"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: PAS dan pengharaman penjualan alkohol

Oleh DR DENISON JAYASOORIA

Hasrat PAS untuk mengharamkan secara total penjualan alkohol di semua daerah yang mempunyai penduduk majoriti Islam di Selangor kini memberi peluang kepada kita untuk melakarkan garis panduan berkaitan penjualan alkohol. Walaupun seruan PAS itu kelihatan agak drastik, namun ia mesti dilihat bukan sahaja melalui sudut moraliti atau perspektif Islam semata.

Seruan supaya mengharamkan penjualan alkohol ini merupakan peluang kepada kita untuk mengenal pasti masalah berkaitan penyalahgunaan alkohol, yang diakui oleh semua agama utama di dunia.

Terdapat masalah sosial dan kesihatan yang besar berhubung penyalahgunaan alkohol di kalangan penduduk asli di Sabah dan Sarawak, dan di kalangan Orang Asli serta sebahagian masyarakat India di Semenanjung. Terdapat juga banyak pengidap dalam diam di kalangan wanita dan kanak-kanak, yang menjadi mangsa peminum alkohol serta lain-lain masalah tingkah-laku berhubung pengambilan alkohol.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah menjalankan banyak kajian berkaitan perkara ini dan mereka telah membuktikan bahawa terdapat kesan yang besar ke atas masyarakat berhubung penggunaan alkohol. Justeru, sementara PAS bercakap kepada komuniti Islam, kebanyakan isu sosial dan penyalahgunaan berlaku di kalangan masyarakat bukan Islam.

Masyarakat telah lama menerima hakikat bahawa tingkah-laku tertentu seorang manusia boleh memberi kesan kepada seseorang atau orang lain. Dalam kes merokok, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang lain telah mengambil banyak langkah untuk mengehadkan tempat-tempat awam yang boleh merokok, dan penajaan serta iklan syarikat-syarikat rokok. Semua inisiatif ini dilakukan atas kepentingan dan kebaikan umum.

Pengharaman total penggunaan alkohol tidak berkesan pada masa lampau. Bagaimanapun, masih terdapat keperluan segera bagi masyarakat Malaysia untuk membincangkan lebih lanjut isu-isu yang timbul daripada aspek negatif dan salahguna akibat penjualan alkohol yang tidak terhad atau mudah didapati.

Setakat ini memang terdapat banyak bentuk syarat yang dikenakan berkaitan alkohol. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh minum alkohol dan memandu; alkohol hanya boleh dijual di kedai yang berlesen; alkohol tidak boleh dijual kepada individu di bawah umur; dan terdapat waktu-waktu terhad bagi tempat yang menjual dan menyediakan alkohol. Terdapat juga undang-undang untuk membanteras pembuatan dan penjualan produk alkohol yang tidak berlesen.

Masalah yang kita hadapi selalunya berkait dengan penguatkuasaan yang lemah di kalangan pihak berkuasa tempatan. Orang ramai mesti bersuara mengenai perkara ini kerana penyalahgunaan alkohol mempunyai impak yang besar kepada masyarakat.

Syarat-syarat serta had-had tertentu perlu dibuat ke atas tempat yang menjual alkohol. Sebagai contoh, adalah perlu alkohol tidak dijual di kawasan perumahan dan sekolah. Ini termasuk semua jenis kawasan tempat tinggal.

Tempat-tempat yang diperuntukkan untuk menjual dan dibolehkan meminum alkohol perlu sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa tempatan. Sebagai contoh, adalah tidak sihat untuk meminum alkohol di taman awam atau sewaktu menonton perlawanan bola sepak.

Walaupun cadangan ini dikemukakan oleh PAS, kepentingan saya adalah dari sudut sosiologi dan persekitaran kerja sosial. Saya seorang yang menganut ajaran dan kepercayaan Kristian. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita tidak membincangkan isu sosial sebegini dari sudut yang memisahkan kita. Mari kita cari kesamaan dan kebaikan bersama melalui agama-agama ini.

Pembuat alkohol, promoter dan peruncit tidak pernah berusaha mendidik masyarakat mengenai ketagihan alkohol. Kerajaan pula tidak berusaha secukupnya untuk menyedarkan masyarakat mengenai masalah kesihatan dan tingkah-laku akibat bahaya alkohol. Setakat ini tidak program kaunseling, dan jika ada sekalipun ia tidak mencukupi. Tidak ada perkhidmatan pemulihan seperti pemulihan dadah.

Saya cukup bersetuju dan turut mencadangkan supaya pembuat alkohol dan industri berkaitan membayar levi daripada pendapatan tahunan mereka untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dan ketagihan alkohol. Mereka juga perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memulihkan penagih-penagih alkohol. Beberapa program sistematik perlu diadakan untuk membantu wanita dan kanak-kanak yang menghadapi penyalahgunaan dan keganasan. Agensi persekutuan dan negeri perlu mengatasi masalah ini.

Barangkali kerajaan Selangor boleh memimpin dan menyediakan garis panduan yang perlu bagi kehidupan yang sihat dan menjamin semua tanggungjawab bakal meletakkan kehidupan insan lebih tinggi daripada keuntungan.

---
Artikel Pesuruhjaya Suhakam, yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik UKM ini diterjemah oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: