"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/PAS: Keputusan tidak untungkan peneroka, memihak Felda

Faiz Abdullah

JEMPOL, 29 Jun (Hrkh) - PAS Kawasan Jempol telah menganjurkan perjumpaan dan sessi dialog bersama Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman di Muassasah Darul Syarif, Batu Kikir, Jempol.

Turut hadir dalam perjumpaan ini ialah Timbalan Pesuruhjaya Dua, PAS Negeri Sembilan, Kateran Marman dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol, Abdul Rahman Ramli

Program ini dianjurkan untuk merungkai masalah yang dihadapi oleh golongan peneroka Felda dan program ini telah dihadiri oleh 50 peserta dari sekitar Felda di Daerah Jempol.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol. Abdul Rahman Rahim, sejak kebelakangan ini berlaku pelbagai masalah dan kepincangan dalam pengurusan Felda dan yang menjadi mangsa adalah peneroka Felda.

Masalah mula timbul apabila berlaku pengambilan tanah oleh pihak Felda untuk dimajukan ataupun ketika proses penanaman semula berlaku.

" Banyak keputusan yang kritikal yang membabitkan peneroka tidak menguntungkan peneroka, sebaliknya memihak kepada Felda", kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman juga mendedahkan bagaimana keputusan mesyuarat Blok untuk melantik Ketua Blok di "tong sampah" kan.

" Ketua Blok yang dilantik di dalam mesyuarat secara konsensus tidak di iktiraf.Sebaliknya pihak Felda dan Wakil Rakyat melantik Ketua Blok pilihan mereka sendiri.

" Begitu juga dengan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) yang dilantik adalah pilihan Felda dan Wakil Rakyat", jelas Abdul Rahman.

Abdul Rahman kesal kerana ini satu amalan yang tidak demokrasi, malah tidak menghormati hak peneroka untuk menentukan pemimpin mereka sendiri.

Mazlan Aliman yang juga merupakan Ahli Dewan PAS Pusat, dalam ucapannya menekankan bahawa mesej yang jelas dengan tegas perlu dihantar oleh peneroka kepada Felda dan kerajaan khususnya.

"Kaedahnya ialah dengan membuat perubahan besar ketika pilihanraya umum akan datang.

"Justeru PAS mesti meningkatkan gerak kerja di kawasan Felda dengan menggunakan pendekatan mendekati generasi kedua", kata Mazlan.

Menurut Mazlan Felda telah mengabaikan generasi kedua di Felda antaranya seperti generasi kedua yang ingin menetap di Felda dan menjaga ibubapa mereka, tetapi tidak ada sebarang kawasan perumahan yang baru disediakan oleh Felda mahupun kerajaan untuk golongan ini.

Kateran dalam ucapannya membidas kerajaan apabila dalam sebarang perjanjian hak milik tanah atau apa-apa urusan pengambilan tanah, kuasa mutlak terletak di tangan Felda dan kerajaan.

"Saya ingin bertanya kepada Felda dan kerajaan, jika ini situasinya, apakah kuasa yang ada pada peneroka?

"Walaubagaimanapun jika berlaku bencana alam, pihak Felda berkata mereka tidak bertanggungjawab", bidas Kateran.

Di penghujung dialog ini, beberapa peserta mengajukan soalan dan mengutarakan masalah peneroka kepada Mazlan.

Mazlan telah memberikan pandangan, cadangan dan beberapa kaedah penyelesaian untuk mengatasi masalah yang membabitkan peneroka.


Tiada ulasan: