"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sikap munafik Najib, pemimpin umno, Ketua Polis Negara, bekas polis dan lain-lain diselar oleh Rahim Noor mantan KPN

Ahmad Tajdid
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor kesal dengan keengganan kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia serta menganggap tindakan tersebut sebagai ganjil dan mengingkari perjanjian damai yang dicapai antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya pada 1989.
Bercakap dalam sesi wawancara dengan stesen radio Bfm petang tadi, Abdul Rahim yang terlibat dalam menggubal perjanjian susulan dengan PKM yang menggariskan terma dan syarat pelaksanaan perjanjian damai itu berkata, perjanjian antara kerajaan dan PKM sepatutnya terlaksana ke atas semua anggota PKM dari "kedudukan paling atas sehinggalah yang paling bawah".

Beliau melahirkan rasa hairan mengapa Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia sedangkan pemimpin-pemimpin tertinggi PKM seperti Pengerusinya, Abdullah CD dibenarkan berbuat demikian.

Malah Abdullah CD dan isterinya Suryani Abdullah, ujar Abdul Rahim diperkenankan menghadap Sultan Perak sekembalinya mereka ke tanah air.

Seorang lagi bekas pemimpin komunis, Abdul Rashid Maidin yang menetap di sebuah perkampungan bekas anggota PKM di sempadan Malaysia-Thai, jelas Abdul Rahim menaiki penerbangan ke tanah suci Makkah dari Kuala Lumpur dengan keizinan Kerajaan Malaysia.

Kerajaan, ujarnya perlu menghormati perjanjian damai yang dimeterai dengan PKM seperti diamalkan negara-negara lain dan tidak dilihat sebagai mempersendakannya.

Beliau memberi contoh perjanjian damai yang termeterai antara Kerajaan Indonesia dan Gerakan Acheh Merdeka (GAM) sejurus selepas bencana Tsunami melanda wilayah Acheh.

Para pemimpin GAM yang tinggal di luar negara kerana mendapat suaka politik, ujar Abdul Rahim dibenarkan kembali ke Acheh oleh pemerintah Indonesia selepas perjanjian damai dimeterai.

Chin Peng meninggal dunia di Bangkok 16 September lalu selepas usahanya untuk kembali ke Malaysia termasuk melalui prosedur perundangan tidak tercapai.

Hasrat anggota keluarganya untuk membawa pulang abu mayat bekas pemimpin PKM itu bagi disemadikan di kampung halamannya di Setiawan, Perak tidak dibenarkan kerajaan BN ekoran bantahan beberapa pihak termasuk Umno dan Perkasa.

Antara kandungan utama Perjanjian Damai Haadyai yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan PKM adalah anggota PKM berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka dan PKM dibubarkan.
Chin Peng yang mewakili PKM juga berikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agung dan anggota PKM akan mematuhi undang-undang negara Malaysia.

Menurut Artikel 3 perjanjian, Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota PKM untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu dan kerajaan akan membantu bekas-bekas anggota PKM untuk memulakan hidup baru di Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 itu juga memberi kebebasan kepada bekas anggota PKM untuk memilih sama ada pulang ke Malaysia atau terus tinggal di Selatan Thailand.

Seramai 431 ahli PKM memohon pulang ke Malaysia tetapi 93 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat perjanjian dan masalah status kewarganegaraan.

Kerajaan Malaysia juga bersetuju membayar subsidi kehidupan sebanyak RM8,000 sekembalinya bekas anggota PKM ke Malaysia dan wang saraan hidup sebanyak RM300 sebulan untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanah air.

Tiada ulasan: