"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Perempuan Puaka': Pemimpin siswa temui NC UM

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berhasrat merayu kepada naib canselornya bagi membolehkan dua pelajar - dituduh menconteng dan cubaan membakar di sebuah dewan - menyambung pelajaran apabila semester baru dibuka.

Exco kepemimpinan badan tertinggi pelajar itu Mohd Aizat Mohd Salleh memberitahu
Malaysiakini hari ini, MPMUM akan bertemu Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon awal minggu depan.

Sesi pengajian kampus itu akan bermula Isnin ini.

Beliau bersama Setiausaha Persatuan Mahasiswa Islam UM Mohd Hafiz Ilyas dan wakil Akademi Pengajian Islam (API) Fadzil Jamal akan bertemu dengan naib canselor untuk mengetahui status dua pelajar akademi itu.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - kedua-duanya pelajar API - dituduh menconteng, cuba membakar dan menceroboh dewan kuliah utama fakulti tersebut 24 Jun lalu beberapa jam sebelum program isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Kedua-duanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,500 tiap seorang keesokannya.

Kes tersebut akan disebut semula 13 Julai ini. Polis kini sedang menjejaki tiga lagi pelajar API - termasuk presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin - bagi membantu siasatan kes tersebut.

Mohd Aizat menambah, beliau berharap dua rakannya itu tidak mengalami tindakan tatatertib di peringkat universiti akibat diseret ke muka pengadilan.

"Kita akan minta kepada pihak universiti supaya membenarkan mereka terus belajar walaupun akan dibicarakan. Syarat-syaratnya terpulang kepada pihak universiti," katanya.

"Cuba bayangkan dibicarakan selama 10 tahun, dan tidak (dapat) belajar, kemudian tidak didapati bersalah."

Sementara itu, petang tadi, Mohd Aizat bertemu pegawai kanan API Dr Ruzman Mohd Noor untuk mendapatkan maklumat terkini status pengajian Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen.

Setakat ini, katanya, Dr Ruzman tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak pentadbiran UM.

Menurut Mohd Aizat, pegawai memaklumkan kepadanya: "Selagi tiada surat penggantungan, tidak ada masalah untuk mereka meneruskan pelajaran minggu hadapan."
-malaysiakini-

Tiada ulasan: