"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Projek Loji Minyak: Kedah Jangka Raih RM400juta

Oleh CekMat

Kerajaan negeri Kedah dijangka meraih pendapatan sebanyak RM400 juta setahun hasil daripada projek loji penapisan minyak Sungai Limau Hidrokarbon Hab (Sulihh) yang dilaksanakan penghujung tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, jumlah tersebut dianggap cukup besar bagi kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan dan memastikan rakyat Kedah menikmati taraf hidup sejahtera.

Katanya, kewujudan projek berkenaan juga dikatakan bakal mengubah lanskap pembangunan dan meletakkan Kedah sebagai negeri yang mempunyai loji penapisan minyak terbesar di Malaysia.

''Projek ini berjalan dengan lancar dan majlis pecah tanah akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri.

''Apabila beroperasi kelak, kerajaan negeri menjangkakan hasil yang diraih adalah kira-kira RM400 juta setahun.

''Sementara rakyat Kedah pula akan mendapat banyak manfaat dari segi pembangunan, infrastruktur, pekerjaan dan perniagaan yang wujud melalui industri hiliran," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kedah Sejahtera dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kedah di Padang Awam Bandar Laguna Merbok, di sini hari ini.

Hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Menurut Azizan, Kerajaan Kedah baru-baru ini telah memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan beberapa syarikat yang bertanggungjawab memajukan loji penapisan minyak berkenaan.

Antara syarikat berkenaan ialah Merapoh Resources, Hong Kong Beijing Star Ltd. , Winson Investment Ltd. dan SK Engineering and Construction Ltd. of Korea.

''Apabila loji ini siap, syarikat tersebut akan mengimport minyak mentah daripada Timur Tengah dan memproses minyak tersebut sebelum dieksport semula ke China dan negara Asia lain," katanya.

Beliau memberitahu, dalam tempoh tiga tahun pertama loji berkenaan beroperasi, seramai 35,000 individu berpeluang mendapat manfaat bekerja dengan syarikat tersebut.

''Bagi membolehkan orang tempatan mendapat manfaat, keutamaan bekerja akan diberikan kepada rakyat negeri Kedah," jelasnya.

Sementara itu, Azizan berkata, Festival Kedah Sejahtera yang berlangsung hari ini hingga 28 Julai mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan dan orang ramai.

Katanya, kira-kira 100 gerai yang mempamerkan aktiviti serta perkhidmatan agensi kerajaan disediakan melalui festival yang julung-julung kalinya diadakan Kerajaan Kedah.

''Kos penganjuran program ini adalah sebanyak RM1 juta dan sebahagian besarnya dibiayai oleh sektor swasta menerusi skim penajaan," katanya.

-utaraonline.net-

Tiada ulasan: