"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues Teoh: Pegawai SPRM tidak catat keterangan Teoh

Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan kenyataan seorang pegawai penyiasat polis yang menyatakan tiada sebarang catatan dibuat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ketika menyoal siasat Teoh.

Inspektor Mohd Zulaimi Zubir (kanan), 29, dari cawangan jenayah ibupejabat polis daerah Shah Alam berkata perkara itu disedari selepas melakukan pemeriksaan ke atas 10 muka surat buku catatan harian rasmi milik pegawai SPRM Mohd Anuar Ismail yang dirampas 18 Julai lalu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan mengesahkan Mohd Anuar bertanggungjawab menyoal siasat Teoh, lapor Bernama

"Hasil pemeriksaan saya dapati dalam buku bertarikh 8 Julai 2009 tercatat 'rumah/putrajaya/pejabat/tol RM' sahaja. Pada 15 dan 16 Julai tiada sebarang catatan dibuat," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan Tan iaitu dari 1 Julai hingga 18 Julai lalu, adakah hanya terdapat satu catatan sahaja yang beliau nampak, Mohd Zulaimi berkata: "Ya."

Sebelum itu Mohd Zulaimi berkata beliau hanya merampas buku harian milik Mohd Anuar dan buku yang lain dirampas oleh pegawai polis lain.

Dalam prosiding, buku asal itu tidak ditandakan eksibit memandangkan ia masih digunapakai dan hanya salinan dikemukakan tetapi ia telah disahkan oleh Timbalan Pengarah SPRM.

Mohd Zulaimi turut memberitahu beliau juga telah merampas cakera keras rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Masalam dan diarah menyiasat pergerakan Teoh, pegawai SPRM dan individu lain di plaza itu yang dipaparkan dalam rakaman CCTV itu.

Mohd Zulaimi, saksi ke-11 berkata sebelum rampasan beliau telah melihat pergerakan di dalam rakaman CCTV itu dan mendapati terdapat pergerakan Teoh yang memasuki ruang lobi di tingkat 4 pada pukul 6.08 petang.

"Keesokan hari (selepas kejadian), saya diarahkan untuk mengenal pasti pukul berapa si mati masuk, pergerakan pegawai SPRM dan individu lain dalam banguanan dari jam 00:00 15 Julai hingga 7 pagi esoknya," katanya.

Beliau berkata rakaman CCTV itu kemudiannya diserahkan kepada jabatan forensik 18 Julai lalu untuk siasatan lanjut tetapi terdapat beberapa kesukaran untuk mengesan pergerakan kerana masalah teknikal.

Pergerakan Teoh hanya dilihat menerusi salinan yang dibuat melalui 'pen drive' tetapi ia tidak boleh dicetak dan Mohd Zulaimi berkata menerusi bantuan bahagian sekuriti di bahagian Plaza Masalam, sebanyak 47 imej orang keluar masuk pada 16 Julai dapat dikesan.

Katanya, rakaman itu dilihat pada 19 Julai lalu di pejabat keselamatan Plaza Masalam dan bukannya di jabatan forensik Bukit Aman.

Mohd Zulaimi berkata SPRM juga mengesahkan Teoh sebagai saksi mereka.

Katanya, pengecaman mayat Teoh itu dibuat oleh salah seorang pegawai SPRM yang berada di tempat kejadian iaitu di koridor tingkat 5 di bangunan itu yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 dan 15.

Bagaimanapun, saksi ke-11 itu berkata beliau tidak dapat memastikan pegawai yang membuat pengesahan itu kerana terlupa untuk mencatatnya.

"Mereka tahu si mati ialah saksi mereka setelah saya arahkan pihak polis membuka plastik yang menutup mayat Teoh. Ketika itu mereka, iaitu lebih kurang empat ke lima orang pegawai SPRM, berada dalam bangunan di kira-kira 10 hingga 20 meter dari kedudukan mayat.

"Walaupun mereka tidak berada berdekatan mayat, tetapi mereka dapat mengecam dan melihat dengan jelas muka si mati daripada cermin tingkap pejabat dalam bangunan itu," jelas Mohd Zulaimi.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh sama ada beliau mengecam pegawai SPRM yang berada di situ, Mohd Zulaimi berkata: "Saya boleh ingat seorang sahaja, iaitu pegawai yang dikenali sebagai Azim. Yang lain saya tak boleh cam."

Beliau turut menolak cadangan peguam bahawa pihak SPRM yang sebenarnya meminta polis untuk membuka penutup plastik mayat Teoh bagi tujuan pengecaman.

Mohd Zulaimi juga berkata beliau tidak menjumpai dompet Teoh di tempat kejadian dan hanya diberikan nombor kad pengenalan mangsa oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin.

Dalam keterangannya, Mohd Zulaimi memberitahu selepas membuat pengawasan di tempat kejadian, beliau kemudian naik ke tingkat 14 bangunan itu untuk melakukan sisatan lanjut.

"Di tingkat 14 saya terjumpa Azim sahaja. Pegawai SPRM yang berada di tingkat lima saya tidak nampak, tetapi pegawai-pegawai lain ada di pejabat itu," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa di pejabat SPRM itu, Ketua Polis Daerah telah membuat siasatan dan mengambil keterangan mengenai mangsa daripada pegawai di situ.

"Masa perbincangan di tingkat 14, ketua polis daerah ada bertanya berkaitan si mati dan mengambil butiran dirinya, dan seorang pegawai wanita SPRM mengesahkan bahawa Teoh ialah saksi mereka," kata Mohd Zulaimi.

Gobind: "Adakah kamu tanya bila kali terakhir si mati dilihat?"

Mohd Zulaimi: "Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah bahawa si mati dilihat kali terakhir kira-kira pukul 6 pagi (16 Julai)."

Gobind: "Adakah kamu rasa terdapat kemungkinan dia (Teoh) jatuh ditolak atau tercampak dari tingkat 14?"

Mohd Zulaimi: "Pada permulaanya saya berpendapat begitu. Dan selepas itu pegawai penyiasat melakukan penyiasatan, dia (pegawai penyiasat) berkata berkemungkinan dia (Teoh) terjatuh atau ditolak dari salah satu tingkap di tingkat 14."

Ditanya sama Ada terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di semua pejabat di antara tingkat 5 hingga 14 bangunan Plaza Masalam, saksi itu menjawab: "Saya tidak membuat pemeriksaan."

Berhubung rakaman CCTV di lobi bangunan itu, Mohd Zulaimi berkata, Teoh dilihat berjalan masuk ke dalam bangunan tanpa membawa sebarang beg, sebaliknya memegang sebuah telefon bimbit.

Prosiding petang tadi turut mendengar keterangan saksi ke-12 iaitu penolong juruanalisis, seksyen jenayah komputer, makmal forensik Polis Diraja Malaysia, Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan.

Saksi itu memberitahu beliau telah diarahkan oleh ASP Ahmad Nazri Zainal untuk mengeluarkan semua maklumat yang ada dalam telefon bimbit jenama Sony Ericsson dan kad sim pada 21 Julai.

Ketika ditanya peguam Rajpal Singh, bagi pihak Badan Peguam Selangor, sama ada beliau masa dan tarikh yang tertera pada telefon bimbit itu adalah tepat, Mohd Zaidi berkata: "Ya, saya ada buat pemeriksaan dan mendapati masa dan tarikh pada telefon itu adalah betul."

Prosiding inkues bersambung esok.

-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: