"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ekonomi Islam: Isu perbankan Islam perlu diselesaikan di Mahkamah Syariah

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Nasharudin Mat Isa (PAS- Bachok) mengharapkan isu-isu berkaitan perbankan Islam dapat diselesaikan di mahkamah syariah atau pakar-pakarnya supaya ia mampu difahami dan ditafsirkan dengan lebih tepat khususnya berkaitan dengan kontrak pembiayaan al-Bai Bithaman Ajil (BBA) yang dibatalkan oleh mahkamah sivil.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 di Dewan rakyat semalam beliau menyatakan satu usaha yang lebih besar perlu digarap supaya mahkamah syariah perlu dinaik taraf dan diberikan peruntukan yang lebih luas supaya ia dapat membahaskan isu-isu berkaitan dengan muamalat Islam.

Beliau turut menekankan produk Bai Al-Inah yang diamalkan di Malaysia juga perlu diberikan perhatian kerana produk ini tidak boleh diperluaskan diperingkat antarabangsa

Jelasnya, produk Bai Al- Inah juga didapati ditolak di negara-negara Timur Tengah kerana terdapat unsur-unsur yang tidak mematuhi syariah.

"Bank-bank Islam perlu sentiasa disokong dari aspek sistem dan perundangan supaya mereka lebih bersifat inovatif dan meneroka pasaran-pasaran baru dan mencipta pelbagai kontrak-kontrak joint-venture/partnership (musharakah) dan profit sharing investment (mudharabah) dengan lebih luas.

"Bank-bank yang berteraskan syariah mestilah diasingkan daripada kerangka konvensional kerana mereka sendiri mempunyai accounting standard, IT Banking System dan istilah-istilah tersendiri," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS turut melahirkan kebimbangan mengenai pekerja-pekerja bank yang dipindahkan daripada bank konvensional kepada bank Islam.

Jelasnya pekerja-pekerja tersebut perlu diberikan latihan-latihan dan kursus-kursus sampingan bagi memantapkan pemikiran dan budaya kerja dalam menjalankan operasi dalam kerangka syariah.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan kepada Bank Nagara Malaysia agar melaksanakan kaedah yang lebih sesuai untuk mengimplementasikan kaedah celik kewangan di peringkat sekolah lagi secara lebih efektif dan sistematik.

Kaedah tersebut katanya termasuk mengenai aliran tunai, menguruskan simpanan, perbelanjaan, pelaburan serta berkaitan dengan pengurusan kewangan peribadi.


Tiada ulasan: