"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Prihatin Nasib Imam Putus Punca Pendapatan

Selatanonline
Gelang Patah 11 OGOS: Susulan daripada isu seorang imam digantung jawatannya oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) gara-gara agenda sempit politik kerajaan negeri, Yang Dipertua PAS kawasan Gelang Patah, Tuan Hj. Dzulkefly bin Ahmad, juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat Gelang Patah, telah mengambil inisiatif untuk turun padang memberi sumbangan kepada keluarga ini.
Beliau mengetuai ziarah bersama rombongan dari Dewan Muslimat PAS Kawasan Gelang Patah melahirkan rasa simpati terhadap keluarga ini. Ekoran dari penggantungan tugas tersebut, keluarga ini putus sumber pendapatan.

Hassan bin Md. Said, 40, Imam 1, Masjid Kampung Ladang yang telah berkhidmat selama 14 tahun dan berpengalaman selama 2 tahun sebagai Pegawai Amil Zakat Fitrah Sementara di Masjid Kampung Ladang, Gelang Patah, merasakan dirinya diaibkan setelah tugasnya sebagai Imam Masjid Kampung Ladang digantung.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Imam Hassan bersama tanggungannya, isteri, Norashikin binti Mohd Yasin, 36, dan empat orang anaknya terpaksa berdepan dengan kehilangan sumber pendapatan keluarga dalam menjalani hari-hari Ramadhan dan persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Selain elaunnya sebagai Imam masjid telah terputus akibat penggantungan tugas, hak penerimaan elaun bantuan sebagai ahli Persatuan Nelayan Kampung Gelang Patah sebanyak RM350.00 pula turut disekat. Lebih malang lagi, beliau terpaksa mengosongkan rumah ehsan masjid yang didudukinya sekarang dan terpaksa menyewa rumah kediaman baru.

Selain dari melahirkan rasa simpati, Tuan Hj. Dzulkefly bin Ahmad turut melahirkan kekesalan di atas ketidakmatangan pihak JAJ dalam menangani dan menilai isu ini.

Atas dasar keprihatinan, pihak PAS Kawasan Gelang Patah telah menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asasi dan wang tunai untuk urusan kehidupan harian Imam Hassan sekeluarga. Diharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh keluarga imam tersebut.
Nusajayakini 

Tiada ulasan: