Nasruddin Hassan
Sangka saya pada awalnya sukar untuk menjadi seorang menteri. Berdepan pelbagai soalan yang berbagai dari ahli-ahli Yang Berhormat, sama ada pembangkang mahupun kerajaan. Nyata sangkaan saya meleset. Betapa mudah menteri dan timbalannya menjawab soalan-soalan dari ahli Yang Berhormat. Mereka membaca jawapan yang disediakan oleh pegawai dan memilih untuk jawab tulis bagi soalan tambahan yang tidak boleh dijawab lisan terutama yang melibatkan fakta dan figure.
Saya sempat mengemukakan soalan tambahan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan apabila timbul persoalan mengenai penubuhan balai bomba di Belaga dalam Bahagian Kapit. Soalan saya adalah berkait dengan isu kebakaran di Sibu dan lain-lain kawasan penempatan pendalaman serta padat penduduk. Kenapa bomba sering lambat tiba untuk menyelamat sehingga mengorbankan jiwa. Apakah faktor lambat dan sebenarnya berapakah jarak kedudukan wajar balai bomba dengan sesebuah penempatan?
Timbalan Menteri memilih tidak menjawab soalan saya semasa sidang sebalik mahu menjawabnya secara bertulis. Alhamdulillah selepas 3 jam saya menerima jawapan bertulis dari pihak kementerian.
Berbeza rakan sejawat saya YB Khairy Jamaludin Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, kini menggalas jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Beliau petah menjawab soalan tambahan dan saya lihat beliau kian matang dan tenang menjawab soalan berbanding sebelum ini.
Sidang hari ini menjadi ceria apabila rakan saya YB Ustaz Idris beberapa kali menyebut tuan-tuan dan puan-puan sedang sepatutnya disebut Ahli Yang Berhormat dalam dewan Parlimen ini. Kebiasaan berceramah sebelum ini menyebabkan beliau terbawa-bawa stylenya ke sidang dewan. Bukan sahaja beliau, bahkan saya sendiri beberapa kali tersasul menyebut "tuan-tuan dan puan-puan" dalam ucapan, cuma saya tidak sempat ditegur oleh Tuan Yang Dipertua Dewan, berbeza dengan YB Ustaz Idris.
Sahabat saya YB Ust Nik Mohamad Abduh juga sempat melontarkan ideanya dan mengambil bahagian dalam membahas titah DiRaja pada hari ini walaupun lewat petang. Saya turut teruja mengikuti isi kandungan bahas beliau persis mendengar ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sewaktu mudanya. Malang masa yang dimiliki oleh beliau hanya 15 minit untuk berbahas. Namun ucapan ringkasnya itu saya jangka akan menjadi hit di dada akhbar dengan isu dan penegasan yang dibuat oleh beliau. Begitulah aksi rakan-rakan dari Pakatan Rakyat yang lain seperti YB Rafizi Ramli dari PKR dan YB Datuk Arif Sabri dari DAP yang turut menggamatkan dewan dengan membaca beberapa ayat suci al-Quran. Beliau menyebut, hari ini YB DAP nak baca al-Quran !
Alhamdulillah hampir semua Ahli Parlimen baru dapat berucap. Terima kasih kepada ketua whip YB Dato' Haji Mahfuz Omar Naib Presiden PAS yang banyak memberi laluan kepada ahli-ahli Yang Berhormat junior sedang ramai pemerhati politik menanti-nanti ucapan beliau yang memang terkenal handal berpidato. Begitulah personaliti beliau yang saya kenal sejak dulu. Semenjak saya dibawa masuk oleh beliau menganggotai EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 2001 sedang beliau adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sementara saya menggalas amanah sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang pada waktu itu.
Dato’ Mahfuz Omar banyak memberi laluan kepada pelapis dan menonjolkan mereka sebagai peganti line up kepimpinan akan datang. Saya banyak belajar skil ini daripada beliau dan menerapkannya dalam kepimpinan saya pada hari ini apabila saya diamanahkan menggalas beban tanggungjawab sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Kini giliran saya membawa masuk dan menonjolkan tokoh-tokoh baru sebagai pelapis kepimpinan masa depan perjuangan ini melalui Dewan Pemuda PAS Malaysia. Antaranya YB. Ust Nik Mohd Abduh, Dr Raja Iskandar Al Hiss, Ir Hj Khairil Nizam, Al Akh Faizi Ahmad Kamil, Ust Syed Abdul Kader al Joofree, Ust Khalil Abdul Hadi, al Akh Syahir Sulaiman, Ust Ramadhan Fitri, YB Ust Mohd Nor Hamzah, Al Akh Sany Hamzan, Al Akh Zamri Asa'ad Khuzaimi, Al Akh Basri Din, Dr Amin ar Rasyid, Al Akh Halim Ahmad, YB Ust Ahmad Baihaki, Ust Ahmad Fadhli Saari, Abang Ahmad Kardee, Nurul Islam dan ramai lagi tokoh yang dibawa masuk menyertai DPPM era kepimpinan saya, yang mungkin saya terlepas dari menyenaraikan nama mereka di sini. Saya berdoa satu masa kelak mereka semua tampil sebagai tokoh besar memimpin bahtera perjuangan ini dengan ikhlas berpaksi aqidah, fikrah dan akhlak perjuangan Islam yang jitu lagi mantap.
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan