"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penduduk Cina, Melayu bantah pindah tokong dekat masjid

Oleh PPBB

BATU FERINGGI - Penduduk Melayu dan Cina Kampung Belacan membantah pemindahan tokong Buddha yang akan berada kira-kira kurang 50 meter daripada Masjid Batu Feringgi.

Terdahulu berpuluh rumah penduduk Kampung Belacan terpaksa dirobohkan dan penduduk menerima pampasan berikutan pihak pemaju mahu membina projek perumahan mewah di perkampungan tersebut.

Akur dengan keputusan pemaju bahawa tanah tersebut bukan milik mereka, dan penduduk berpindah ke kawasan yang lain setelah menerima pampasan.

Namun, masalah yang lain pula timbul apabila tokong penganut Buddha khasnya kaum Cina Batu Feringgi itu masih belum dirobohkan, tetapi ia masih menjadi masalah kerana tokong yang berusia kira-kira 120 tahun itu terletak di tengah-tengah tapak projek berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tokong lama yang diberi nama Tan San See Temple itu terletak di tengah pembangunan baru Kampung Belacan, Batu Feringgi. Mahu tidak mahu, penduduk Cina terpaksa menerima hakikat bahawa tokong itu mesti juga dirobohkan.

Seorang penduduk Kampung Belacan, Saleih Saad berkata, dia terkejut apabila mendapati beberapa pekerja pembinaan sedang merobohkan rumah jirannya pada awal pagi baru-baru ini.

Dia yang tertanya-tanya dengan keadaan demikian menanyakan perkara itu kepada pekerja tersebut.

“Pekerja itu memaklumkan rumah ‘apek’ yang juga jiran lama saya sudah dibeli oleh pemaju dan mereka mahu membina tokong baru di tapak berkenaan.

“Saya apa lagi, terkejut besar disebabkan tokong tersebut berada betul-betul bersebelahan rumah saya dan kira-kira 50 meter sahaja dari masjid,” katanya.

Manakala seorang pengunjung tokong berkenaan yang dikenali sebagai Ah Boy, mendapat maklumat yang sama daripada pekerja bahawa tokong lama mereka, Tan San See akan dipindahkan berhampiran dengan masjid.

“Kami tidak tahu apa-apa, kami sembahyang di sini dan kami terkejut kerana tiada seorang pun pihak pemaju datang memaklumkan pada ahli jawatankuasa tokong untuk memberitahu bagi memindahkan tokong kami berhampiran rumah penduduk Melayu dan tempat sembahyang mereka.

“Mereka (pemaju) tidak sepatutnya lakukan sebegini kepada kami, kami (penduduk kaum Cina) dengan Melayu Batu Feringgi sudah kawan baik dan saya takut sekiranya tokong ini dekat ia akan jauhkan hubungan kami,” katanya kesal dengan pemindahan tokong berkenaan.

Ah Boy berkata, pemindahan tokong yang dibina oleh ibu bapa mereka sejak ratusan tahun dahulu seharusnya dipindahkan ke kawasan yang lebih baik dan tidak mengganggu keharmonian kaum lain.

Katanya, dia dan rakan daripada kaum Cina yang lain tidak mahu menyusahkan penduduk beragama Islam dan kesal dengan tindakan pemaju yang seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan pengurusan tokong.

“Malah, keputusan untuk meletakkan tokong juga perlu mendapat restu kerana kadangkala sesebuah tapak tidak mempunyai feng sui yang bagus,” katanya.

Ah Boy juga bimbang sekiranya semasa bersembahyang di tokong ia akan mengganggu penganut aga�ma Islam yang sedang bersembahyang juga.

“Kami di sini bunyi pum pang pum pang nanti di sana dengar semasa mereka bersembahyang juga dan kami tidak mahu pergaduhan sebab kami di antara Melayu dan Cina sudah berkawan dari kecil. Kami juga boleh duduk satu meja minum kopi sambil bersembang, te�tapi kenapa kerajaan negeri tidak membantu kami?. Janganlah janji tinggal janji sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Pas Bukit Bendera, Saiful Lizan, bersama Naib Yang Dipertua Pas Bukit Bendera, Jamaluddin serta Setiausaha Pas Bukit Bendera, Jasmadi Jamaluddin turun padang melihat masalah penduduk Cina dan Melayu berkenaan.

Pada awalnya Jamaluddin yang juga pemimpin kawasan di Batu Feringgi menerima panggilan daripada sahabat Melayu dan Cina mengenai isu tokong tersebut.

Setelah melihat dan mendengar masalah daripada kedua-dua pihak, Jamaludin menghubungi Saiful untuk menerangkan masalah berkenaan.

Pas Bukit Bendera juga membuat laporan polis atas tindakan pemaju berkenaan di Balai Polis Batu Feringgi.

Saiful berkata, dia sudah membuat perjumpaan bersama mufti Pulau Pinang dan perkara tersebut mendapat reaksi positif.

Katanya, mufti turut memaklumkan pembinaan surau dan masjid perlu mendapat restu daripada beberapa pihak sebelum pembinaannya dapat dijalankan, dan begitu juga pembinaan tokong dan kuil perlu mendapat kebenaran sebelum dibina.

“Tetapi yang hairannya tiada sesiapa memberi kelulusan kepada pemaju dengan sewenang-wenangnya membina tokong tersebut di mana-mana yang mereka suka tanpa persetujuan dari mana-mana pihak.

“Jarak antara tokong dan masjid perlu dibina sejauh kira-kira 400 meter, dan kami daripada Pas Bukit Bendera bimbang sekiranya pembinaan tokong ini diteruskan ia akan menimbulkan masalah perkauman,” katanya.

Saiful juga meminta supaya Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim membantu penduduk menyelesaikan masalah berkenaan kerana Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab kepada penduduk.

“Pas akan membantu penduduk sebagaimana kami telah bantu nelayan Tanjung Bungah, dan kali ini masalah kaum Cina dan Melayu ini akan dibawa kepada pihak atasan untuk diberi perhatian.

“Kami juga sedang dalam perancangan untuk membuat memorandum bantahan sekiranya perkara ini masih diteruskan,” katanya.
-tranungkite.net-

Tiada ulasan: