"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Paksa gadis 'berendam' dengan buaya, akaun disekat

Agensi

Beijing: Sebuah akaun media sosial popular di China yang mempunyai lebih 11 juta pengikut diharamkan secara kekal selepas didapati terbabit dalam eksploitasi dan penderaan hos penstriman langsung remaja bawah umur, lapor South China Morning Post.

Akaun dengan nama @Yebali atau bermaksud Night Paris dalam Bahasa Inggeris itu dikesan memaksa gadis-gadis muda melakukan aksi berbahaya termasuk berada di dalam tangki bersama buaya serta menekan kepala mereka ke dalam air.

Tindakan tegas itu diambil selepas video penstriman langsung yang dirakam tahun lalu tular di media sosial memaparkan hos yang dipercayai berusia sekitar 14 tahun dikenakan hukuman dalam bentuk cabaran berbahaya, lapor Jiupai News.

Dalam salah satu rakaman, dua hos wanita dilihat diarahkan berdiri di dalam tangki air bersama seekor buaya bersaiz kecil yang mulutnya diikat sebagai sebahagian daripada "persembahan" mereka.

Rakaman itu turut menunjukkan salah seorang gadis menjerit ketakutan dan cuba mengelak daripada reptilia berkenaan, namun dipujuk rakannya dengan alasan haiwan itu "comel" dan tidak berbahaya.

Satu lagi klip memaparkan seorang gadis digantung menggunakan tali di bahagian pinggang sebelum ke dalam tangki air dan dipaksa menahan nafas selama beberapa saat.

Apabila mangsa enggan mengulangi aksi itu, dua hos lain bertindak menekan kepalanya ke dalam air sambil mendakwa tugasan itu mudah dilakukan.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan orang awam termasuk seorang bapa yang mendakwa kandungan saluran itu mendorong pengikut memberikan ganjaran wang yang besar kepada hos terbabit.

Siasatan mendapati akaun @Yebali yang dikendalikan oleh Guangdong Jiahuo Media Company itu mula dibuka lima tahun lalu oleh seorang gadis berusia 13 tahun menggunakan identiti neneknya.

Tindakan itu jelas melanggar undang-undang di China yang melarang keras golongan bawah umur daripada terbabit sebagai hos dalam mana-mana sesi penstriman langsung di media sosial.

Tahun lalu, platform media sosial yang sama pernah menghukum saluran itu kerana mendera hos mereka, namun ia kembali beroperasi tidak lama kemudian.

Pada 23 April, platform media sosial mengharamkan akaun berkenaan secara kekal di tengah-tengah tekanan orang awam.

Langkah tegas ini selaras dengan kempen dijalankan Pejabat Pentadbiran Ruang Siber China bagi membanteras penyalahgunaan dan gangguan dalam penstriman langsung berkumpulan yang sering melampaui batas moral demi mengejar trafik serta ganjaran.
-hmetro 

Tiada ulasan: