"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes 'puaka' UM: Siswa Islam lancar kutipan derma

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) akan melancarkan kutipan derma untuk membantu dua pelajar universiti tersebut yang dihadapkan ke mahakamah Selasa lalu atas tuduhan menconteng, cubaan membakar dan menceroboh dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - kedua-duanya pelajar API - dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.

Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mereka didakwa menconteng dinding dewan tersebut, selain menyimbah petrol di permaidani dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.

Kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.

Naib Presiden PMIUM, Mohd Aizat Mohd Salleh berkata, pihaknya akan memulakan kutipan derma itu dari kalangan ahlinya bagi membantu membiayai kos guaman kedua-dua pelajar terbabit.

"PMIUM mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli. Kutipan derma itu dijangka dimulakan minggu hadapan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: