"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menunggu Tanyalah Ustaz versi Pakatan

RAYUSA
SETIAP hari dari jam 7 hingga 8 pagi, TV9 menyiarkan Tanyalah Ustaz sejak beberapa tahun lalu.Pelbagai persoalan dibincangkan dalam rancangan itu merangkumi rukun Islam, rukum iman, dan hal-hal yang berkaitan.
Dari Isnin hingga Khamis, Tanyalah Ustaz disiarkan secara rakaman di studio dengan penceramah/pendakwah berceramah di hadapan audiens jemputan daripada agensi dan institusi kerajaan, persatuan, badan, atau pertubuhan tertentu seluruh negara.
Siaran pada Jumaat hingga Ahad adalah secara langsung dengan penceramah/pendakwah berseorangan di studio berceramah dan menjawab soalan penonton di rumah menerusi panggilan telefon dan e-mel.

Sesekali siaran langsung diadakan dari masjid tertentu sempena program khas anjuran stesen TV itu. Siaran tersebut dikendalikan seorang penyiar sebagai pemudah cara.

Tiga penceramah/pendakwah diundang dalam seminggu – seorang pada setiap Isnin dan Selasa, Rabu dan Khamis, serta Jumaat hingga Ahad. Setakat ini, persembahan Tanyalah Ustaz secara keseluruhannya menarik dan tidak menjemukan.

Dato’ Abu Hassan Din al-Hafiz, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Mohd Izhar, Ustaz Syed Norisyam Tuan Padang, Ustaz Haslin Baharin, Ustaz Nor Raihan Abdul Aziz, Ustaz Sharhan Shafie, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Halim Din, Ustaz Md Ghazali Ibrahim, Dr Zahazan Mohamed, dan Dr Mohd Sukki Othman antara yang kerap diundang menjayakan program tersebut.

Mereka tampil dengan baik dan gaya tersendiri. Cuma, saya teringin melihat bagaimana persembahan Tanyalah Ustaz sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU13, 5 Mei lalu.

Saya menjangkakan corak persembahannya akan lebih baik.

Banyak pemimpin Pakatan sendiri yang boleh berceramah untuk menjayakan rancangan tersebut.

Ada antara mereka adalah ulama dan umara. Mereka menjadi ulama/pendakwah kerana turut aktif dalam politik lantaran memahami dan mempercayai perjuangan menegakkan Islam boleh dijayakan menerusi kemenangan dalam bidang politik. Dalam kata lain, citacita besar itu boleh dicapai jika berkuasa memerintah negara.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Menteri Besar Kelantan) dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (bekas Menteri Besar Terengganu) adalah antara wakil rakyat merangkap ulama yang mahir menyampaikan ceramah agama.

Tuan Guru Nik Aziz adalah Adun Chempaka. Tuan Guru Hadi pula Ahli Parlimen Marang dan Adun Ru Rendang. Sangat menarik jika mereka dapat tampil dalam Tanyalah Ustaz. Jumlah penonton atau ratingnya meningkat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (Ahli Parlimen Temerloh) Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi; timbalannya, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz (Ahli Parlimen Pasir Mas); AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (Ahli Parlimen Bukit Gantang); Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali (Ahli Parlimen Kuala Nerus), dan banyak lagi yang tidak dapat disebutkan di sini juga adalah pendakwah.

Demikianlah kelebihan pemimpin Pakatan, terutama dari PAS. Mereka boleh menjadi wakil rakyat dan berdakwah kepada rakyat. Mereka tampil dalam pakej, sama ada 2 dalam 1 atau 3 dalam 1. Jauh berbeza dengan pemimpin Umno yang juga tampil dalam pakej serupa atau lebih, tetapi yang negatif seperti mengamalkan rasuah, kronisme, pecah amanah, dan skandal seks.

Walaupun persoalanpersoalan yang dibincangkan dalam Tanyalah Ustaz setakat ini menarik, masih ada yang kurang “menyengat”. Namun, ini difahami kerana ia terbitan Primeworks Studio yang bernaung di bawah Media Prima Berhad, syarikat media yang menjadi pengampu tegar kerajaan Umno- BN, serta penyebar fitnah, pemutar belit berita, dan pengadu domba kerajaan Pakatan. Tentu para penceramah/pendakwah yang tampil “terpaksa” membataskan hujah (walaupun benar) mereka agar tidak kedengaran menyelar kemunafikan kerajaan Umno-BN.

Mereka seperti “takut dalam terpaksa”. Usahkan “menuju tepat”, berkias atau menyindir pun bererti mereka mengundang malang. Jika istilah atau kiasan mereka dapat dikesan, padah bakal diterima. Mereka tidak akan dijemput lagi.

Justeru, persoalan yang dibincangkan dalam Tanyalah Ustaz tidak “boleh” lari daripada kewajipan menunaikan rukun Islam, mempercayai rukun iman, halal-haram makan minum, perkahwinan, sosial, ekonomi, dan seumpamanya.

Tiada atau belum lagi yang “dibenarkan/berani” menyentuh soal politik seperti menentang kezaliman pemerintah – menyanggah rasuah, kronisme, nepotisme, pembaziran, penyelewengan dan sebagainya oleh pemimpin kerajaan Umno- BN. Ia seperti “menunggu kucing bertanduk” atau “jauh panggang dari api”.

Kini harapan untuk melihat kelainan Tanyalah Ustaz berkecai kerana PRU13 telah berlalu, kecuali jika keputusan petisyen memihak kepada Pakatan dalam masa kurang daripada enam bulan atau setahun lagi. Kalau tidak, terpaksalah menunggu selepas PRU14 pada 2018.

Prestasi Tanyalah Ustaz amat diharap lebih meningkat di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan kerana kerajaan ini kerap menegaskan ia adalah pengganti kerajaan Umno-BN.

Ia berkebajikan, berfikiran terbuka, berwawasan, dan sedia menerima kritikan. Secara tidak langsung juga, isi ceramah serta soalan dalam Tanyalah Ustaz akan “lebih terbuka dan berani”.

Tiada ulasan: