"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jururawat dipenjara seumur hidup kerana bunuh 10 pesakit untuk kurangkan beban kerja

Bernama-Dpa

Aachen (Jerman): Seorang jururawat di Jerman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh 10 pesakit tenat di wad paliatif bagi mengurangkan beban kerjanya semasa syif malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mahkamah wilayah di Aachen menjatuhkan hukuman ke atas lelaki itu dan memutuskan bahawa disebabkan keseriusan jenayahnya, tertuduh tidak layak dipertimbangkan untuk parol selepas menjalani tempoh minimum 15 tahun penjara.

Sehingga kini, jumlah sebenar pesakit yang dibunuh oleh jururawat berusia 44 tahun itu masih belum diketahui.

Menurut pihak pendakwaan, seramai 13 pesakit meninggal dunia selepas tertuduh memberikan ubat penenang, kadangkala digabungkan dengan ubat tahan sakit, ketika bertugas di sebuah klinik berhampiran Bandar Aachen antara Disember 2023 dan Mei 2024.

Pada mulanya, tertuduh didakwa atas sembilan pertuduhan membunuh dan 34 cubaan membunuh, namun menjelang akhir perbicaraan, mahkamah mendapati beliau turut membunuh mangsa ke-10 serta mensabitkannya atas 27 pertuduhan cubaan membunuh.

Pendakwa menuduh jururawat itu memberikan ubat penenang kepada pesakit bagi mengurangkan beban kerja ketika bertugas pada waktu malam. Namun, tertuduh menafikan dakwaan bahawa dia memberi ubat berkenaan dengan niat untuk menamatkan nyawa pesakit.

Peguam bela pula memohon supaya anak guam mereka dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Siasatan masih diteruskan terhadap beberapa kes disyaki melibatkan tahun sebelumnya, dan pihak pendakwaan di Aachen menjangkakan pertuduhan tambahan akan difailkan.

Wanita warga Britain ditangkap anjur kelas yoga bertema ‘intim’

KOSMO!
MARIA ditangkap kerana anjur 'Tantra Yoga.' - Foto Naewna
BANGKOK – Seorang pelancong warga Britain ditangkap di Koh Pha Ngan, Thailand kerana didakwa menganjurkan kelas yoga bertemakan seks di sebuah restoran tempatan, lapor portal berita Thaiger hari ini.

Polis pelancong menyerbu restoran di Kampung 8, subdaerah Koh Pha Ngan selepas menerima maklumat daripada seorang pengguna Facebook yang melaporkan iklan mempromosikan kelas mingguan ‘Tantra Yoga’. 

Risalah promosi itu menjanjikan sesi setiap Selasa dari pukul 4.30 petang hingga 6 petang (waktu tempatan) yang didakwa mengandungi unsur seksual dan mengenakan bayaran 400 baht (RM50) bagi setiap peserta.

Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Maria, 40, ditangkap ketika kelas sedang berlangsung semasa pemeriksaan yang diketuai polis pelancong. 

Anggota-anggota polis tiba di lokasi itu dan mendapati dia sedang mengajar sekumpulan warga asing melakukan meditasi duduk serta postur yoga.

Walaupun Maria memiliki pasport dan permit kerja yang sah, dia sebenarnya bekerja sebagai pengurus perhubungan pelanggan di sebuah syarikat pengurusan hotel dan bukan sebagai pengajar yoga. 

Dia mengaku mengendalikan kelas itu sebelum ditangkap dan didakwa kerana bekerja di luar bidang yang dibenarkan. – AGENSI

Zara dakwa hampir dibunuh bapa kandung, kata saksi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Zara Qairina Mahathir pernah memberitahu rakannya yang dia hampir dibunuh oleh bapa kandungnya sendiri ketika kecil.

Menurut saksi yang juga pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina turut pernah mengadu kepadanya mengenai masalah keluarga kepada rakan dorm A3-5 itu.

“Zara (panggilan saksi kepada Zara Qairana) pernah mengadu kepada saya mengenai masalah keluarga Zara sendiri. Saya pernah diberitahu oleh Zara bahawa ibu Zara pernah cerita kepada Zara bahawa Zara hampir dibunuh oleh bapa kandung sendiri masa Zara kecil,” kata saksi kanak-kanak ke-29 yang juga rakan satu dorm kepada remaja tersebut di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Selain itu, saksi memberitahu Zara Qairina tidak pernah bercerita tentang rasa takut, sedih atau menyendiri kepadanya mahupun mengadu dibuli, mengalami tekanan atau keletihan, lapor Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, saksi inkues ke-38 itu berkata beberapa hari sebelum Zara Qairina ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri, remaja terbabit sering kelihatan termenung, murung dan menyendiri.

Terdahulu, saksi itu memberitahu, dia merupakan individu yang mencadangkan agar loker Zara Qairina digeledah selepas remaja tersebut disyaki mencuri pada malam 15 Julai lalu.

Katanya, dia mencadangkan sebegitu kerana ingin membantu dua penghuni dorm berkenaan yang mengadu kehilangan kad bank, dompet dan kad pengenalan.

Selepas membuat pemeriksaan tersebut, saksi memberitahu dia mengambil baju dan menuju ke bilik seterika dan ketika melintasi dorm A3-6, dia ada melihat Zara Qairina duduk bersila di lantai dorm berkenaan sambil dikelilingi oleh beberapa orang senior.

Ketika itu, dia tidak mendengar mendengar suara marah-marah atau teriak. Selepas selesai menggosok pakaian, saksi kembali ke dormnya dan mendapati Zara Qairina sedang menangis sabil terbaring di tepi loker sebelum menjerit ‘aku nda curi bah, sial’.

Saksi kemudian melihat Zara Qairana masuk ke tandas di aras tiga itu. Selepas tengah malam dan Zara Qairina masih belum pulang dari tandas, saksi itu kemudian ke tandas untuk mencari rakannya itu. Ketika itu di tandas, terdapat dua penghuni sedang menadah air.

Semasa sedang mengisi air di dalam baldi, saksi memberitahu dia terdengar bunyi mangkuk tandas dipijak dari bilik tandas pertama sebelum terlihat separuh muka Zara Qairina di atas dinding tandas seolah-olah mengintai kami.

Disebabkan terkejut, saksi dan dua lagi penghuni yang sedang mengisi air keluar dari tandas tersebut buat beberapa ketika sebelum masuk semula.

Ketika itu, mereka masih melihat kepala dan muka Zara masih lagi berada di atas dinding tandas menyebabkan mereka lari ke dorm masing-masing akibat ketakutan.

Selepas terjaga dari tidur pada 4.30 pagi, ketika hendak mandi, seorang penghuni memberitahu saksi berkenaan bahawa Zara Qairina telah dibawa ke hospital kerana kakinya patah.

Tidak lama selepas itu, ketika hendak solat subuh, seorang lagi pelajar yang dikenali sebagai ‘pelajar A’, memberitahu saksi itu bahawa ‘Zara jatuh dari atas’.

Pelajar A merupakan salah seorang daripada lima remaja yang didakwa mengeluarkan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Identiti kelima-lima remaja dan semua saksi kanak-kanak dirahsiakan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 yang melarang mana-mana pihak mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding undang-undang termasuk nama, alamat, dan gambar, melalui mana-mana media massa untuk melindungi privasi mereka.

Larangan ini memastikan kerahsiaan kanak-kanak sama ada sebagai tertuduh, mangsa, atau saksi dan individu boleh dikenakan tindakan sekiranya larangan itu tidak dipatuhi.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.