Buloh.

Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM60,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Ali bersetuju dengan jumlah jaminan serta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan jumlah jaminan dan syarat tersebut dan menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes.

Pengkhianat: 2 penjawat awam ditahan, sindiket PLKS tumpas

FMT Reporters

Sindiket meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin kira-kira RM100 hingga RM120 sekeping.
Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu dua lokasi di Jalan Ipoh Isnin lalu. (Gambar Jabatan Imigresen)
PETALING JAYA: Sindiket cetak pelekat palsu dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) tumpas, manakala dua penjawat awam turut ditahan di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata seorang warga Pakistan yang juga dalang utama sindiket ditahan dalam operasi pertama bermula 11 pagi kelmarin di dua lokasi di Jalan Ipoh hasil aduan dan risikan selama dua minggu.

Katanya, semakan awal mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, manakala seorang lelaki dan dua wanita tempatan sedang berurusan dalam premis terbabit turut diperiksa.

“Pasukan operasi menyita 13 pelekat palsu terdiri enam visa Bangladesh, Amerika Syarikat (dua), masing-masing satu visa Indonesia dan Pakistan, satu pelekat muka depan Biometrik Pasport Bangladesh, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin kira-kira RM100 hingga RM120 sekeping mengikut negara dicetak.

“Seorang lelaki dan wanita warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.”

Menurutnya, dua wanita tempatan dipercayai dalang utama serta seorang lelaki tempatan ditahan dalam satu lagi operasi khas di sekitar Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor pada 6.42 petang hari sama.

“Siasatan awal mendapati wanita dan lelaki ditahan ini adalah penjawat awam. Semua yang ditahan berusia 40 hingga 43 tahun.”

Beliau berkata, 74 pasport Sri Lanka, Myanmar (13), Vietnam (6), Indonesia (2), Ghana (2) dan masing-masing satu pasport India, Pakistan, Bangladesh serta Syria disita bersama sebuah Toyota Vellfire digunakan sindiket itu.

“Modus operandi sindiket adalah menguruskan PLKS kepada warga asing di Lembah Klang.

“Hasil semakan awal mendapati butiran pada ePLKS dipinda dan tidak wujud dalam sistem imigresen. Kadar bayaran dikenakan sebanyak RM11,000 bagi setiap seorang dan dipercayai beroperasi sejak hujung 2024.”

Katanya, semua warga tempatan ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.”