"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS Gesa Gubal Akta Murtad, Pertahan Akidah Umat Islam


SHAH ALAM, 14 OGOS: Dewan Pemuda PAS pusat menggesa kerajaan mengadakan satu akta yang khusus bagi menangani isu-isu berkaitan dengan murtad.

Perkara itu diputuskan dalam satu sidang meja bulat bagi mempertahankan akidah umat Islam. Ia dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam satu sidang media di sini, semalam.

Menurut Nasrudin, PAS pernah mengesyorkan Akta Murtad sebelum ini tetapi telah ditolak.

“Pada tahun  1988, tanggal 25 Mac, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Presiden Pas searang telah pun mengemukakan usul untuk membincangkan isu murtad ini di Parlimen tetapi ditolak. Kemudian 11 tahun kemudiannya pada 2 November 1999 Tuan Guru sekali lagi membentang rang undang-undnag persendirian untuk mencegah murtad di Parlimen.

"Tetapi malangnya tidak dibenarkan untuk membentangkan rang undnag-undang tersebut. Dan diulang sekali lagi pada Mac 2006. Pada hari bermulanya sidang Parlimen,Yang Berhormat Tuan Haji Salahudin Ayub , ahli Parlimen Kubang Kerian telah mengemkakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Undang-undang Murtad juga ditolak Parlimen. Ini menyebabkan orang sewenang-wenangnya boleh murtad,"katanya.

Sidang meja bulat NGO Islam itu semalam turut meluluskan 10 resolusi termasuk menggesa supaya isu berkaitan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Selain itu, mereka juga menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha memurtadkan umat Islam sebagaimana tuntutan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas pengerusinya.

Malah mereka juga menuntut semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi Islam, termasuk meruntuh institusi pendidikan Islam, masjid dan surau, memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia kerana tindakan mereka telah mendorong agama Islam tidak dihormati.

Menurut Nasrudin lagi, Dewan Pemuda PAS telah mempunyai Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) untuk menangani isu pencemaran akidah khasnya berkait dengan kes murtad.
“Kita sangat mengalu-alukan semua pihak,mana-mana NGO yang mahu menangani isu ini kerana kita telah nyatakan komitmen kita bahawa kita bersama dengan NGO-NGO Islam kerana isu akidah macam Dr Hasan Mat sebut tadi bahawa ia adalah melepasi sempadan politik, sempadan ideologi,"jelasnya lagi.

Tambah Nasrudin, murtad di negara ini berlaku disebabkan beberapa punca, tetapi sama ada faktor itu kecil atau besar, ia perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khasnya pihak berkuasa negara dan juga pihak berkuasa negeri.

Nasrudin juga berkata, Pemuda PAS mahu pihak berkuasa mengekang sebarang aktiviti yang melemahkan iman, akhlak dan pemikiran ummat Islam seperti hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan apa jua aktiviti maksiat dan mungkar.

Selain itu, Pemuda PAS juga mengusulkan agar Kementerian Pelajaran mewajibkan silibus pengajian agama sebagai silibus wajib ambil dan wajib lulus dalam semua jenis dan peringkat sijil peperiksaan.

Pemuda PAS juga ujarnya menggesa supaya agensi seperti Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal dapat membuat agihan adil dan tepat kepada golongan yang memerlukannya termasuk membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.

Sayap PAS itu turut mencadangkan supaya agensi kerajaan membiayai atau mengeluarkan peruntukan untuk menghantar pendakwah Islam ke kawasan-kawasan perlu seperti pendalaman, perkampungan Orang Asli, Sabah dan Sarawak dan juga mendesak kerajaan menambah pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik.
-tvsnews-

Tiada ulasan: