"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawatankuasa cadang SPRM diberi kuasa mendakwa

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 9 Jun:
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang ditubuhkan parlimen akan mencadangkan kepada kerajaan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk membuat pendakwaan.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu yang baru sahaja selesai.

"Kita baru sahaja selesai mesyuarat kali kelima, dan akan serahkan cadangan kepada Perdana Menteri.

"Kita berpendapat agar dipinda perlembagaan untuk memberi kuasa pendakwaan juga kepada ketua pesuruhjaya MACC," katanya.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub yang juga salah seorang aggota jawatankuasa berkenaan.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Senator Ir Zamri Yusuf.

SPRM pada waktu ini mempunyai bidang kuasa terhad apabila hanya diberi kuasa menyiasat sahaja dan tidak boleh membuat pendakwaan.

Ekoran itu, SPRM menurut Radzi, dilihat tidak efisyen dan diragui kredibiliti mereka oleh rakyat.

Cadangan katanya, diharap diterima kerajaan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

"Kami berpendapat inilah masa yang sesuai melakukan perubahan SPRM.

"Mereka boleh menjalankan siasatan dan terus mendakwa tanpa rasa fear and favour," katanya.

Tiada ulasan: