"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RMK-10 ABAIKAN PEMBANGUNAN DI SELANGOR DAN LEMBAH KLANG

KENYATAAN MEDIA

10 JUN 2010

RMK-10 ABAIKAN PEMBANGUNAN DI SELANGOR DAN LEMBAH KLANG



Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen hari ini memberi fokus kepada pembangunan.

Antara fokus pembangunan dalam RMK-10 ialah Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.


Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Lembah Klang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia.Pembangunan Lembah Klang dan Selangor bagaimanapun tidak langsung dinyatakan dalam RMK-10.

Perdana Menteri hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada Greeter Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang.

Selangor yang merupakan sebahagian daripada bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini. Selangor mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

Semakin Malaysia dan negara lain di dunia beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.

Adakah pentadbiran Najib sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2009 dan 2008, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?

Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya, iaitu sektor pendidikan, pelancongan, kesihatan, kesemua sektor ini adalah berpusat di Lembah Klang. Begitu juga dengan sektor industri , incubation serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIs) yang semuanya tertumpu di Lembah Klang.

Inilah contoh klasik "kuman di seberang nampak, gajah depan mata tak nampak'. Pentadbiran Najib hilang fokus terhadap matlamat RMK-10. Adakah keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan ini disebabkan politik? Jika ya, keputusan ini telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Kami menegaskan dalam memperkatakan usaha mentransformasi ekonomi Malaysia, tiga perkara penting perlu diberi perhatian;

1. Penilaian semula saiz sektor awam
2. Meliberalisasi saluran komunikasi
3. Membina 'talent bank' di kalangan tempatan dan antarbangsa.

Saya tidak pasti pentadbiran Najib cukup berani untuk memberi tumpuan kepada isu-isu ini.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: