"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TV Mesir bohong, tunjuk rakaman lama

Harakahdaily
MESIR: Stesen televisyen Mesir yang dikawal kerajaan tentera didakwa berbohong kepada rakyat dan dunia apabila menyiarkan video kononnya Dataran Tahrir dipenuhi dengan jutaan penentang Dr Mohamed Morsi.

Video tersebut yang tertera pekataan 'siaran langsung' itu sebenarnya adalah rakaman video lama di Dataran Tahrir sewaktu penentangan terhadap Hosni Mubarak, dan bukan suasana semasa.

Ini kerana keadaan semasa di medan Tahrir lengang sama sekali dan yang ada hanya kumpulan perusuh upahan (baltoji) sahaja.

Stesen televisyen Al-Jazeera juga didakwa menyiarkan liputan sama yang bersumberkan video televisyen Mesir tersebut, namun penipuan tersebut didedahkan oleh seorang pemanggil.

Seorang pemanggil yang bernama puan Iman membuat panggilan dan bertanya kenapa video yang tertera "Tahrir LIVE" berlainan dengan apa yang beliau saksikan sendiri.

Pemberita Al-Jazeera menjawab, itu video semasa yang dirakam beberapa minit sebelum ini.

"Saya baru datang dari Tahrir, dataran kosong kecuali kumpulan "baltoji" sahaja," balas puan Iman tidak berpuas hati.

Akhirnya, pemberita mengaku itu bukan dari lensa Al-Jazeera tetapi diambil dari televisyen kerajaan Mesir kerana pejabat mereka telah diceroboh beberapa hari lalu.

Seorang ulama Al-Azhar Syeikh Ahmad Mahellawi turut mengulas penipuan tersebut dalam laman Facebooknya.

"Televisyen kerajaan Mesir tidak menyiarkan suasana di dataran Tahrir secara "langsung" tapi apa yang disiarkan ialah video lama bagi menunjukkan Tahrir masih dipenuhi oleh mereka yang menentang Mursi.

"Hakikat sebenar, dataran Tahrir lengang. Buktinya, kenapa malam ini buat pertama kali stesen Al-Jazeera tidak membuat liputan langsung di Tahrir dan siarannya 'menumpang' siaran tv kerajaan," katanya.

Penipuan tersebut turut ditegur agensi berita CNN Amerika yang menyiarkan kenyataan "Diminta aksar Mesir hentikan penipuan.Dataran Tahrir lengang. Apa yang disiarkan sekarang adalah video lama. Para penyokong Mursi berjuta-juta memenuhi seluruh Mesir".

Tiada ulasan: