"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dana NFC, kondo: 'Datuk' berusia 45 tahun direman

NONE
Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman seorang ahli perniagaan yang dipercayai berpangkat 'Datuk' bagi membantu siasatan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Perintah reman sehingga esok dikeluarkan terhadap lelaki berumur 45 tahun itu oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman tengah hari tadi di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Lelaki itu, yang dibawa dengan kereta polis, tiba di Balai Polis Bukit Jalil, pada jam 9 pagi.

Pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dipercayai telah mengambil keterangan daripada lelaki itu dari jam 3 petang hingga 6 petang semalam.

Isu mengenai NFC itu berbangkit ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dananya.

Sementara itu dalam sidang akhbar di ibupejabat JSJK, polis bagaimanapun enggan mengesahkan bahawa peniaga yang ditahan semalam mempunyai kaitan dengan projek NFC.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata polis juga belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes NFC.

"Kita belum rekod apa-apa kenyataan daripada dia berhubung NFC," tambahnya.

Katanya lagi, suspek yang ditahan di pejabat JSJK pada kira-kira jam 4 petang semalam adalah berhubung "cubaan untuk menyogok beberapa orang pegawai JSJ."

"Bertindak atas maklumat, dia ditahan di pejabat JSJK semalam," katanya.

Diasak wartawan, Syed Ismail juga enggan mengesahkan sama ada suspek terbabit mempunyai kaitan dengan keluarga menteri yang menjalankan projek berkenaan.

"Tengok bin (nama bapa) dia sajalah sama ada sama atau tidak," katanya lagi.

Polis setakat ini telah menyiasat 27 individu, temasuk pegawai daripada kementerian kewangan, kementerian pertanian serta individu yang terlibat memberi perkhidmatan kepada NFC, katanya lagi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: