"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerusi naib presiden: Wanita PAS kena saing, bukan automatik

Ahli-ahli Dewan Muslimat PAS menghadiri muktamar tahunan sayap tersebut di Kota Baru 10 Jun, 2010. — Gambar oleh Choo Choy May

KOTA BARU, 11 Jun: Usaha Dewan Muslimat PAS untuk memperoleh peruntukan kerusi naib presiden secara automatik “gagal”, sebaliknya sebagai jalan kompromi menerima ruang lebih besar untuk bertanding jawatan nombor tiga parti itu.

Dengan pindaan terhadap usul dibawa oleh Dewan Muslimat semalam, anggota sayap wanita PAS itu boleh menamakan 30 peratus ahlinya sebagai calon bagi jawatan-jawatan naib presiden dan ke bawah.

“Usul itu telah dipinda selepas dibahaskan semalam. Di mana 30 peratus pencalonan bagi jawatan semua peringkat kecuali presiden dan timbalan presiden, diperuntukkan kepada wanita.

“Bermakna satu pertiga pencalonan dikhususkan kepada wanita untuk bertanding, mereka yang layak boleh dicalonkan dan bertanding bersama... ini satu perkembangan bersejarah,” kata Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Md. Nawi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Dewan Muslimat memberitahu, beliau difahamkan perkara itu telah diterima oleh parti tanpa dibahas.

Ia dijangka diterima secara rasmi Ahad ini. Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-56 bermula hari ini.

“Pindaan ini juga selari dengan permintaan sayap wanita Pakatan Rakyat yang mahukan 30 peratus perwakilan wanita di setiap peringkat,” katanya lagi.

Kini ketiga-tiga kerusi naib presiden diwakili oleh kaum lelaki.

Dewan Muslimat PAS meneruskan usaha serius mereka pada muktamar kali ini untuk mendapatkan satu kerusi naib presiden untuk kaum wanita.

Sayap PAS itu pernah membawa usul meminta agar diperuntukkan satu kerusi naib presiden untuk wanita tahun lalu, tetapi tidak menemui hasil yang disasarkan.

Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh ada memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini bahawa “usul berkaitan dengan kerusi naib presiden untuk wanita pernah ditimbulkan dulu (tahun lalu) tetapi telah ditolak (oleh jawatankuasa usul).”

Di peringkat pusat, The Malaysian Insider difahamkan usul itu dibawa oleh PAS kawasan Kubang Kerian, Kelantan.

Pada tahun 2005, Kelantan pernah menamakan Dr Siti Mariah Mahmod, kini Ahli Parlimen Kota Raja, agar bertanding jawatan naib presiden tetapi tidak berjaya.

PAS pernah mempunyai seorang naib presiden wanita lebih empat dekad lalu, kata Nuridah. Ketika itu jawatan tersebut dikenali sebagai Naib Yang Dipertua.

Khadijah Sidek, bekas pesuruhjaya PAS Johor dan pernah bertanding kerusi Parlimen Dungun dipilih ke kerusi itu akhir 1960-an.

Menurut Nuridah, beliau merasakan wanita seharusnya sama-sama boleh bertanding memenangi jawatan ini bersama kaum Muslimin.

Bagaimanapun kata Nuridah, pihaknya menyerahkan mekanisme diperuntukan satu kerusi naib presiden kalangan wanita kepada barisan kepimpinan pusat untuk menentukan.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: